Isnin, 22 Februari 2010

Majikan, amah runding gaji

Oleh Khairunnisa Kamarudin
khairunnisa@bharian.com.my


KUALA LUMPUR: Gaji minimum pembantu rumah Indonesia di negara ini akan ditentukan oleh pasaran melalui rundingan antara majikan dan amah terbabit serta bukan lagi ditetapkan kerajaan kedua-dua negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kerajaan Malaysia memutuskan tidak menerima gaji minimum ditetapkan negara sumber seperti yang ditetapkan kerajaan Indonesia, baru-baru ini.

“Kita serahkan soal gaji ini diputuskan majikan dan amah mengikut kadar pasaran. Kita tidak mahu gaji menjadi isu.

“Jika Indonesia tetapkan gaji minimum RM800 untuk pembantu rumahnya, negara lain mungkin turut menetapkan gaji mereka sendiri.

“Masalah penetapan gaji hanya menyulitkan semua pihak. Akibat isu gaji, kita terpaksa menggunakan tenaga kerja dari negara lain seperti Laos, Filipina dan Kemboja,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Buku Panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing di sini, semalam.

Buku panduan itu antara lain meningkatkan pengetahuan mengenai faedah, kebajikan pembantu rumah asing serta membina hubungan baik antara majikan dan pekerja.

Baru-baru ini, media Indonesia menyatakan kerajaan republik itu akan mengemukakan usul gaji pembantu rumahnya ditetapkan RM800 sebulan pada Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Kerja Malaysia-Indonesia bagi Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia di Jakarta.

Dalam perkembangan berkaitan, Subramaniam berkata, mulai bulan depan majikan dan pembantu rumah dikehendaki hadir dialog khas dikelolakan kementeriannya dalam tempoh enam bulan selepas mula bekerja.

“Pada sesi setengah hari itu, mereka didedahkan mengenai tanggungjawab masing-masing serta dibekalkan Buku Panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing.

“Saya harap langkah ini mengurangkan masalah jenayah yang sering berlaku membabitkan majikan dan amah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Alwi Bavutty, berkata penetapan gaji melalui rundingan diyakini lebih berkesan kerana ia dilakukan atas dasar persefahaman dan kualiti perkhidmatan.

“Penetapan gaji dengan cara ini lebih mudah kerana majikan yang berpuas hati dengan kerja pembantu mereka sudah sanggup memberi gaji setimpal dengan perkhidmatan,” katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 21/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...