KALAU ada orang yang menetap di Kampung Baru yang berkata mereka berhak untuk menentukan corak perkembangan yang akan diadakan di kampung ini, saya berani katakan mereka salah.
Tiada gunanya untuk dijadikan Kampung Baru sebagai 'muzium hidup' kalau tahap ekonomi orang Melayu terkebelakang, sebab akhirnya Melayu di kawasan ini akan dilihat sebagai terpinggir dan kawasan ini sebagai sebuah 'zoo manusia'.
Malah semua kampung Melayu lama tidak dijual kepada mana-mana bangsa dan mesti dimajukan seperti Kampung Baru, supaya ia menjadi pusat perniagaan orang Melayu di setiap bandar raya, bandar dan pekan.
Sekarang ini banyak kampung lama Melayu di semua kawasan bandar sudah diambil alih bangsa tertentu dan kita yang membenarkannya berlaku.
Amat sedihnya kalau dilihat ada masjid lama terdiri di kawasan yang dulunya kampung lama Melayu dan sekarang yang tinggal hanya masjid itu dikelilingi oleh bangunan perniagaan bangsa lain.
Tidakkah boleh dikenakan syarat bahawa semua masjid menempatkan bangunan yang dimiliki oleh Melayu saja? Kampung Baru di Kuala Lumpur memang unik. Ia memainkan peranan penting untuk menaikkan penonjolan Melayu di bandar raya ini, ibu kota Malaysia. Tanpa Kampung Baru, kehadiran Melayu di Kuala Lumpur boleh dikatakan kurang.
Kampung Baru boleh dijadikan pusat bandar baru di Kuala Lumpur dan kawasan ini boleh mempengaruhi perkembangan kawasan sekelilingnya, termasuk Chow Kit yang dulunya sebuah kawasan bukan Melayu. Sekarang ia adalah kawasan Melayu.
Jadi, oleh sebab itu, apabila kawasan ini mahu dibuka sebagai kawasan penempatan orang Melayu oleh Sultan Selangor dulu, ia adalah dengan niat untuk menentukan orang Melayu ada peranan penting dalam perkembangan di bandar ini.
Ia bukan mahu dijadikan 'muzium hidup' tetapi untuk menggalak orang Melayu datang ke Kuala Lumpur dan terbabit dengan perkembangannya. Sekarang ini boleh berlaku. Sultan Selangor ketika itu yang memperuntukkan sebidang tanah di Kampung Baru mempunyai wawasan dan mahu wujudkan kawasan ini khas untuk orang Melayu.
Jadi mereka yang diberi sebidang tanah di kawasan ini tidak boleh menganggap ia adalah hak mereka sendiri dan cucu-cicit mereka yang memiliki tanah ini tidak boleh berkata ia adalah hak mereka saja.
Malah kampung ini dibuka hanya dengan tujuan untuk pertanian. Ia dijadikan kawasan perumahan oleh sebab kehendak semasa.
Oleh sebab itu, sekarang ini tiada kerja pertanian di sini. Yang ada hanya rumah dan juga bangunan perniagaan. Jadi apa agaknya yang boleh digunakan dengan Kampung Baru yang ada sekarang? Khabarnya kawasan tanah ini bernilai RM22 bilion.
Tentu sekali ia tidak hanya sesuai untuk dibangunkan sebegitu saja. Yang lebih penting ialah ia harus dijadikan pusat kebudayaan dan perdagangan Melayu. Di sini ada pusat kebudayaan untuk memaparkan orang Melayu dalam zaman sekarang, dan pusat perdagangan yang mana semua kedai dan perusahaan dijalankan oleh Melayu saja.
Dengan ini Kampung Baru itu boleh menjadi sebuah pusat perkembangan ekonomi Melayu dan Islam yang paling penting di Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia.
Dengan cara ini juga tahap ekonomi Melayu akan melonjak tinggi dan ia boleh mengatasi pencapaian ekonomi bukan Melayu.
Orang Melayu boleh digalak untuk membeli-belah di sini bagi mendapatkan semua keperluan termasuk barangan elektronik dan komputer supaya kita tidak perlu ke Bukit Bintang untuk mendapatkannya. Kita boleh galakkan anak muda Melayu berkecimpung dalam bidang perkomputeran dan sebagainya.
Saya yakin Kampung Baru boleh jadi contoh yang baik untuk bandar lain seluruh negara yang sepatutnya mempunyai pusat kebudayaan dan perdagangan Melayunya.
Kampung Melayu Majidee di Johor Baru juga boleh dibangunkan seperti Kampung Baru. Kampung ini dikatakan jauh dari Johor Bahru sekarang. Ini yang bagusnya, sebab ia boleh dijadikan bandar raya satelit yang dikuasai dan didominasi oleh Melayu sepenuhnya, seperti Shah Alam dan Putrajaya dan banda raya besar lain di Semenanjung iaitu Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan.
Jumlah penduduk Melayu di semua bandar raya dan bandar di seluruh negara kian meningkat dan Melayu akan menjadi penduduk paling ramai di semua pusat bandar. Tetapi yang sedihnya kebanyakan kegiatan perniagaan dijalankan oleh bukan Melayu atau Cina, manakala Melayu hanya menyokong usaha mereka dan jadi pembeli. Jadi kuasa pembeli yang kita ada diserahkan kepada mereka sehingga mereka berjaya.
Tidakkah baik kalau kuasa pembeli yang ada pada Melayu diguna oleh Melayu bagi tujuan untuk mempertingkatkan tahap pencapaian ekonomi Melayu sendiri, dan dengan cara ini membuka peluang kepada anak-anak Melayu berkecimpung dalam bidang perniagaan?
Tahap ekonomi Melayu di Kuala Lumpur dan di seluruh negara boleh dipertingkatkan dengan adanya pusat bandar baru termasuk pusat perniagaan baru di semua bandar raya, bandar dan juga pekan.
(Sumber dari Berita Harian, 20/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan