Ahad, 21 Februari 2010

Konvensyen garis 4 pemetaan keberhasilan

KUALA LUMPUR: Konvensyen Wanita Umno dengan tema Nadi Transformasi dan Inovasi Negara menetapkan empat pemetaan keberhasilan yang perlu dicapai pergerakan itu untuk menjadi pemangkin perubahan bagi menggerakkan transformasi Umno.

Keberhasilan yang dicapai melalui prakonvensyen yang diadakan pada 9 Februari itu dibacakan koordinator mengikut empat bidang keberhasilan berkenaan pada majlis perasmian konvensyen itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.

Empat pemetaan keberhasilan itu ialah wanita sebagai peneraju 1Malaysia, ekonomi berasaskan inovasi, pembangunan inklusif dan kepemimpinan politik.

Bagi keberhasilan utama iaitu wanita sebagai peneraju 1Malaysia, Wanita Umno bersatu padu sebagai tunjang dalam memakmurkan kemajmukan bangsa dan kepelbagaian agama, kepercayaan dan adat resam masyarakat berpaksikan kepada Perlembagaan negara yang membawa kepada kesejahteraan dan kesaksamaan.

Dalam keberhasilan utama itu ada empat keberhasilan perantaraan iaitu hak asasi bangsa, agama Islam dalam masyarakat majmuk, pengagihan kekayaan dan akar umbi budaya Melayu.

Hak asasi bangsa - hak keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan institusi Raja terpelihara tanpa menjejaskan hak semua bangsa di Malaysia demi menjamin keharmonian dan kestabilan negara.

Agama Islam dalam masyarakat majmuk - Wanita Umno sebagai pejuang dalam mengekalkan agama Islam sebagai agama rasmi, di samping menghormati perbezaan dan pegangan agama dan kefahaman masyarakat majmuk seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Pengagihan kekayaan - Wanita Umno sebagai penggerak kepada pertumbuhan ekonomi dan penciptaan kekayaan serta aktif terbabit dalam membuat keputusan terhadap pembahagian kekayaan negara.

Akar umbi budaya Melayu - Wanita Melayu progresif berteraskan akar umbi budaya bangsa, sedia berhadapan, bersifat terbuka serta berupaya memanfaatkan perubahan global.

Bagi keberhasilan ekonomi berasaskan inovasi, empat keberhasilan perantaraan ditetapkan iaitu penjanaan kekayaan berpaksikan inovasi, keupayaan berinovasi, ekosistem inovasi dan pembudayaan inovasi dan kreativiti.

Pembangunan inklusif pula menetapkan wanita mempunyai daya saing yang tinggi berpaksikan pengetahuan dan kemahiran tinggi dalam pelbagai bidang seiring dengan kemajuan terkini serta memenuhi kehendak pembangunan sosial dan ekonomi domestik serta global.

Wanita juga perlu terbabit dan berperanan secara signifikan dan mapan dalam arus perdana pembangunan negara dengan disokong oleh dasar, perundangan dan peraturan, mekanisma dan infrastruktur yang mengupayakan.

Bagi keberhasilan kepemimpinan politik, wanita Umno berdaya saing dan berintegriti sebagai pemimpin, pembimbing, teladan dan perhubungan yang menyumbang ke arah pembinaan negara bangsa dan masyarakat sejagat, transformasi negara serta memberi perkhidmatan dan berjuang mempertahankan hak secara inovatif, konsisten dan mesra bersandarkan sistem tadbir urus yang cekap dan telus berlandaskan nilai murni, agama dan adat.


(Sumber dari Berita Harian, 20/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...