utusanputrajaya@utusan.com.my
PUTRAJAYA 20 Feb. - Putrajaya bukan sebuah bandar yang lesu, sebaliknya merupakan destinasi untuk pelbagai aktiviti bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pembukaan lebih banyak pusat komersial juga menjadikan Putrajaya lebih ceria pada hujung minggu dan waktu malam.
Katanya, Putrajaya tidak boleh dibandingkan dengan Kuala Lumpur yang merupakan pusat perdagangan dan ekonomi yang telah wujud sejak kurun ke-19.
"Tidak adil jika Putrajaya dibandingkan dengan Kuala Lumpur kerana Putrajaya merupakan pusat pentadbiran negara dan aktiviti di sini lebih menumpu kepada aktiviti kekeluargaan.
"Kami bagaimanapun turut menyediakan kemudahan komersial di Putrajaya dan ciri-ciri keceriaan waktu malam sudah mula wujud di Presint Diplomatik di Presint 15," katanya.
Beliau berucap dalam majlis pelancaran Wow! Putrajaya di tapak pasar tani Presint 2 di sini hari ini.
Wow! Putrajaya diadakan selari dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri yang mahu menjadikan Putrajaya sebagai bandar ceria dan bertenaga walaupun selepas waktu pejabat.
Dalam pada itu, Nong Chik berkata, Perbadanan Putrajaya telah meluluskan permohonan untuk membangunkan beberapa plot komersial dan kompleks pejabat swasta di Presint 2, 3 dan 4.
"Beberapa bangunan komersial telah siap dibina dan sedang menunggu pengisian, ia diharap akan menggalakkan aktiviti ekonomi yang lebih aktif di Putrajaya," katanya.
Beliau berkata, Perbadanan Putrajaya juga merancang untuk menambah dan mempelbagaikan acara di Putrajaya pada tahun ini.
"Tumpuan akan diberi kepada aktiviti kesenian, kebudayaan, sukan dan rekreasi yang berupaya menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong," katanya.
(Sumber dari Utusan Malaysia, 21/02/2010)
Label:
Malaysiaku
1 ulasan:
Hasil pengkomersilan diharap tidak akan menggugat ketenangan di Putrajaya... Diharap tiada juga masalah trafik. Putrajaya menjadi sebuah tempat yang tersusun & sistematik...
Sebabnya "me" takut untuk ke sana kalau jalan sesak cam jalan tun razak. hahaha... rasa macam nak patah kaki layaknya...
Catat Ulasan