Isnin, 22 Februari 2010

Unit khas diwujud tingkat prestasi sekolah pedalaman

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my


PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan mewujudkan satu unit khas bagi meningkatkan prestasi sekolah pedalaman dalam usaha merapatkan jurang perbezaan antara sekolah di luar bandar dan bandar termasuk dari segi kemudahan serta pencapaian akademik.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata langkah itu adalah antara perkara yang terkandung dalam kertas cadangan komprehensif kementerian yang kini sedang dirangka bertujuan mengimbangi prestasi dan pembangunan prasarana antara sekolah luar bandar dan bandar.

"Kerajaan perlu adil dan kita sedar wujud perbezaan antara kedua-dua sekolah ini dan usaha ini adalah komitmen kerajaan untuk memastikan tiada lagi jurang antara sekolah di pedalaman dan di bandar," katanya ketika berucap pada Malam Amal Tautan Kasih anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, penubuhan unit itu dijangka dapat meningkatkan prestasi sekolah luar bandar sekali gus memastikan sekolah terbabit mampu menandingi prestasi sekolah di bandar.

Selain itu, Mohd Puad berkata, pengambilan bakal guru ke Institut Perguruan Guru (IPG) juga akan diperketatkan bagi memastikan hanya mereka yang layak dan berkualiti mengikuti pengajian dalam bidang perguruan.

Sehubungan itu, katanya, kementerian melantik bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Halili Dolhan sebagai Rektor IPG Induk bagi memastikan bakal guru yang dihasilkan adalah berkualiti sekali gus mampu memartabatkan lagi profesyen berkenaan.

"Kita tidak mahu lagi, mereka yang tidak berminat dan hanya menjadikan guru pilihan terakhir menjadi pelajar di institut ini. Kita mahu mereka yang benar-benar layak dan berkualiti saja berada di IPG," katanya.

Beliau sekali lagi memberi jaminan kerajaan tidak akan memotong sebarang bantuan kewangan dalam pendidikan seperti Program Pinjaman Buku Teks, Rancangan Makanan Tambahan dan Bantuan Makanan Asrama (BMA) walaupun perbelanjaan kementerian terpaksa dipotong sehingga RM4.6 bilion.

"Sudah tentu kementerian terpaksa mengurangkan perbelanjaan tetapi kita tidak akan korbankan bantuan kewangan pendidikan kepada golongan miskin," katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 21/02/2010)

1 ulasan:

Sepoi Bayu berkata...

Pelaksanaan yang lebih mendalam...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...