Ahad, 21 Februari 2010

Sarawak bakal eksport elektrik ke Brunei

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN
zaid.adnan@utusan.com.my


KUCHING 17 Feb. - Sarawak bakal mengeksport sebanyak 100 megawatt (MW) tenaga elektrik ke Brunei menjelang 2012, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan.

Beliau berkata, jumlah kapasiti itu akan dipertingkatkan kepada 150MW pada 2013 dan 50MW pada tahun-tahun berikutnya berdasarkan model Take-or-Pay.

Katanya, fasa pertama bagi penyambungan talian transmisi tersebut sejauh 13 kilometer akan dimulakan dari Stesen Janakuasa Tudan, Miri sehingga ke sempadan Brunei di Sungai Tujuh yang akan mengambil masa selama 18 bulan.

"Brunei sendiri kemudiannya akan melakukan penyambungan sistem ini untuk menjadi tulang belakang kepada rangkaian Sungai Tujuh-Kuala Belait-SPARK-Bukit Panggal dan Katok," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahan laporan kajian kebolehlaksanaan sistem penyambungan kuasa antara kerajaan negeri dan Brunei di sini hari ini. Hadir sama Menteri Tenaga di Pejabat Perdana Menteri, Brunei, Datuk Seri Pahlawan Mohammad Daud dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Mohd. Morshidi Abdul Ghani.

Kajian berkenaan telah dilakukan secara bersama oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Jabatan Perkhidmatan Elektrik Brunei selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 7 Mei tahun lalu.

Fasa kedua melibatkan pengeksportan tenaga dari Limbang yang ada kaitan dengan pembangunan projek Limbang II, dimulakan pada 2015 melalui Limau Manis atau Batu 18.

Dalam perkembangan lain, Awang Tengah tidak menolak kemungkinan kerajaan akan membangunkan lebih banyak stesen jana kuasa arang batu di negeri ini bagi memenuhi permintaan industri berasaskan tenaga elektrik.

Menurutnya, penggunaan sumber arang batu boleh menampung permintaan tinggi terhadap tenaga elektrik terutama di wilayah pembangunan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE).

"Seperti yang kita maklum, sumber arang batu di Sarawak mempunyai kualiti tinggi kerana ia mengandungi kandungan sulfur yang amat rendah sekali.

"Kita menjangkakan kuasa yang akan dihasilkan menggunakan arang batu di negeri ini meningkat kepada 470MW menjelang tahun depan, berbanding 225MW sekarang ini," katanya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 18/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...