Ahad, 21 Februari 2010

Gaji amah: Indonesia perlu kaji

JAKARTA 17 Feb. - Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata, penyelesaian kepada kajian semula memorandum persefahaman (MoU) mengenai penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia harus menguntungkan kedua-dua belah pihak di Malaysia dan Indonesia.

Katanya, di satu pihak, tenaga kerja Indonesia membantu Malaysia dalam pembangunan ekonominya manakala di pihak lain pula Malaysia memberi peluang pekerjaan kepada warga Indonesia, yang kemudian menyumbang kepada ekonomi Indonesia.

Sebagai negara sahabat yang berasal daripada saudara serumpun dan mempunyai banyak persamaan dalam budaya dan bahasa, Malaysia dan Indonesia seharusnya sentiasa menangani apa juga permasalahan yang dihadapi dengan matlamat akhir penyelesaiannya ialah kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara dan rakyatnya, katanya selepas mengunjungi Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Marzuki Alie di sini hari ini.

Sehubungan itu, Syed Munshe Afdzaruddin berkata, cadangan Indonesia supaya gaji minimum RM800 (Rp2.2 juta) sebulan ditetapkan bagi pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia harus dikaji kewajarannya dengan mengambil kira keupayaan majikan di Malaysia untuk membayar upah sebanyak itu dan sama ada upah itu setimpal pula dengan produk yang mereka peroleh.

Indonesia telah menggantung sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sejak pertengahan tahun lepas dan kedua-dua belah pihak masih berunding untuk menandatangani MoU baru bagi penghantaran pekerja domestik itu agar ia lebih teratur dan menjamin perlindungan kepada pekerja dan majikan. - BERNAMA

Gaji minimum bagi pembantu rumah di Jakarta turut menjadi isu apabila pihak berkuasa kotaraya ini merancang untuk menetapkan kadar RP1.1 juta (kira-kira RM400) sebagai gaji minimum sebulan.

Sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris melaporkan hari ini bahawa ramai majikan mengeluh tidak mampu membayar gaji sebanyak itu, walaupun cadangan itu disambut baik oleh kumpulan aktivis buruh.

Beberapa majikan yang ditemu ramah akhbar berkenaan menyatakan bahawa kadar itu terlalu tinggi sedangkan pada masa ini mereka kebanyakannya membayar antara Rp400,000 (kira-kira RM160) hingga Rp500,000 (kira-kira RM200) sebulan kepada pembantu rumah masing-masing.

Cadangan pindaan terhadap memorandum persefahaman yang akan ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia antara lain menetapkan gaji minimum RM550, dengan satu hari bercuti, majikan membuka akaun bank atas nama pekerja mereka dan membenarkan pekerja itu memegang pasport sendiri.

Indonesia bagaimanapun meminta agar gaji minimum itu ditetapkan pada RM800.

— Bernama

(Sumber dari Utusan Malaysia, 18/02/2010)


0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...