Ahad, 21 Februari 2010

Tenaga pakar teknologi nano cabaran besar Malaysia

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Keperluan tenaga manusia yang pakar dalam bidang teknologi nano merupakan antara cabaran paling besar yang dihadapi Malaysia pada hari ini.

Pemenang Anugerah Merdeka 2009, Profesor Dr. Halimaton Hamdan (gambar) berkata, penyertaan rakyat Malaysia dalam bidang berpotensi tinggi itu masih kurang terutama dalam soal tenaga kerja dan kepakarannya.

"Teknologi nano bukanlah teknologi yang sudah sedia ada. Ia memerlukan penyelidikan dan pembangunan sepanjang masa jadi aspek tenaga pakar ini amat penting," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan ceramah Anugerah Merdeka di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah dan Pengarah Eksekutif Sekretariat Anugerah Merdeka, Datuk Khalid Mohd.

Halimaton, 53, adalah penerima Anugerah Merdeka kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi.

Pengiktirafan itu diberi berdasarkan kejayaan beliau menghasilkan 'Maerogel' iaitu sejenis 'aerogel' daripada sekam padi sekali gus mengurangkan 80 peratus kos penghasilannya.

Bahan itu mempunyai nilai komersial tinggi dan boleh diguna untuk mengurangkan suhu panas bangunan konkrit, menyerap tumpahan minyak serta pencemaran udara dan dijadikan panel kalis bom.

Halimaton yang juga Pensyarah Jabatan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menambah, pembangunan dan kemajuan bidang teknologi nano juga memerlukan kerjasama yang erat antara penyelidik di institusi pengajian tinggi dan pihak industri.

Terdahulu dalam ceramahnya, Halimaton berkata, teknologi nano merupakan bidang yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara sekiranya ia diberi penumpuan yang bersungguh-sungguh.

Katanya, dalam tempoh empat tahun lagi, nilai pasaran dunia bagi bidang teknologi nano dijangka berjumlah USD2.6 trilion.

"Nilai pasaran bidang ini amat luas. Jika Malaysia boleh menguasai satu peratus daripada jumlah itu, ia amat bagus untuk kita," katanya.

Beliau berkata, teknologi nano merupakan bidang yang berkembang lebih pantas berbanding yang lain memandangkan banyak aspek kehidupan dan pembangunan manusia serta negara mengaplikasikan teknologi itu.

"Teknologi nano adalah ilmu yang menggabungkan pelbagai ilmu sains seperti kimia, fizik, biologi, kejuruteraan serta sebagainya dalam menghasilkan sesuatu produk menerusi penyelidikan dan pembangunan. Ia adalah teknologi masa depan yang hanya memerlukan inovasi dan kreativiti tinggi," ujarnya.

Menurutnya, negara-negara Asia seperti Korea, Singapura dan Taiwan sudah jauh menguasai bidang ini dan Malaysia tidak boleh ketinggalan untuk berada setaraf dengan mereka.

"Kita cuma perlu bekerja keras untuk usaha ini. Langkah kerajaan mewujudkan Inisiatif Teknologi Nano Kebangsaan adalah langkah yang bertepatan pada masanya,'' katanya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 18/02/2010)


0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...