Ahad, 21 Februari 2010

M41.4 juta naik taraf

GUA MUSANG 17 Feb. - Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) akan membelanjakan RM41.4 juta tahun ini bagi melengkapkan perkampungan Orang Asli seluruh negara dengan pelbagai kemudahan asas, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Sani Mistam.

Beliau berkata, peruntukan itu termasuk untuk membina rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Katanya, usaha itu bagi menyeimbangkan kehidupan mereka dengan kaum dan mengelakkan mereka dari terus tinggal dalam keadaan serba kekurangan.

''Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh RMK-10) yang bermula tahun depan, kemungkinan JHEOA mendapat peruntukan lebih besar bagi melaksanakan banyak lagi kemudahan asas yang diperlukan kaum terbabit.

''Kita sudah menyenaraikan pelbagai projek untuk diangkat kepada kerajaan bagi mendapatkan kelulusan peruntukan untuk RMK-10," katanya kepada media selepas majlis perasmian Lestari Siswa-Siswi Dabong Universiti Sains Malaysia (USM) di perkampungan Orang Asli Pos Pulat, dekat sini hari ini.

Seramai 85 siswa dan siswi menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama kaum Orang Asli yang turut dihadiri Pemangku Pengarah JHEOA Kelantan/Terengganu, Abdul Razak Arshad. Mohd Sani berkata, JHEOA juga sentiasa mengalu-alukan pelbagai pihak untuk menganjurkan projek bersama masyarakat kaum terbabit untuk membuka minda mereka dalam mengejar pembaharuan hidup.

"Sekurang-kurangnya mereka boleh mempelajari cara hidup maju yang dinikmati kaum lain di negara ini terutama pelajar sekolah, untuk menimba ilmu dan mengejar kemajuan," katanya.

Beliau mengakui tahap pencapaian anak Orang Asli dalam dunia pendidikan masih rendah dan memerlukn banyak pihak memberi bimbingan menerusi aktiviti kemasyarakatan seperti yang diadakan siswa dan siswi USM itu.

Katanya pemilihan program berkenaan di Pos Pulat juga menepati sasaran, berikutan ramai masyarakat kampung terbabit yang ingin merasaikan lebih banyak pergaulan dan memerlukan perubahan minda.

''Lagipun Pos Pulat mempunyai daya tarikan tersendiri kerana bukan sahaja kedudukan di tepi Sungai Nenggiri yang selalu dikunjungi pelancong asing menerusi aktiviti berakit, malah banyak aktiviti lain yang membuka kaum itu memperolehi pendapatan," katanya. - BERNAMA

(Sumber dari Utusan Malaysia, 18/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...