Siapa orang asing ini – adakah mereka 'halal atau haram'. Tiada siapa yang dapat mengesahkan status mereka. Orang Rohingya, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Vietnam, China, Filipina, Indonesia malah ada yang datang sejauh benua Afrika, yakni Nigeria, Ghana, Sudan dan negara Asia Tengah 'berkampung dan bebas melakukan sesuka hati' di lokasi berkenaan. Apakah keadaan ini hasil sikap kita mudah memberi layanan baik kepada warga asing atau ketagihan majikan tempatan untuk menggaji pekerja asing? Kita faham dalam dunia serba moden sekarang kita tidak dapat lari daripada pergantungan kepada tenaga asing. Malah ada juga rakyat kita yang berhijrah kepada negara lain untuk mengejar ilmu atau mencari rezeki. Tetapi wajarkah kita menerima kedatangan semua warga asing tanpa usul periksa 'kualiti' mereka. Kerajaan harus peka atau sensitif dengan perkembangan ini. Membanteras pendatang haram dan menggantikan tenaga asing dengan pekerja tempatan harus dijadikan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) masing-masing untuk Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Manusia mulai 2010.
Maka apabila kerajaan menetapkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) termasuk membabitkan usaha mengurangkan jenayah maka realiti yang mesti diakui ialah sebahagian daripada kes itu membabitkan penjenayah asing. Kebanjiran mereka turut mengaitkan Malaysia sebagai pusat pelbagai sindiket antarabangsa seperti penyeludupan manusia, pengedaran dadah, pemalsuan dokumen imigresen serta kad kredit. Semua ini memburukkan imej Malaysia pada kaca mata masyarakat antarabangsa. Kerajaan juga mesti berpendirian tegas dan berpada-pada berhubung kesanggupan melindungi pelarian kerana Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) merekodkan ada 79,300 orang pelarian dan pencari perlindungan di negara ini.
Ringkas, kebanjiran orang asing akan menyumbang kepada pelbagai masalah sosial, ekonomi dan politik selain meningkatkan kos pengurusan kerajaan yang sepatutnya perbelanjaan itu boleh dikurangkan atau dimanfaatkan anak watan. Oleh itu, tindakan mengawal kehadiran 'semut asing' daripada terus menikmati 'gula' di negara ini perlu dilakukan segera demi kebaikan rakyat dan keselamatan negara ini.
(Sumber dari Berita Harian, 18/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan