Penyusupan pendatang punca peningkatan jenayah, gejala sosial
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kelmarin menyatakan beliau terkejut dengan lambakan 'luar biasa' rakyat asing di sini. Ini pun selepas beliau meninjau keadaan di ibu kota dan melihat sendiri suasana kebanjiran mereka di beberapa kawasan tertentu di ibu kota ketika cuti Tahun Baru Cina akhir minggu lalu dan awal minggu ini.
Sesiapa yang menjenguk ke taman KLCC di luar Menara Berkembar Petronas, Jalan Silang atau Taman Tasik Perdana, antara beberapa tempat tumpuan warga asing, akan bertembung dengan pelbagai kelompok warga asing sama ada dari Filipina, Vietnam, Kemboja, Nepal, India, China, Bangladesh, Indonesia dan warga benua Afrika termasuk dari Nigeria, Ghana, Kenya atau dari Amerika Latin seperti Mexico, Columbia dan Peru.
Pengakuan Hishammuddin itu bukan saja menghairankan tetapi mencemaskan kita bagaimana terdedahnya rakyat kepada kemungkinan pelbagai perlakuan tidak diingini yang boleh dilakukan warga asing itu. Sememangnya, sejak akhir-akhir ini rakyat berdepan pelbagai perlakuan jenayah termasuk rompakan, pecah rumah, kecurian dan penipuan dilakukan warga asing.
Apakah keadaan demikian tidak disedari pihak berkepentingan di Jabatan Imigresen atau di Kementerian Dalam Negeri sebelum ini? Apakah menteri tidak diberikan laporan yang menggariskan gambaran sebenar mengenai kedudukan kebanjiran warga asing ini?
Malangnya, masalah ini memang pun tidak disedari Kementerian Pelancongan dan Kementerian Sumber Manusia. Kementerian Pelancongan berterusan menekan pihak imigresen supaya tidak terlalu ketat memeriksa warga asing yang mahu masuk ke negara kita. Kononnya kalau terlalu ketat pelancong tidak akan datang.
Bagi kementerian terbabit, setiap warga asing yang datang dianggapnya sebagai pelancong supaya ia boleh berterusan berbangga dengan angka menunjukkan peningkatan jumlah pelancong yang masuk setiap tahun.
Kalau benarlah ada peningkatan kemasukan pelancong asing yang amat membanggakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengikut angka diberikan Kementerian Pelancongan, tentu hotel dan rumah penginapan di merata tempat akan dipenuhi pelawat asing. Tetapi keadaan sebenarnya tidak seperti didakwa.
Banyak rumah tumpangan di persisiran pantai Terengganu, Kelantan dan Pahang misalnya mengeluh dengan penurunan ketara jumlah pelancong asing yang menginap di situ sejak setahun dua kebelakangan ini. Kini lebih ramai rakyat tempatan menginap di tempat itu, bukannya pelancong asing.
Demikian pula Kementerian Sumber Manusia, Oktober lalu meluluskan pengambilan 100,000 lagi pekerja asing kononnya untuk menampung permintaan pelbagai kilang perusahaan elektronik, plastik, perabot dan sarung tangan getah yang meningkat berikutan pemulihan ekonomi dunia. Kononnya kalau permintaan mereka untuk mendapatkan pekerja itu tidak diterima, kemungkinan kilang itu tidak dapat memenuhi permintaan barangan terbabit.
Kebanyakan kilang ini memberi alasan kononnya pekerja tempatan tidak mahu bekerja di kilang. Jika gaji yang diberikan tidak dapat menampung sara hidup warga tempatan, maka tentulah mereka tidak mahu bekerja di kilang. Tetapi kiranya kilang berusaha meningkatkan kaedah kerja dengan menerapkan sistem automasi sudah tentu produktivitinya juga akan meningkat.
Sebenarnya usaha demikian memerlukan kilang itu bersedia menambahkan pelaburan dengan menyediakan mesin diperlukan selain memberi latihan secukupnya untuk menyediakan pekerja mahir.
Tetapi kiranya kilang tiada hasrat ini dan ada kementerian yang tidak mahu berpandangan jauh tentunya matlamat ini tidak dicapai. Berikutan kesedaran Hishammuddin ini, satu strategi baru menanganinya akan dibawa kepada Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin. Ini termasuk semakan undang-undang, prosedur kemasukan, pemantapan strategi penguatkuasaan dan penambahbaikan sistem maklumat dan pemantauan.
Nampaknya, nanti adalah pembekal baru untuk menyediakan sistem mengumpul maklumat dan pemantauan diperlukan itu. Entah berapa pula kosnya. Yang menghairankan apa sudah jadi kepada sistem 'canggih' imigresen dibangunkan Syarikat Multimedia Glory Sdn Bhd. Kenapa selepas berbelanja hingga kira-kira RM2 bilion ia tidak dapat digunakan?
Dikatakan sistem ini gagal menepati kehendak Jabatan Imigresen hingga ia terpaksa kembali menggunakan sistem disediakan Hitech Padu sebelum itu. Ini juga sebab kenapa pemantauan tidak dapat dilakukan terhadap warga asing yang masuk secara sah. Ini belum termasuk mereka diseludupkan ke negara kita.
Apakah sebenarnya yang berlaku dengan sistem imigresen itu? Bagaimana ia boleh diterima kalau tidak menepati kehendak imigresen?
(Sumber dari Berita Harian, 18/02/2010)
0 ulasan:
Catat Ulasan