jamhariah@bharian.com.my
Tindakan pertikai perbicaraan kes liwat Anwar dianggap melampau
HORMATI kedaulatan Malaysia dan jangan campur tangan urusan kami! - Itu adalah mesej disampaikan rakyat Malaysia kepada 50 Ahli Parlimen Australia yang mendesak kerajaan menggugurkan tuduhan meliwat ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang dalam proses perbicaraan.
Walaupun seminggu lewat, protes yang diadakan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di ibu negara semalam, yang mulanya dicadangkan sekumpulan blogger mendapat sambutan banyak pihak termasuk parti politik serta 18 Ahli Parlimen Malaysia bertemu sendiri Pesuruhjaya Tinggi Australia, Penny Williams.
Sudah tiba masanya kerajaan dan rakyat Malaysia bertegas terhadap campur tangan luar ke atas hal-ehwal dalaman negara ini, kerana bukan hak orang luar untuk membuat penilaian serta memberi rating terhadap apa yang berlaku di dalam sesebuah negara sehingga mencetuskan syak wasangka.
Tindakan sama juga perlu dibuat ke atas Agensi Konsultan Politik dan Risiko Politik (PERC) di Hong Kong yang mengeluarkan kajian mendakwa Malaysia semakin menuju ke arah ketidakstabilan kerana suasana politik tidak menentu.
"Siapa mereka untuk mengatakan itu dan ini mengenai negara kita. Apa lagi untuk menyentuh isu membabitkan proses kehakiman dan undang-undang negara ini," kata Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Mokhtar Radin.
Walaupun teori konspirasi bergema di belakang tindakan 50 Ahli Parlimen Australia ini, Williams dipercayai bertegas bahawa Kerajaan Australia tidak ada kena mengena dengan tuntutan yang dibuat dan 'tidak mampu untuk menyekat mereka daripada membuat sebarang kenyataan'.
Hakikatnya, agak aneh dan janggal apabila kira-kira 50 penggubal undang-undang Australia membuat protes rasmi mendesak Kerajaan Malaysia menggugurkan semua tuduhan meliwat ke atas Anwar dengan amaran 'ia akan menjejaskan imej negara ini'.
Lebih aneh, jurucakap kumpulan berkenaan ialah Michael Danby, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, dan alasan yang diberi juga amat janggal iaitu 'ramai orang mengenali Anwar Ibrahim, ramai orang ke Malaysia dan ramai Ahli Parlimen Australia berpendapat adalah memalukan kejadian ini berlaku buat kali kedua ke atas ketua pembangkang di sebuah negara demokrasi.'
Ini adalah kes mahkamah dan tuduhan ke atas Anwar dibuat berdasarkan laporan polis dan pendakwaan hanya dilakukan selepas ia didapati mempunyai asas kukuh, apa lagi yang membuat tuduhan adalah orang yang mengaku menjadi mangsa liwat itu sendiri.
Tiada siapa yang mempunyai fikiran waras akan terus membuat tuduhan wujud konspirasi kerana yang menuduh bukan Kerajaan Malaysia, sebaliknya individu yang pernah bekerja dengan Anwar sendiri.
Tindakan pemimpin pembangkang itu sendiri yang mencari pelbagai alasan untuk menunda perbicaraan sehingga 20 kali, serta mencetus pelbagai kontroversi dalam usaha mengalihkan pandangan rakyat daripada kes ini, hanya mencetus lebih banyak kecurigaan.
"Di samping itu, pendakwaan dibuat berasaskan bukti serta laporan polis, bukan boleh direka oleh sesiapa pun," kata Bung Mokhtar mengenai surat bantahan Ahli Parlimen Malaysia kepada Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd, yang diserah melalui Williams.
Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron, yang turut serta dalam pertemuan itu berkata mereka mewakili rakyat Malaysia yang tidak mahu mana-mana negara luar campur tangan dalam hal-ehwal dalaman Malaysia, apa lagi membabitkan kes mahkamah.
"Rakyat Malaysia di seluruh negara, tidak kira di bandar atau luar bandar tidak boleh meluahkan perasaan kesal mereka, jadi kami mewakili mereka untuk membuat bantahan ini," katanya.
Pemuda Barisan Nasional (BN) diketuai Khairy Jamaluddin turut lantang menyuarakan bantahan, membidas tindakan Ahli Parlimen Australia yang langsung tidak menghormati kedaulatan Malaysia.
"Mengambil kira surat bantahan yang dihantar mereka sendiri yang merekodkan pengakuan mereka menghormati tindakan meliwat adalah satu jenayah di Malaysia, kami mendesak mereka memberi penghormatan sama kepada sistem kehakiman Malaysia dan bertindak mengikut undang-undang serta memastikan ia dilaksanakan dengan adil dan saksama," kata Khairy.
Bantahan Pemuda BN yang disokong Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut mendesak Danby menarik balik surat yang dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia dan memohon maaf kerana tidak menghormati perundangan serta kedaulatan negara ini.
Hubungan Kuala Lumpur-Canberra pernah panas kerana mulut celupar pemimpin Australia. Pada 1993, rakyat Malaysia berang dengan bekas Perdana Menteri Australia, Paul Keating, menggelar Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai seorang yang 'keras kepala' dan kita tidak mahu ia kembali tegang kerana sikap 'biadap' Ahli Parlimennya yang tidak tahu batasan dalam hubungan diplomatik.
Apa yang pasti, orang yang paling tidak mahu sebarang kontroversi berlaku antara kedua-dua negara ialah Penny Williams, yang tidak mahu meninggalkan Kuala Lumpur bulan depan dengan rekod kerja kerasnya menjaga hubungan kedua-dua negara musnah hanya kerana 'setitik nila'.
(Sumber dari Berita Harian, 18/02/2010)
0 ulasan:
Catat Ulasan