Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata bagi mengatasi kekurangan itu, Kementerian Kesihatan melalui strategi jangka pendek menawarkan kepada doktor swasta untuk berkhidmat di hospital dan klinik kerajaan secara kontrak.
"Kekurangan doktor terbabit termasuk doktor pakar itu ketika ini bagaimanapun tidaklah menjejaskan perkhidmatan di hospital atau klinik kerajaan.
"Kerajaan yakin kekurangan tersebut akan dapat diatasi apabila 15 universiti di negara ini yang mengadakan jurusan itu dapat mengeluarkan sekurang-kurangnya 3,000 graduan kedoktoran mulai tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melawat hospital Jerantut, di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan juga sentiasa berusaha mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan terutamanya bagi rakyat di kawasan luar bandar dengan membina lebih banyak pusat kesihatan, selain menaiktaraf pusat kesihatan sedia ada.
Bagi daerah Jerantut di Pahang, katanya, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM19 juta bagi membina sebuah klinik kesihatan moden serba lengkap.
"Klinik kesihatan itu akan memberikan perkhidmatan kepada kira-kira 97,000 penduduk di daerah Jerantut yang memerlukan perkhidmatan terbaik dan merupakan klinik sokongan kepada hospital daerah," katanya.
Pada perkembangan lain, beliau berkata sejumlah 1,059 kes demam denggi dengan sembilan kematian dilaporkan di seluruh negara sepanjang minggu lepas, antara 7 hingga 13 Feb.
Katanya, tiga daripada mangsa kematian itu membabitkan kanak-kanak berusia lima bulan hingga empat tahun dan selebihnya orang dewasa.
"Jumlah lokasi kawasan panas juga meningkat dari 35 lokaliti kepada 40 lokaliti. Lebih membimbangkan 58 peratus daripada 45 kawasan panas itu telah mengalami wabak," katanya.
Sehubungan itu, Liow mahu semua pihak termasuk masyarakat setempat membersihkan kawasan persekitaran khususnya menghapuskan tempat pembiakan aedes.
Beliau berkata Perlis, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Putrajaya/Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak telah mencatatkan peningkatan kes demam denggi dalam tempoh minggu lepas, berbanding minggu sebelumnya.
Mengenai penyakit Chikungunya, Liow berkata sejumlah 40 kes dilaporkan pada minggu lepas dan menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 38 kes pada minggu sebelumnya.
"Sebanyak 34 kes dilaporkan berlaku di Sarawak, selebihnya di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Kelantan," katanya. - Bernama
(Sumber dari Berita Harian, 18/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan