Jumaat, 19 Februari 2010

Pinjam buku secara dalam talian di 7 perpustakaan

KUALA LUMPUR: Tujuh perpustakaan di seluruh negara kini menawarkan pinjaman buku secara dalam talian dengan kos yang rendah melalui program perintis pelaksanaan Pelan Strategik Teknologi Maklumat 2010-2013 yang dilancarkan hari ini.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Raslin Abu Bakar, berkata tujuh perpustakaan yang mengikuti program itu adalah PNM sendiri, Perpustakaan Intan Bukit Kiara, Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Perpustakaan Awam Pahang, Perpustakaan Kuala Lumpur, Perpustakaan Selangor dan Pustaka Sarawak.

"Buku-buku yang dipinjam secara dalam talian itu kita akan hantar melalui sistem pos.

"Melalui pinjaman buku secara dalam talian ini ia memudahkan ahli di mana jika di tempat mereka tiada buku yang dikehendaki itu, mereka boleh meminjam dari perpustakaan lain contohnya secara dalam talian," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, beliau mensasarkan semua 189 perpustakaan di seluruh Malaysia akan menawarkan kemudahan sama secara menyeluruh dalam tempoh empat tahun.

"Kita berharap dalam jangka masa 2010 sehingga 2013 perpustakaan di desa dan pedalaman terutamanya akan mempunyai akses untuk membuat pinjaman buku secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata, PNM turut mensasarkan sebanyak satu juta keahlian menjelang akhir tahun ini.

"Buat masa ini kita mempunyai 870,000 ahli dan kita harap melalui program pinjaman buku secara dalam talian ini ia mampu menarik lebih ramai ahli," katanya. - Bernama

(Sumber dari Berita Harian, 18/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...