Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata dua perisian diperuntukkan oleh Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (Irda) kepada polis Johor sebagai langkah permulaan penggunaan sistem itu.
"Penggunaan GIS diharap dapat mengikis persepsi negatif pelabur asing terhadap keselamatan di Iskandar Malaysia sekaligus meningkatkan keyakinan mereka untuk menjalankan kegiatan ekonomi di wilayah tersebut," katanya selepas majlis penyerahan dua komputer dilengkapi GIS oleh Ketua Pegawai Eksekutif Irda, Ismail Ibrahim, di sini hari ini.
Mohd Mokhtar berkata, GIS yang biasa digunakan di negara maju dapat memberi maklumat kepada masyarakat terhadap kawasan tumpuan jenayah selain membantu polis meningkatkan pengawasan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, anggota polis akan dilatih bagi meningkatkan kecekapan mereka menggunakan sistem berkenaan.
Mohd Mokhtar berkata, Irda dan polis Johor akan mewujudkan tiga Pos Komuniti Polis di kawasan tumpuan jenayah sebagai langkah memudahkan orang ramai berurusan dengan polis.
"Kita juga akan memasang papan tanda elektronik yang dilengkapi nombor telefon polis Johor di Tambak Johor dan mengadakan forum kepada pelabur asing untuk memberi penerangan mengenai tahap keselamatan kepada mereka," katanya.
Satu unit khas polis juga sudah ditubuhkan bagi memudahkan pelabur asing membuat sebarang aduan dan menerima nasihat sekiranya berlaku sebarang kejadian.
Ismail pula berkata, sistem GIS yang diperkenalkan di Iskandar Malaysia dapat membantu polis menangani jenayah dengan berkesan.
"Usaha perlu dibuat untuk memastikan pelabur bekerja dalam suasana selamat kerana ada antara mereka yang sudah biasa dengan penggunaan sistem keselamatan yang tinggi kerana mereka datang dari negara yang maju.
"Usaha juga sedang dibuat untuk memasang 2,000 kamera litar tertutup di seluruh 2,217 kilometer persegi kawasan Iskandar Malaysia," katanya. - Bernama
(Sumber dari Berita Harian, 18/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan