wfaizal@bharian.com.my
KDN bangun sistem maklumat status setiap individu: Hishammuddin
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membangunkan satu mekanisme dan sistem maklumat bagi membolehkan pergerakan serta lokasi setiap warga asing yang masuk ke negara ini dipantau sepanjang masa.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata realiti kebanjiran warga asing tidak bertepatan dengan rekod yang ada pada agensi berkaitan termasuk data semasa pelancong asing.
Sehubungan itu, katanya, penambahbaikan pengurusan dan pemantauan melalui strategi baru perlu dilaksanakan segera.
Katanya, penambahbaikan dan pendekatan baru yang akan dilaksanakan itu sejajar dengan senario semasa seperti kaedah terkini pergerakan masuk dan keluar serta mobiliti pekerja asing dalam negara yang sukar dikesan melalui pendekatan konvensional.
"KDN sedang mengkaji penambahbaikan terhadap sistem maklumat sedia ada yang membolehkan semakan status warga asing dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat sekalipun.
"Kita akan membina mekanisme dan sistem yang boleh memantau setiap seorang warga asing yang memasuki negara ini sehingga mereka keluar semula.
"Matlamat kita adalah untuk mewujudkan persekitaran di mana warga asing yang berada di negara ini tanpa status yang sah akan berasa takut dan terancam sehingga bersedia untuk meninggalkan negara ini pada kadar segera," katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
Hishammuddin berkata, cadangan itu antara empat fokus penambahbaikan yang dikenal pasti bagi menangani lambakan warga asing selain kajian semula undang-undang, semakan prosedur kemasukan dan pemantapan strategi penguatkuasaan yang dirangka kementeriannya.
Beliau berkata, cadangan awal berhubung perkara itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-Pati) yang akan dipenge-rusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 22 Februari ini.
Katanya, berdasarkan perkembangan semasa, kekerapan penguatkuasaan perlu dimantapkan dengan mekanisme pemantauan komprehensif yang hanya boleh diwujudkan sekiranya negara memiliki sistem maklumat secara bersepadu dan berintegrasi.
"Sepanjang 2009, sebanyak 7,099 operasi dijalankan oleh Jabatan Imigresen di seluruh negara yang membabitkan 47,310 tangkapan. Ini meliputi 26,545 kes masuk ke negara ini secara tidak sah, 8,655 kes tinggal di negara ini selepas pas atau permit tamat atau dibatalkan.
"Selain itu, 6,836 kes dikesan melanggar syarat pas atau permit yang dikeluarkan, 669 kes menggunakan atau memiliki pas atau permit palsu atau dipinda dan selebihnya 4,605 membabitkan lain-lain kesalahan," katanya.
(Sumber dari Berita Harian, 17/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan