Khamis, 18 Februari 2010

Ambil iktibar kejadian pemanasan global

KUALA LUMPUR: Pemanasan global yang dialami bumi ketika ini seharusnya meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab penggubal dasar dan anggota masyarakat untuk mengawal sumber bekalan air dan sistem pengudaraan bagi mengelak kesan negatif terhadap amalan kehidupan harian.

Pengarah Pusat Perubahan Cuaca Universiti Malaya (UMCCA), Profesor Dr Khairulmaini Osman Salleh, berkata kedua-dua keperluan hidup itu sewajarnya dijaga terutama ketika bumi sedang mengalami pemanasan berikutan pembebasan gas dari rumah hijau.

"Dalam menghadapi situasi ini, kanak-kanak dan warga tua terutama yang mengalami masalah kesihatan perlu berhati-hati dan meminum air yang dimasak atau air yang ditapis secukupnya, manakala pemilik kenderaan pula tidak seharusnya terlalu kerap mencuci kereta kerana ia boleh menyebabkan pembaziran sumber.

"Bagi kerajaan pula, perancangan pembangunan kawasan yang lebih sistematik penting seperti kegiatan penebangan hutan dan projek perumahan," katanya.

Kelmarin, cuaca panas melampau dikatakan punca rel kereta api mengembang dan membengkok hingga menyebabkan 28 gerabak barang tergelincir di Kilometer 58.75 berhampiran Kampung Guar Stesen Dalam, Guar Chempedak, dekat Yan di Kedah. Cuaca panas juga menyebabkan kawasan tadahan air di beberapa negeri mencatatkan paras air yang berkurangan.

Dr Khairulmaini berkata, kejadian pada 21 Mac apabila matahari berada pada kedudukan menegak dengan Khatulistiwa akan menyebabkan bahagian tertentu bumi mengalami cuaca panas termasuk Malaysia.

Katanya, pemanasan bumi ketika ini juga akan menyebabkan kitaran atmosfera, daratan dan lautan dipengaruhi dan menjejaskan konsep imbangan.

Berikutan itu, beliau berkata, kawasan kitaran hidrologi penting untuk menentukan bekalan dan penggunaan air yang seimbang bagi memastikan sumber kekal untuk jangka panjang.

"Penggunaan melebihi pembekalan boleh menimbulkan banyak masalah dan ini tidak seharusnya berlaku kerana ia adalah asas dalam kehidupan," katanya.

Selain itu, beliau berpendapat panas yang dialami negara ketika ini wajar digunakan sebaiknya di kalangan pakar kaji cuaca untuk membangunkan teknologi mesra alam bagi menangani kesan perubahan cuaca di rantau ini.

"Malaysia boleh menjadi peneraju kepada pelbagai masalah cuaca yang dialami, bersesuaian dengan adanya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air," katanya.

(Sumber dari Berita Harian, 17/02/2010)  

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...