Ahad, 21 Februari 2010

Negara terlalu bergantung kepada pekerja asing - Penganalisis

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Kebanjiran warga asing yang dapat dilihat di sekitar ibu kota ketika cuti perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini menunjukkan betapa serius negara ini bergantung kepada pekerja asing.

Penganalisis sosial, Kamal Affendi Hashim berkata, jumlah pekerja asing yang ramai menunjukkan kebergantungan negara terhadap mereka kerana rakyat tempatan tidak berminat untuk mengisi kekosongan bagi pekerjaan tertentu.

Bagaimanapun, katanya, perbuatan mereka keluar beramai-ramai memenuhi ibu kota ketika cuti panjang sejak Ahad lalu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mereka mendapat pelepasan cuti dari majikan.

"Apa lagi yang mereka hendak buat, mereka bukan seperti kita yang menggunakan kesempatan cuti panjang untuk pulang ke kampung halaman," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan, jika lambakan pekerja asing tidak dikawal, keadaan itu boleh membawa kepada masalah sosial dan semua pihak harus memandang serius kesan daripadanya.

Beliau merujuk beberapa kes jenayah yang melibatkan pekerja asing seperti pergaduhan dan kecurian.

"Kerajaan perlu memberi perhatian pada perkara ini khususnya aspek perdagangan manusia yang melibatkan agensi-agensi pekerjaan yang mengambil kesempatan ke atas keperluan tenaga manusia di dalam negara," kata Kamal Afendi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berasa terkejut dengan lambakan warga asing semasa cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Sementara itu Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA), Alwi Bavutty menjelaskan, kebanjiran warga asing tidak sepatutnya dilihat daripada sudut negatif.

"Sudah menjadi perkara biasa untuk siapa pun sahaja menggunakan musim cuti dengan keluar melakukan pelbagai aktiviti seperti berjumpa rakan-rakan," katanya.

Bagaimanapun, Alwi berkata, pihak berkuasa masih boleh meletakkan anggotanya untuk membuat pemantauan di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni berkata, kebanjiran pekerja asing itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah turut berlaku ketika perayaan utama yang lain atau pada cuti hujung minggu.

"Malah ia turut berlaku di beberapa bandar besar yang lain di Malaysia," katanya.

Ditanya sama ada kebanjiran mereka dikaitkan dengan masalah pendatang tanpa izin (PATI), beliau menjelaskan, perkara tersebut lebih berkait dengan persepsi masyarakat.

"Kebanyakan kita menggambarkan mereka sebagai PATI, tetapi mereka mempunyai permit yang sah dan bekerja dalam sektor yang penting," katanya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah mereka yang terlalu ramai akan diberi perhatian bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan supaya tidak menjadi bebanan kepada negara kelak.

Justeru, beliau yakin, kerajaan akan terus berusaha menangani masalah itu termasuk mengambil tindakan kepada majikan yang menggunakan kesempatan untuk mengambil pekerja asing tanpa permit.


(Sumber dari Utusan Malaysia, 18/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...