Beliau berkata, pengiktirafan itu mendorong Malaysia untuk menggerakkan kemajuan teknologi itu khususnya "wimax" dengan lebih cepat dan meluas termasuk ke kampung dan luar bandar.
"Wimax yang beraliran menerusi gelombang 2.3 dan 2.6 ini akan menjadi penyambung yang khusus bagi industri mudah alih di Malaysia," katanya kepada pemberita di akhir lawatan kerja tiga harinya ke sini hari ini.
Rais berkata, menjelang Ogos ini penyambungan khidmat itu akan lebih meluas ke seluruh negara melalui beberapa program yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Insya-Allah, kita akan melancarkan dengan kerjasama Telekom Malaysia dan beberapa syarikat telekomunikasi, penyambungan khidmat ini," katanya.
Rais berkata, antara program itu ialah penubuhan kelab atau komuniti Internet di kampung dan luar bandar selain di bandar-bandar.
"Saya jangka menjelang Ogos kita akan dapat menyambung khidmat ini ke tahap yang lebih nyata dan menambah kadar penembusan di Malaysia," katanya.
Rais merupakan segelintir menteri dalam bidang komunikasi yang diundang ke persidangan peringkat menteri dan rundingan meja bulat sektor kerajaan dan pemain industri sempena Kongres Telekomunikasi Mudah Alih Dunia 2010 di sini.
Beliau menyifatkan pengiktirafan terhadap Malaysia bukan saja kerana capaian telefon mudah alih negara sudah di tahap 106 peratus dan melepasi tahap petunjuk 31 peratus tembusan jalur lebar tetapi juga kerana komitmen kerajaan terhadap industri dan teknologi itu.
"Kita (kementerian) menyambut baik seruan kerajaan supaya diberikan tumpuan khusus kepada jalur lebar kerana perkembangannya di peringkat dunia juga pesat dan cepat berkembang," katanya.
Di seluruh dunia kini terdapat lebih lima bilion pelanggan jalur lebar dan, menurut Rais, di Malaysia juga dijangka berlaku peningkatan yang banyak dalam tempoh terdekat, yang akan meningkatkan lagi angka petunjuknya.
Pada kongres dan juga pameran tiga hari yang melibatkan 1,000 pemain industri itu, Rais yang diiringi Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Khalid Ramli, sempat melihat pameran teknologi peralatan dan perisian terbaru.
"Kita juga melihat perkembangan terbaru industri termasuk LTE iaitu teknologi yang berkembang selepas 3G, wifi dan wimax," katanya.
Beliau berkata, sebahagian peralatan dan perisian terkini itu akan dapat dilihat di Malaysia tidak lama lagi.
Rais berkata, hasil pengamatannya pada persidangan dan pameran itu, Malaysia bukanlah negara terawal tetapi tergolong dalam negara-negara yang tidak ketinggalan dalam mengamalkan teknologi alatan mudah alih seperti telefon bimbit dengan isian dalamannya yang boleh menerima siaran televisyen, siaran menerusi digital dan bunyi. - Bernama
(Sumber dari Utusan Malaysia, 18/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan