Jumaat, 12 Februari 2010

Kerajaan akan sedia pelan bangunkan ekosistem halal

Oleh Zainab Mohd Yatim
amy@bharian.com.my


KERAJAAN akan melancarkan satu Pelan Pembangunan Ekosistem Halal yang bakal menggariskan strategi menyeluruh pembangunan industri makanan serta produk halal tempatan bagi membolehkannya mencapai kejayaan seperti sistem perbankan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata pelan itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

“Ketika kerajaan memperkenalkan perbankan Islam pada 1981, Malaysia hanya ada sebuah bank Islam, tetapi selepas kira-kira 30 tahun, negara ini telah mempunyai sistem perbankan Islam yang berjaya dan menjadi antara peneraju utama sistem kewangan Islam global.

“Konsep sama ingin kami terapkan dalam industri makanan dan produk Halal dan saya begitu yakin Malaysia akan menjadi peneraju dunia satu hari nanti,” katanya selepas merasmikan Forum Rundingan Kebangsaan Standard Halalan-Toyyiban anjuran Yayasan Ekonomi Sejagat (Yes) bersama Standards Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Halal (HDC), di Kuala Lumpur, semalam.

Nor Mohamed berkata, walaupun Malaysia ketika ini banyak menghasilkan produk serta makanan halal untuk pasaran global, tetapi kemajuannya tidak mencapai tahap yang benar-benar diharapkan.

Malah, katanya pengeluaran produk serta makanan halal dunia ketika ini diterajui oleh negara bukan Islam seperti Thailand yang menjadi pengeluar utama produk makanan halal diproses, Australia sebagai pengeluar daging halal dan Brazil sebagai peneraju pengeluaran ayam halal dunia.

Bagi memastikan kejayaan Malaysia dalam industri itu, beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji rangka kerja Saluran Jaminan Halalan-Toyyiban (Halal-Tap) yang disediakan dan sudah diserahkan oleh Yes kepada Jabatan Perdana Menteri.

Nor Mohamed berkata, rangka kerja itu menerapkan tiga teras piawaian iaitu sistem keperluan pengurusan pengangkutan barangan dan khidmat rantaian kargo; sistem keperluan pengurusan gudang dan aktiviti berkaitan; dan sistem keperluan pengurusan peruncitan.

Rangka kerja itu, katanya disediakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk beberapa agensi kerajaan dan separa kerajaan, Standards Malaysia, Sirim Bhd, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Ketiga-tiga standard sistem Halalan Toyyiban itu bertujuan memastikan setiap produk halal akan dijamin kesuciannya di sepanjang rantaian bekalan, walaupun selepas melalui beberapa proses logistik khususnya pengangkutan, penyimpanan, pembungkusan dan peruncitan.

“Standard sistem itu juga akan menghindar dan meminimumkan kemungkinan pencemaran produk dari perkara haram dan ini selaras dengan usaha kerajaan dalam menjamin integriti produk halal,” katanya.

Beliau juga berharap, menerusi sistem piawaian berkenaan, akan muncul generasi baru usahawan Muslim.

(Sumber dari Berita Harian, 12/02/2010)



0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...