azliayob@bharian.com.my
PELAKSANAAN cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah sebahagian strategi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
“Pengenalan GST adalah pendekatan menyeluruh kerajaan bagi memastikan hasil pendapatan negara sentiasa kukuh ke arah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dalam dekad akan datang,” katanya.
Justeru, Ahmad Husni berkata, kerajaan akan sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki struktur percukaiannya supaya ia bukan saja lebih kompetitif di peringkat serantau tetapi diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mantap.
Beliau berkata, antara langkah yang diambil bagi mencapai matlamat itu adalah dengan mengurangkan cukai korporat selain kesediaan kerajaan untuk menurunkan kadar cukai pendapatan individu mengikut keadaan tertentu seperti di Wilayah Iskandar.
“Justeru, GST perlu dilihat sebagai sebahagian strategi ekonomi negara,” katanya ketika merasmikan persidangan percukaian kebangsaan mengenai GST anjuran Institut Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur, semalam.
Ahmad Husni berkata, kerajaan sedang merangka satu model GST terbaik dan memastikannya tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.
“Disebabkan itu, beberapa barangan dan perkhidmatan asas tertentu tidak dikenakan GST. Ia termasuk bahan makanan, kediaman, pendidikan, perkhidmatan kesihatan. pengangkutan awam dan penggunaan air dan elektrik mengikut jumlah tertentu,” katanya.
Selain itu, beliau menjelaskan, di bawah sistem percukaian GST, kemungkinan berlaku kerugian akibat kegagalan mengutip cukai dapat dielakkan kerana cukai dikutip pada setiap peringkat pengeluaran.
“Dengan kutipan cukai lebih tinggi ini, kerajaan boleh mendapat pendapatan tambahan yang kelak akan digunakan bagi pembangunan sosio ekonomi seperti menyediakan prasarana, pendidikan, kebajikan dan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.
(Sumber dari Berita Harian, 12/02/2010)
0 ulasan:
Catat Ulasan