Jumaat, 12 Februari 2010

Sekolah Britain haramkan kad Hari Kekasih pelajar

LONDON: Sebuah sekolah di Britain mengharamkan pelajarnya menghantar kad Hari Kekasih (Valentine) dengan menegaskan mereka pada usia muda masih belum matang dalam percintaan, menurut laporan akhbar negara itu hari ini.

Akhbar Times melaporkan, Sekolah Rendah Ashcombe di Somerset yang memberi pendidikan kepada pelajar berusia empat hingga 11 tahun itu mengancam akan merampas kad yang ditemui.

"Sesetengah kanak-kanak dan ibu bapa menggalakkan perbualan mengenai teman lelaki dan wanita.

"Kami percaya idea itu tidak seharusnya diketengahkan dan kanak-kanak perlu menunggu sehingga mereka matang dari segi emosi dan sosial bagi memahami komitmen ketika memiliki teman lelaki atau wanita," kata Pengetuanya, Peter Turner dalam satu surat kepada ibu bapa dalam buletin bulanan sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, langkah pengetua yang mempunyai 419 pelajar itu tidak disokong.

Seorang bapa yang mempunyai anak berusia 11 dan lima tahun di sekolah berkenaan menyifatkan langkah itu sebagai "mengarut".

"Apa yang akan jadi selepas ini? Mengharamkan pelajarnya menghantar kad Hari Kekasih seperti menghentikan kanak-kanak daripada memiliki kemahiran sosial. Bagaimana mereka akan pelajari mengenai jalinan hubungan?" katanya. - AFP

(Sumber dari Berita Harian, 10/02/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...