Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata, lesen yang diberikan kepada 262 agensi pekerja asing telah digunakan sepenuhnya oleh mereka tanpa melihat keperluan sebenar peluang pekerjaan di negara ini.
Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila agensi yang terlibat melihat kemasukan pekerja asing sebagai satu bentuk perniagaan dan kuota yang diberi oleh kerajaan diguna sebaik mungkin bagi menjana lebih banyak keuntungan.
''Kita telah sarankan supaya dihentikan pemberian lesen kepada agensi terlibat bagi mengelak lambakan pekerja asing dan jika terdapat permintaan terhadap mereka, kita gunakan saluran perhubungan antara kerajaan ke kerajaan.
''Apabila terlalu banyak yang dibawa masuk, kadang-kadang mereka diletakkan di premis yang tidak sepatutnya malahan ada yang langsung tidak bekerja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung kebanjiran warga asing di beberapa kawasan tumpuan di ibu negara setiap kali cuti umum.
Hishammuddin berkata, fenomena tersebut semakin ketara apabila kumpulan warga asing itu dilihat keluar beramai-ramai di sekitar ibu negara setiap kali musim cuti umum yang agak panjang.
Menurutnya, realiti lambakan itu tidak bertepatan dengan rekod warga asing di negara ini termasuk yang berdaftar dengan agensi pengambilan pekerja asing.
Shamsuddin berkata, usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memantau penambahan warga asing di negara ini.
''Sebelum ini kita tidak bersungguh-sungguh dalam mengurangkan pekerja asing, contohnya semasa kegawatan ekonomi, seramai 300,000 telah dihantar pulang namun apabila ekonomi pulih, kira-kira 100,000 pula dibawa masuk.
''Tenaga kerja tempatan perlu digunakan bagi mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing dan jika perlu, kita tubuhkan satu pusat sehenti penjagaan kanak-kanak untuk membolehkan suri rumah keluar bekerja,'' katanya.
Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud pula berkata, kebimbangan Hishammuddin itu bukanlah perkara yang luar biasa dan mengejutkan.
Sebaliknya bagi beliau, kebanjiran mereka adalah disebabkan kelemahan pelaksanaan polisi yang tidak konsisten oleh kerajaan.
''Kerajaan perlu merangka polisi yang jelas tentang keperluan tenaga asing seperti menghentikan pemberian lesen kepada agensi-agensi sebaliknya kerajaan sendiri yang mengawal pengambilan tenaga asing.
''Kerajaan perlu mengkaji sedalam-dalamnya mengapa keadaan ini terus berlaku walaupun ia bukanlah suatu perkara yang baru,'' katanya.
(Sumber dari Utusan Malaysia, 18/02/2010)
Label:
Malaysiaku
0 ulasan:
Catat Ulasan