Khamis, 11 Februari 2010

Pindaan ISA dibentang di Parlimen Mac ini

PUTRAJAYA 9 Feb. - Kerajaan yakin pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dapat dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat Mac ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setakat ini draf pindaan itu sedang diperincikan oleh Peguam Negara sebelum dikemukakan kepada Kabinet.

''Sepatutnya pindaan itu dirancang untuk dibentangkan di Parlimen pada sesi lalu bagi bacaan kali pertama.

''Bagaimanapun lebih baik kita memberikan lebih banyak masa supaya ia sempat dibahaskan dan perjumpaan dengan pihak berkepentingan dapat diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas bermesyuarat bersama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Mesyuarat Dewan Rakyat bagi penggal ketiga dijadualkan pada 15 Mac hingga 15 April ini.

Sebelum ini, Hishammuddin menjelaskan pindaan tersebut tertumpu kepada lima perkara utama iaitu kuasa menteri, layanan kepada tahanan dan ahli keluarga, tempoh tahanan, tahanan tanpa bicara dan persepsi umum bahawa akta itu digunakan untuk kepentingan politik.

Hishammuddin menjelaskan, pada masa ini semua tahanan ISA membabitkan isu keganasan dan keselamatan negara.

Malah, kata beliau, banyak pihak bersetuju bahawa satu akta pencegahan seperti ISA diperlukan bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia, dadah dan keganasan.

''Akta tersebut digunakan sebagai suatu yang bersifat pencegahan dan sebagai langkah terakhir, ini telah saya buktikan," katanya.

Tambahnya, pada peringkat ini, tiga menteri yang terlibat dalam pindaan itu akan memikirkan kaedah terbaik bagi membolehkan draf tersebut dibawa ke Kabinet dan seterusnya mendapatkan ulasan daripada kementerian yang terlibat.

''Setelah kita berjumpa dengan pelbagai pihak berkepentingan, satu mekanisme boleh diwujudkan bagaimana kebimbangan mengenai akta tersebut tidak lagi dilihat mengganggu keberkesanan ISA," katanya.

Beliau berkata, sebaik draf itu selesai diteliti, kementeriannya akan menjalankan program penerangan kepada pelbagai pihak termasuk senator, Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) dan juga pemimpin kerajaan negeri.

''Ini kerana kita tidak mahu ada pihak yang cuba mempolitikkan perkara itu dan dieksploitasikan hingga menimbulkan polemik.

''Seperti sebelum ini hingga ada demonstrasi jalanan menuntut ISA dimansuhkan," katanya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 10/02/2010)


0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...