Jumaat, 12 Februari 2010

NKRA catat penurunan 13 peratus jenayah jalanan

KUALA LUMPUR: Program Hala Tuju Transformasi Kerajaan (GTP) mencatatkan prestasi awal cemerlang dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) apabila mencatat penurunan sebanyak 13 peratus dalam bilangan kes jenayah jalanan pada bulan lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kadar jenayah jalanan yang dilaporkan dalam suku keempat 2009 turun sebanyak 7.6 peratus manakala indeks jenayah berkurangan sebanyak 3.7 peratus dalam suku terakhir Disember.

"Kami amat kagum dengan keputusan awal ini. Ia menunjukkan bahawa GTP sudah berada dalam tahap pelaksanaan sepenuhnya dan memberi keputusan yang ingin kami capai," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, apa yang lebih penting ialah memastikan rakyat mengetahui bahawa kerajaan bersungguh-sungguh terhadap usaha menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih aman.

"Mengurangkan jenayah adalah amat penting dalam rancangan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju sepenuhnya menjelang 2020," katanya

Hishammuddin berkata, jenayah dan perasaan takut terhadap jenayah mempengaruhi kualiti hidup rakyat yang ada kalanya membabitkan kesan sungguh memudaratkan.

"Jenayah menjejaskan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira umur, tahap pendidikan, jantina, bangsa, agama atau kekayaan dan menambahkan beban kepada pembiayaan yang ditanggung ekonomi negara," katanya.

Hishammuddin berkata, sasaran kerajaan ialah untuk mencapai pengurangan sekurang-kurangnya lima peratus dalam jenayah indeks keseluruhan yang dilaporkan setiap tahun bagi tiga tahun akan datang.

Katanya, dengan pengurangan jenayah jalanan menjadi tumpuan utama, kerajaan mensasarkan keberhasilan lebih cepat iaitu pengurangan sebanyak 20 peratus menjelang Disember tahun ini.

Dalam usaha mencapai sasaran itu, beberapa inisiatif dilaksanakan termasuk memastikan kehadiran polis di 50 kawasan panas dengan sokongan daripada 3,000 sukarelawan terlatih anggota Jabatan Pertahanan Awam dan Ikatan Relawan Rakyat dan memasang 500 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu bagi menghalang aktiviti jenayah.

Hishammuddin berkata, dengan jenayah menjadi masalah paling membimbangkan di Malaysia, kerajaan berpendapat adalah penting untuk meningkatkan prestasi dalam seluruh sistem keadilan jenayah bagi membina dan memulihkan keyakinan orang awam terhadap sistem itu.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil ialah dengan menyingkirkan lebih 6,000 kes jenayah kekerasan daripada bilangan tertunggak untuk memastikan perbicaraan dan hukuman tepat dilaksanakan terhadap penjenayah berat.

Selain itu, katanya, kementerian mensasarkan untuk membicarakan lagi 1,000 penjenayah keras pada tahun ini.

Hishammuddin juga berkata, kerajaan akan berusaha memperbaiki pandangan awam terhadap keselamatan negara dan mengurangkan kebimbangan mereka menjadi mangsa jenayah menerusi tiga unsur yang dapat meningkatkan perasaan keselamatan rakyat, menggalakkan kesukarelawanan dan kerap berkomunikasi dengan rakyat dalam pencegahan dan pengurangan jenayah.

Bagi meningkatkan kepuasan awam terhadap polis, beliau berkata satu tinjauan awam akan dilakukan bagi menyukat tahap kepuasan itu sebelum satu tahap dasar ditetapkan pada 2012. - Bernama

(Sumber dari Berita Harian, 12/02/2010)



0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...