Ahad, 21 Februari 2010

NGO tak patut persoal hukuman syariah

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

Kenyataan SIS berhubung pelaksanaan undang-undang tidak cerminkan perjuangan

MUNGKIN agak mengejutkan apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak wanita, Sisters in Islam (SIS) mempersoalkan hukuman sebat tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan persetubuhan luar nikah pada 9 Februari lalu yang mereka sifatkan sebagai tindakan diskriminasi dan mencabuli hak sama rata.

Banyak pihak berpendapat kenyataan SIS itu tidak melambangkan pertubuhan yang mereka wakili dengan menggunakan nama Islam, malah reaksi SIS itu dianggap tidak 'Islamik' dan boleh mengelirukan banyak pihak sama ada orang Islam dan bukan Islam.

Malah, bagi Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dengan tegas menyatakan mana-mana pihak yang mempunyai tanggapan pelaksanaan sebat sebagai diskriminasi adalah golongan yang tidak mempercayai hukum Allah dan boleh dianggap terkeluar daripada Islam.

"Orang seperti ini tidak faham hukum Islam, mereka menentang dan membenci hukum Islam kerana terpengaruh dengan orientalis Barat yang menentang Islam. Jika hendak diambil kira hukuman enam kali sebatan itu ia begitu ringan, sedangkan asalnya 100 kali sebatan terhadap mereka yang melakukan persetubuhan haram, manakala 80 kali sebatan terhadap yang minum arak," katanya.

Bagi Naib Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj yang tidak terkejut langsung dengan kenyataan SIS yang disifatkan sebagai pertubuhan yang sentiasa mengeluarkan kenyataan membantah dan bercanggah sejak dari dulu lagi.

Namun, katanya, beliau terkejut dengan berita hukuman ke atas tiga wanita berkenaan kerana menjangka bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai tahun lalu selepas mengaku bersalah minum arak secara terbuka di pusat hiburan di Cherating, dua tahun lalu akan menjadi orang pertama dikenakan hukuman sebat itu.

Dalam isu ini, katanya tidak timbul isu diskriminasi tetapi beliau nampak bantahan yang dikemukakan sesetengah pihak seperti SIS wujud akibat pelaksanaan hukuman berkenaan yang dijalankan seolah-olah sebagai bahan penegasan Jabatan Agama Islam dan Mahkamah Syariah serius melaksanakan hukuman selepas banyak pihak mempertikaikan mereka.

"Dalam kes tiga wanita berkenaan, tiba-tiba saja mereka sudah disebat tanpa sebarang hebahan mengenainya, sedangkan sebelum ini dinyatakan hukuman sebat ke atas wanita tidak dapat dijalankan kerana tiada tukang sebat. Tiba-tiba saja, wanita berkenaan disebat dan Kartika Sari Dewi yang dinanti disebat masih belum menerima hukuman itu.

"Saya bukan mempertikaikan hukuman tetapi pelaksanaan yang dilihat terburu-buru seolah-olah untuk mahu menutup kelemahan sesetengah pihak atau penanda aras seriusnya kerajaan kerana melaksanakan hukuman itu.

"Pada masa sama, isu mengenai pertikaian hukuman timbul kerana hukuman jenayah syariah tidak diperkemaskan, selain perbezaan pelaksanaannya mengikut negeri," katanya.

Beliau sangat bimbang kelompok seperti SIS akan mengeruhkan keadaan dan menimbulkan lagi kekeliruan yang sememangnya wujud dalam masyarakat, beliau tidak mahu selepas ini semua hukuman sebat dijatuhkan untuk semua kesalahan jenayah syariah kerana dalam undang-undang syariah ada peringkat hukuman yang dikenakan seperti denda, penjara selain proses perundangan itu berjalan seperti ada proses rayuan selepas hukuman dijatuhkan.

"Semua itu perlu diambil kira dan dan keputusan hakim tidak boleh dipertikaikan. Dalam kes sebat ini, saya rasa hakim sudah membuat pertimbangan yang adil kerana ia mengambil kira kesan kesalahan yang dilakukan pesalah, ia bukannya dibuat sewenang-wenangnya. Lagipun, mengikut norma masyarakat persetubuhan haram juga dilarang, maka jika masyarakat tidak dapat membetulkan mereka yang melanggar norma itu maka ia seharusnya dikenakan hukuman untuk memberi pengajaran kepadanya dan mendidik orang lain supaya tidak mengulangi ," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita Abim, Fadhlina Sidek menganggap kenyataan SIS tidak perlu dilayan kerana golongan berkenaan tidak mahu menerima apa saja penerangan mengenai pelaksanaan hukuman berkenaan.

Katanya, sejak kes Kartika Sari Dewi lagi, SIS sudah menyatakan hukuman sebat sebagai diskriminasi kepada wanita, walaupun kerajaan melalui Jabatan Agama Islam dan Jabatan Kehakiman Syariah serta bantuan NGO Islam menerangkan prosedur dan pelaksanaan hukuman sebat itu.

Malah, seperti Abim sendiri, mereka telah mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi menerangkan mengenai hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga wanita itu, kerajaan dilihat serius melaksanakan undang-undang syariah dengan melaksanakan hukuman yang diputuskan mahkamah seperti kini sudah menyediakan tukang sebat serta mengikut prosedur ketika pelaksanaan hukuman sebat dilaksanakan sepenuhnya.

"Mahkamah pula saya lihat kini sudah pun mengenakan hukuman maksimum iaitu sebat yang mana dilihat tegas untuk mencegah perbuatan jenayah berbanding hukuman denda dan penjara yang banyak dilaksanakan ketika ini," katanya.

Berdasarkan kenyataan berkenaan, jelas SIS menunjukkan ia kelompok yang tidak mahu mengambil tahu penjelasan dan penerangan mengenai pelaksanaan hukuman sebat dalam undang-undang syariah atau sengaja menjadi pertubuhan yang 'tuli' dan membuat kenyataan tidak berdasarkan nas al-Quran dan hadis, sebaliknya beremosi semata-mata.

Ada yang mendakwa SIS golongan yang mampu mengeruh dan mengelirukan keadaan yang sudah jelas untuk memburukkan lagi sistem perundangan dan kehakiman syariah di negara ini.

Seeloknya, sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan SIS perlu merujuk kepada pakar supaya tidak timbul persoalan yang memburukkan lagi nama institusi perundangan syariah di negara.

Seperti kata pepatah 'malu bertanya sesat jalan', jadi apa salahnya bertanya dan dapatkan maklumat sebelum kenyataan berbaur emosi yang sering dilabelkan mainan golongan wanita diketepikan. Menegakkan benang yang basah sampai bila-bila pun tidak akan berjaya.

(Sumber dari Berita Harian, 20/02/2010)


0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...