joib@bharian.com.my
Masa mulakan perniagaan dikurang 11 kepada tiga hari
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, inisiatif Nombor Identiti Korporat Malaysia (MyCoID) akan memacu daya saing negara dalam sektor ekonomi selaras piawaian Bank Dunia dengan fungsi utamanya mengurangkan masa memulakan perniagaan daripada 11 hari kepada tiga hari.
Perdana Menteri berkata ia adalah langkah ke hadapan yang pasti akan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam laporan daya saing dunia yang antara kriterianya ialah kemudahan melakukan perniagaan.
Beliau berkata tempoh masa tiga hari dijangka dicapai menjelang akhir tahun ini selepas sistem pintu laluan inisiatif itu disiapkan sepenuhnya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai agensi peneraju.
"Ini satu lagi langkah yang akan menaikkan kedudukan Malaysia dalam laporan kompetitif dunia, sebab salah satu kategorinya ialah kemudahan melakukan perniagaan, iaitu masa yang diperlukan untuk memulakan perniagaan," katanya selepas melancarkan MyCoID di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
MyCoID merujuk kepada nombor syarikat yang digunakan sebagai satu siri nombor rujukan tunggal untuk kegunaan pelbagai urusan dengan agensi kerajaan berkaitan yang membabitkan dua fasa.
Fasa pertama MyCoID yang dilancarkan semalam, membabitkan kemudahan rujukan tunggal, pendaftaran dan urusan di KWSP, LHDN, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), SME Corporation Malaysia dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad.
Fasa kedua membabitkan pembangunan sistem yang akan membolehkan outomasi pengisian data bagi tujuan pendaftaran di agensi kerajaan berkaitan serentak dengan memperbadankan syarikat.
Terdahulu, Najib mengumumkan peruntukan RM4.5 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, untuk membangunkan pintu laluan di SSM bagi membolehkan pendaftaran serentak dilakukan di semua agensi di bawah MyCoID.
Beliau juga berkata inisiatif kementerian berkenaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi membabitkan diskaun yuran bagi tujuan memperbadankan syarikat, sama ada milikan tunggal atau perkongsian yang bermula 1 April lalu, menyebabkan pertambahan ketara pendaftaran perniagaan daripada 269,866 pada 2008 kepada 312,581 tahun lalu.
"Kejayaan ini memberangsangkan kerana walaupun persekitaran ekonomi global lembap pada 2009 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar menguncup, pertumbuhan pendaftaran perniagaan masih mampu memberangsangkan pada kadar dua digit, iaitu 16 peratus, manakala kadar pemerbadanan dan pendaftaran syarikat baru masih stabil," katanya.
(Sumber dari Berita Harian, 12/02/2010)
0 ulasan:
Catat Ulasan