Jumaat, 19 Februari 2010

Memperkasa penguatkuasaan sijil halal antarabangsa

Oleh Kamal Ahmad
mohdkamal@bharian.com.my


MEWUJUDKAN Akta Halal bukan setakat untuk menggapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) bagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada 2010. Yang lebih penting, akta itu antara lain untuk mengawal selia persijilan halal di negara ini dan memelihara statusnya daripada penyelewengan.

Ia juga akan menjadi satu lagi usaha penjenamaan yang memberi impak besar dan mendalam kepada masyarakat antarabangsa betapa Islam memang satu cara hidup serta memenuhi nilai kesejagatan. Akta itu turut memperkukuhkan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab produk dan servis halal global.

Ia juga memantapkan keyakinan pelanggan antarabangsa terhadap persijilan halal Jakim yang akan dipromosikan ke seluruh dunia. Pastinya akta itu mematuhi standard Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO), sekali gus meletakkan Standard Malaysia (MS) pada kedudukan yang boleh diterima di negara seperti blok Amerika, Eropah, China dan Asean.

Bayangkan di mana mahu meletakkan persijilan halal Jakim ketika nilai produk itu untuk kegunaan 1.8 bilion umat Islam di 112 negara mencecah AS$150 bilion setahun. Produk itu juga berpotensi berkembang sehingga AS$500 bilion setahun. Malah ketika ini, pemasaran produk halal global dianggarkan mencecah AS$600 bilion setahun.

Status halal turut meliputi produk pertanian, makanan dan minuman, ramuan, bahan perisa, pembungkusan makanan dan mesin, kesihatan dan perubatan, pakaian, kosmetik dan perapian peribadi serta pembiayaan dan perbankan.

Apabila Datuk Seri Najib Razak meletakkan KPI Jakim pada 2010 ialah menggubal rang undang-undang dan mewujudkan Akta Halal, maka proses itu sudah bermula. Antaranya memaklumkan cadangan itu kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-220 pada 11 Februari lalu.

Raja dan Sultan selaku Ketua Agama Islam Negeri serta Majlis Agama Islam Negeri yang dinaungi juga sudah dimaklumkan terlebih dulu dan memberi persetujuan terhadap cadangan berkenaan. Apabila ini selesai, tidak mustahil rang undang-undang itu mampu dibentang dan diluluskan Parlimen, tahun ini. Pada masa sama, apabila Jakim difahamkan tidak mahu mengambil tugas penguatkuasaan Akta Halal kelak, sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) maka Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 perlu diteliti semula.

Kedua-dua akta itu mesti tiada percanggahan dan pertindihan untuk mengelakkan kekaburan atau mewujudkan kekeliruan atau menonjolkan kelemahan.

Ditemui bagi memperincikan usaha mewujudkan Akta Halal, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata rang undang-undang itu dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang selepas persidangan pada 9 hingga 15 Mac ini.

Penguatkuasaan akta itu juga akan melenyapkan persoalan dan keraguan pengguna berikutan ada beberapa logo halal tidak diiktiraf yang digunakan komuniti komersial ketika ini selain persijilan halal Jakim. Perkara itu berlaku kerana ada ruang pada APD yang diambil kesempatan pihak swasta untuk mengeluarkan sijil halal masing-masing tanpa keupayaan Jakim memastikan bagaimana proses dan prosedur dikenakan sebelum sijil dikeluarkan selain persoalan cara mana penguatkuasaan dilakukan selepas itu.

“Jadi banyak persoalan dan keraguan masyarakat berkenaan sijil halal (yang dikeluarkan) pihak swasta itu,” katanya sambil memberitahu ada empat syarikat mengeluarkan sijil berkenaan. Difahamkan sijil itu turut digunakan di restoran makanan segera tertentu seperti di Thailand, China dan Singapura.

Beliau turut mengakui ada melakukan perbincangan dengan KPDNKK melalui Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob, termasuk selepas mesyuarat Kabinet, Rabu lalu bagi mempercepatkan proses menyediakan draf akta berkenaan membabitkan kedua-dua kementerian dan Pejabat Peguam Negara. “Penguatkuasaan kepada akta itu juga akan dilakukan oleh kementerian itu bagi mengelakkan persepsi dan pertindihan dari sudut penguatkuasaan serta pengeluaran sijil,” katanya.

Dari konteks global, Jamil berkata Jakim bekerjasama dengan beberapa negara untuk membentuk persijilan halal negara masing-masing. “Kerjasama seperti itu akan diteruskan. Kami akan membuat penelitian semula dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan yang berlaku,” katanya.

Beliau turut menjelaskan maksud halal yang sebenarnya membabitkan pakej bukan setakat status makanan itu halal tetapi proses pengurusan, penyediaan serta campuran ramuan turut diambil kira. Selain itu, takrifnya turut meliputi nilai diet makanan itu dalam konteks saintifik dan kesihatan. “Begitu juga dalam konteks atau proses penyediaan turut diambil kira. Tidak semestinya apabila proses penyediaan bahan itu dilakukan orang Melayu (Islam) maka dia dapat (sijil halal) dan tidak semestinya bukan Islam atau pekilang itu tidak dapat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata akta itu sepatutnya sudah lama diwujudkan seiring status Malaysia sebagai negara Islam. Ia juga sangat penting dalam mempromosikan industri dan perkhidmatan halal sekali gus menjaga kewibawaan Malaysia sebagai hab halal global.

“Pengguna Islam sering ditipu peniaga dan pihak yang bersekongkol dengan peniaga. Sijil halal yang tidak diiktiraf umpama sijil sakit yang dikeluarkan doktor palsu dari klinik palsu. Oleh itu, akta ini perlu untuk melindungi pengguna Islam dalam soal hak mereka memperoleh bahan makanan dan minuman yang benar-benar halal. Ini hak pengguna yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu pengguna berhak mengetahui status sesuatu produk untuk mereka membuat keputusan membeli atau tidak. Di Amerika sekurang-kurangnya ada empat negeri termasuk Michigan yang menguatkuasakan akta halal,” katanya yang juga Ahli Majlis Pengguna Negara.

(Sumber dari Berita Harian, 18/02/2010)


0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...