KUALA LUMPUR: Berdasarkan anggaran terkini, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tidak akan mengakibatkan peningkatan harga berikutan pengimbangan hasil pemansuhan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Pengerusi Panel Kajian Semula Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain, berkata secara logiknya, melalui GST pengguna akan membayar 4 peratus cukai, berbanding cukai perkhidmatan sekarang 5 peratus dan cukai jualan 10 peratus.
"GST adalah progresif, bukan regresif. Dengan cukai 4 peratus, kadar GST adalah kurang daripada SST sekarang," katanya pada forum Affin Investment Bank mengenai GST, di sini semalam.
Sebagai contoh, katanya, pengguna kini membayar kira-kira 2.8 peratus cukai harga barangan yang dibeli tetapi dengan GST, elemen cukai akan dikurangkan kepada 2.5 peratus.
Beliau juga berkata, menerusi GST, harga akan berkurangan kerana mereka yang berdaftar boleh menuntut GST yang dikenakan kepada barangan dan berharap pihak industri memanjangkan penjimatan itu kepada pengguna.
Kamariah berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga akan menggubal peraturan untuk menangani masalah peniaga yang mengambil kesempatan ke atas penjimatan dan tidak dipanjangkan kepada pengguna.
"Kami benar-benar menjaga kepentingan kumpulan berpendapatan rendah dan memastikan mereka tidak terjejas dengan GST," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, penguatkuasaan GST tidak hanya akan memberi faedah kepada golongan berpendapatan rendah, malah dijangka dinikmati seluruh rakyat.
Dari segi kutipan cukai untuk kerajaan, beliau berkata, kerajaan menjangka mengutip hasil yang lebih rendah berikutan penggunaan GST menggantikan SST.
Katanya, kerajaan kini mengutip hasil RM11 bilion hingga RM12 bilion menerusi SST dan dijangka menyaksikan kejatuhan RM1 bilion berikutan pelaksanaan GST.
"Untuk mengutip jumlah yang sama, kerajaan harus mengenakan 4.2 peratus kadar GST. Pengurangan itu menandakan lebih penjimatan kepada pengguna," katanya.
Lebih 140 negara mengenakan GST dan Malaysia perlu memperkenalkan GST berikutan kelemahan penggunaan cukai terkini. Laporan awal mengatakan kerajaan berhasrat melaksanakan GST sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan. Bernama
(Sumber dari Berita Harian, 10/02/2010)
0 ulasan:
Catat Ulasan