Isnin, 8 Mac 2010

utusan: Industri makanan halal pemangkin ekonomi

BATU GAJAH 4 Mac - Industri makanan halal negara yang sedang berkembang pesat mampu menjadi pemangkin untuk mencapai pertumbuhan ekonomi enam peratus yang disasarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Malaysia sudah berjaya mewujudkan permintaan bagi pasaran makanan halal sehingga logo halal negara dianggap sebagai premium dalam pasaran halal global.

"Banyak syarikat gergasi yang terlibat dalam industri makanan berminat untuk menceburi pasaran halal bagi menembusi pasaran halal dunia.

"Jika syarikat-syarikat ini dapat mewujudkan kilang di negara kita, sudah tentu ia dapat menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru dan proses aliran kedua di kilang Nihon Canpack (M) Sdn. Bhd. (NCM) di sini hari ini.

Melalui bangunan baru dan proses aliran kedua yang bernilai RM32 juta itu, kilang NCM meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 10 juta karton setahun.

NCM yang sahamnya dimiliki masing-masing 40 peratus oleh NCM dan Lembaga Tabung Haji (TH) serta 20 peratus oleh Nestle Malaysia memulakan operasinya di negara ini pada 1998.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Pengarah Urusan NCM, Hiroaki Shimbo.

Menurut Mukhriz, industri makanan halal yang dipelopori negara sudah berjaya menaikkan imej dan memberikan keunikan kepada Malaysia untuk bersaing dengan negara-negara jiran yang mempunyai kos buruh lebih rendah.

Katanya, walaupun bermula agak perlahan, standard halal yang digunakan oleh Malaysia sudah diterima pakai oleh negara-negara lain.

"Saya akui Thailand agak berjaya dalam industri halal kerana sudah lama terlibat dalam sektor makanan dan mereka cuba perlu tukar kaedah pengeluaran sedangkan kita terpaksa mula daripada awal.

"Ini memakan masa sedikit tetapi saya yakin, kita akhirnya dapat mencapai impak dalam industri makanan halal," katanya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 05/03/2010)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...