bharian: Gugur kandungan berkali-kali
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/11)
“LEPAS lahir saja bayi itu, saya nak buang di mana-mana. Tidak kiralah dalam longkang ke, atau ke dalam hutan sekali pun, saya sanggup. Sudah puas saya makan buah nanas, naik pecah-pecah bibir dan mulut. Minum arak dan ragi, tetapi ia terus melekat di situ. Saya tidak mahukan anak ini. Buat apa saya kendong ke sana ke mari selama sembilan bulan kalau ia memang membebankan? Saya hanya inginkan keseronokan, bukannya menyusahkan hidup saya.”
Itulah pengakuan ikhlas Maria (bukan nama sebenar). Terlalu muda, enggan membela anak hasil perbuatan zina tanpa di ketahui mana satu bapanya, mendorong Maria bertindak begitu. Maria tidak tahu apa-apa mengenai kehamilan, termasuk aspek keselamatan, tetapi atas nasihat doktor, dibantu pula pembantu rumah yang ‘simpati’ nasibnya, Maria hanya mengikut.
“Gugurkan kandungan itu dan rahsia ini kita simpan baik-baik,” janji pembantu rumahnya, Kak Sarah (bukan nama sebenar) memberikan harapan kepadanya untuk tersenyum kembali. Malangnya tidak seinci pun pengalaman itu menginsafkan, walaupun ia meninggalkan rasa sakit akibat ‘dicuci’. Sebaliknya Maria memutuskan, kalau dia hamil lagi, jawapannya mudah, iaitu menggugurkan kandungan itu. Dengan pelbagai teknologi tersedia di hospital atau klinik swasta, janji sediakan wang secukupnya.
Maria kini berusia 23 tahun, tetapi pengalamannya dalam dunia maksiat hampir separuh daripada usianya itu. Dua kali hamil anak luar nikah, tetapi tidak pernah mengingini anak itu. Padanya walaupun perbuatan itu salah dan berdosa, tidak sekelumit pun menimbulkan rasa insaf di hatinya.
Katanya, kesal yang timbul mungkin hanya seketika cuma, selepas kandungan hilang atau perut kembali kempis, wanita yang hanya mengejar keseronokan dunia akan berterusan melakukan zina.
“Ketika saya hamil fikiran saya berserabut. Malu, takut dan sebagainya silih berganti, malah pernah berdiri di koridor rumah untuk terjun membunuh diri. Rasa terlalu takut menghantui diri. Saya hanya fikir bagaimana untuk membunuh kandungan sampai kesihatan diri pun saya tidak endahkan. Saya langsung tidak fikirkan kesan buruk pengguguran atau hukuman menunggu pesalah membuang anak.
Lebih malang bila saya tanggung sendiri tanpa lelaki bergelar suami,” katanya.
Maria anak bongsu daripada tiga adik beradik, bukan tidak berpendidikan, jauh pula anak orang miskin, sebaliknya dimanjakan oleh ibu bapa dengan kemewahan dan keseronokan dunia.
Telefon bimbit, internet dan seorang pemandu untuk memudahkan pergerakannya ke sana ke mari, apa yang diingini Maria, akan cuba dipenuhi ibu bapa tanpa banyak soal.
Baik di sekolah dan cemerlang dalam pelajaran, hanyalah topeng, mengelakkan perbuatan sumbangnya daripada dihidu ibu bapa, sekali gus ‘menutup’ kesan arang yang sudah sekian lama ‘dilumurkan’ ke muka orang tuanya yang tidak pernah bertanya, jauh sekali menyelidik kegiatannya ketika ibu bapanya keluar bekerja.
“Semua kemudahan diberikan mereka saya gunakan untuk menjahanamkan diri sendiri. Telefon saya gunakan untuk merakam benda lucah. Begitu juga internet. Saya selalu memasuki laman sembang berbau lucah. Malah kerap melihat rakan-rakan sembang melakukan seks menerusi web cam di komputer, menjadikan saya ketagih,” katanya.
Menyorot kisah hitamnya, Maria berkata, dia mula melakukan hubungan terlarang sejak berusia 14 tahun.
“Di tingkatan dua saya berkenalan dengan pelajar tingkatan tiga sekolah sama. Suatu hari dia mengajak saya ke rumahnya. Di sanalah saya melakukannya ketika dia menunjukkan cerita lucah.
“Saya pulang dengan rasa bersalah dan menangis. Terbayang-bayang di depan mata wajah mak dan ayah, tetapi bila pulang tidak ada sesiapa yang berkongsi cerita dengan saya, kecuali pembantu rumah. Walaupun ada rasa kesal, rakan sekelas seolah-olah menggalakkan saya melakukannya. Dan sejak itu kami kerap bersama hampir setiap hari di rumah teman lelaki,” katanya.
Memburukkan keadaan apabila Maria menyatakan ibu bapanya bagaikan memberikan sepenuh kebebasan kepadanya untuk melakukan segala-galanya.
“Bayangkan, mak dan ayah jarang sekali berkomunikasi dengan saya, jauh lagi untuk ambil tahu apa yang saya buat di luar rumah. Saya bagaikan berada di rumah sewa yang bebas melakukan apa saja. Mungkin disebabkan pelajaran saya agak baik, menjadikan ia topeng paling baik untuk saya.
“Selepas bersama teman lelaki kira-kira setahun, akhirnya kami putus. Ketika berada di tingkatan empat bersama rakan-rakan ‘sekepala’, saya kerap ponteng sekolah dan melepak dengan kumpulan lelaki yang lebih berusia, mat-mat motor.
Seingat saya sudah lebih 10 orang saya tiduri, tetapi semuanya saya lakukan tanpa pengetahuan ibu bapa, sebab mereka terlalu sibuk dengan urusan dunia dan pejabat.
“Suatu hari saya demam. Ditemani pembantu rumah saya ke klinik dan ketika itu saya sudah hamil tiga bulan. Klinik itu memberitahu tempat yang boleh saya gugurkan kandungan. Ketika itu saya berusia 16 tahun. Kak Sarah (pembantu rumah) orang yang paling terkejut. Tetapi dengan bantuannya kami sepakat menggugurkan kandungan itu di sebuah klinik di Kajang.
“Selepas semalam di klinik itu, ditemani Kak Sarah, dia menyatakan kekesalan sebab selama ini dia jaga saya, tetapi saya katakan tidak ada apa yang nak dikesalkan sebab bayi sudahpun dicuci. Maria dan Kak Sarah berjanji bersama-sama merahsiakan perbuatan itu daripada diketahui ibu bapa Maria,” katanya.
Tamat pengajian, Maria tidak secemerlang mana, tetapi berjaya juga menyambung pengajian di sebuah kolej agama di Kajang. Pengalaman lampau tidak menginsafkan apabila tidak lama selepas itu dia berkenalan dengan seorang lelaki yang sudah beristeri.
Berjauhan dengan keluarga nyata langkahnya kian panjang. Tinggal di rumah sewa dengan teman serumah juga suka melakukan maksiat, akibat perbuatan itu dia sekali lagi hamil.
“Saya sebenarnya jenis datang bulan tidak sekata justeru saya tidak pernah mengamalkan perlindungan ketika melakukan hubungan. Kak Sarah tidak sanggup lagi menipu. Saya ingat lagi, selepas makan malam bersama keluarga, ketika balik ke rumah dan menceritakan kepada Kak Sarah, saya naik ke bilik dan di bawah saya terdengar ayah menjerit ‘Ya Allah!’ lalu memanggil saya turun.
“Kak Sarah membuka cerita hitam saya. Tetapi saya seakan tidak sedih atau berasa bersalah, mungkin sebab hati saya hitam, kesan berzina dan menipu orang tua. Mak kata kalau boleh gugurkan kandungan itu, tetapi Kak Sarah kata, biarkan bila lahir bagi pada orang yang mahu. Tetapi dalam diam-diam saya cuba membunuh kandungan dengan minum arak, makan nanas dan minum air ragi.
“Ketika itu jiwa saya meronta-ronta. Beberapa kali juga saya memutuskan untuk membunuh diri, tetapi terselamat. Tetapi semua tidak berhasil hinggalah saya melahirkan anak. Sakit bersalin bagai nak mati. Sempat sekali menyusukan bayi itu, tetapi selepas itu saya serahkan anak kepada ibu angkat. Saya meroyan selepas itu. Bayang-bayangnya sentiasa menghantui saya.
“Saya pernah bermimpi dia memandang saya dengan wajah masam. Tetapi bila saya cuba berlari mendapatkannya, dia terus hilang,” kata Maria mengimbas perbuatan lampau menggugurkan kandungan luar nikahnya.
Pertama pada usia 16 tahun dan cubaan menggugurkan kandungan pada kehamilan kali kedua pada usia 20 tahun.
“Nasihat saya kepada ibu bapa, pantaulah kegiatan anak remaja kerana mereka selalu mencuri ruang untuk berseronok. Pada mereka perbuatan mereka semuanya betul dan orang tua hanya mengongkong, tetapi hakikatnya, mengongkong pada masa sama ambil tahu kegiatan anak-anak itulah yang sebaik-baiknya,” katanya yang akan memulakan lembaran hidup baru bersama semangat baru tidak lama lagi.
Terpesong kerana pengaruh teman lelaki
“PUAS HATI!”.
Perkataan itu muncul daripada bibir Linda (bukan nama sebenar) ketika ditanya mengenai pengalaman membuang janin kesan berzina bersama teman lelakinya yang dikenali sejak berusia 15 tahun.
Kekerapan itu menyebabkan dia hamil. Linda hanya berusia 18 tahun ketika mengetahui dirinya hamil, lantas tanpa berfikir panjang melakukan pengguguran haram walaupun pada ketika itu usia kandungan sudah masuk ke usia empat bulan.
Cerita Linda, apabila mengetahui dirinya hamil, hanya satu perkara yang bermain-main dalam fikirannya, iaitu membunuh kandungan yang sudah pun bernyawa itu, tanpa memikirkan sebarang implikasi sama ada dari segi kesihatan atau moralnya.
“Saya tidak fikirpun untuk menjaga kandungan itu, bahkan tahu ia satu jenayah, tetapi saya tidak kisah. Biarlah saya menjadi pembunuh, sebab saya dan teman lelaki tidak inginkan anak itu. Pada kami ia hanyalah satu dosa yang membebankan. Lagipun ‘mati’ saya kalau keluarga tahu, tetapi nasib baik kerana ketika hamil itu saya sudah pun berada jauh daripada keluarga kerana menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Bersama teman lelaki, saya ke selatan tanah air dan di sebuah hospital saya melakukannya. Apabila sedar dan diberitahu kandungan saya sudah tiada, saya rasa bagaikan hilang beban yang ditanggung selama ini,” katanya.
Linda berkata, kos ‘mencuci’ ditanggung oleh teman lelakinya yang terdiri daripada anak orang berada.
Bagaimanapun katanya, pembunuhan itu langsung tidak memberikan kesan dalam jiwanya. Lebih memburukkan keadaan dia dan teman lelaki semakin seronok melakukan dosa, bersekedudukan, minum arak dan mengambil pil khayal semata-mata mengikutkan nafsu. Kelangsungan itu menyebabkan dia gagal dalam pengajiannya.
Linda berkata, hidupnya huru-hara akibat kebodohan sendiri dan mengikutkan nafsu. Keluarga, khususnya ibu yang tidak pernah mengambil peduli kisah hidupnya menyebabkan dia melepaskan dendam dengan merosakkan diri sendiri.
Kata Linda, ibunya seorang guru, sementara bapanya berkhidmat sebagai pegawai. Keluarganya menerapkan ilmu dan belajar setiap masa tanpa mementingkan aspek hubungan keluarga yang mesra.
“Ibu kata saya perlu belajar kuat-kuat, tetapi kami sekeluarga tidak pernah mesra. Ibu macam tidak sayangkan anak. Ibu terlalu garang, sepak terajang dan maki hamun makanan kami hari-hari. Ibu fikir cara itu boleh menjadikan saya seorang anak yang baik dan pintar.
“Memang dalam pelajaran saya boleh dapat baik dengan 5A dalam SPM, tetapi ia bukan ukuran saya tidak melakukan kerja terkutuk kerana kecemerlangan dalam akademik bersifat sementara sedangkan kekosongan jiwa saya dengan erti kasih sayang ibu bapa, dihargai orang tua, mempalitkan dosa dan noda yang saya tanggung sampai mati. Melihat kawan mesra dan bercerita dengan ibu mereka bercerita itu dan ini, sedangkan saya nak bercakap dengan siapa. Saya rasa bosan dan jiwa saya memberontak?,” katanya.
Justeru, Linda mencari seronok dengan bergiat aktif dalam sukan skate board. Bermalam di hotel bersama rakan lawan serta sepasukan, kebanyakan rakan Linda mula mencari selera dengan pergaulan bebas tanpa batas.
“Semua orang berpasangan dan saya mengenali S ketika berlatih bersama-sama. Atas alasan sayang, saya menyerahkan segala-galanya. Saya di KL sedangkan S di selatan tanah air. Setiap kali pertandingan dia datang ke KL. Oleh itu masa itulah kami manfaatkan masa bersama-sama. Sebelum pulang S selalu minta hubungan seks, katanya sebagai ‘tanda’ sebelum pulang,” katanya.
Lebih malang perbuatan itu langsung tidak dihidu keluarga, malah katanya kalau balik tengah malam pun keluarga tidak pernah bertanya. Kalau bertanyapun dia akan kata ‘study group’. Bercakap bohong kepada ibu bapa mainan mulutnya hingga memakan diri. Sekiranya dia ingin bersama-sama teman lelakinya dia menyatakan dia ingin ke kelas tambahan.
“Memang saya memperbodohkan keluarga. Tetapi ibu tidak pernah bertanya dan ambil pusing. Ukuran saya menjadi orang berguna ialah bila keputusan peperiksaan saya cemerlang hingga masuk ke IPT awam di Melaka. Tetapi saya sebenarnya tidak menyukai kursus perundangan ditawarkan itu kerana ibu yang menetapkan saya mengambil perundangan.
“Saya beritahu ibu, kalau saya gagal, ibu yang salah. Dan akhirnya di sana saya memang gagal. Di Melaka, jauh dengan keluarga saya lagi ligat bersama S. S ada rumah sewa di Shah Alam. Saya mengikut dia bersekedudukan di sana hinggalah hamil. Keluarga menyangka saya belajar, tetapi saya tipu. Suatu hari saya melakukan ujian kehamilan dan sedar-sedar ia sudah pun masuk ke usia empat bulan dan melakukan pengguguran haram itu bersamanya,” katanya.
Linda berkata, ibunya tidak tahu, malah dia berlagak ‘selamba’, hinggalah suatu hari akibat tertekan kesan perbuatan itu, dia menjadi seorang yang pasif.
Ibu mengenali S dan bertanya kepada S kenapa saya berada dalam keadaan yang pasif. Atas desakan ibu, S membuka rahsia yang selama ini kami lakukan. Tidak lama selepas itu ibu memutuskan untuk menghantar saya ke Perkid, tetapi saya lari.
“Saya lepak rumah teman lelaki kerana pada saya biarlah saya rosak bersama-sama S. Puas ibu cari saya menyorok. Nombor telefon saya tukar, bila ibu telefon kolej mereka kata saya dah lama tidak ke situ. Akhirnya mungkin doa seseorang ibu itu berkat, kebetulan ibu terjumpa saya maka saya ditangkap di rumah teman lelaki dan di bawa ke sini,” katanya.
Linda berkata kehadirannya ke Perkid dihantar oleh orang tuanya yang mencari ikhtiar untuk membawanya pulang ke pangkal jalan. Linda berharap menemui sinar bahagia di Perkid dan katanya dia tidak akan mengulang kisah silamnya.
Linda tidak mahu kisahnya ‘berpanjangan’ hingga membawa kes berkenaan atau teman lelaki ke pihak polis. Malah hingga ke hari ini dia sendiri tidak mengetahui apa nasib lelaki bangsat yang mengajarnya minum arak, serta ketagihan pil khayal.
Linda berkata, sekiranya dapat diputarkan waktu, dia tidak mahu menipu ibu bapanya kerana setiap langkah anak Adam yang menipu, ada bala menanti depan mata hingga membawanya terhumban ke lembah paling hina.
Linda sebetulnya daripada keluarga terhormat. Bukan membuka pekung di dada, jauh sekali memburukkan keluarga tercinta, sebaliknya berkongsi cerita kepada remaja dan ibu bapa supaya lebih menghargai antara satu sama lain.
“Remaja jangan menipu dan anggaplah larangan ibu bapa sebagai satu cabang untuk mendidik kita menjadi insan yang taat pada Allah. Sejahat-jahat anak, mereka masih memerlukan sokongan keluarga untuk terus bangkit membina kehidupan demi masa depan yang belum pasti. Sementara itu kepada ibu bapa, cubalah luang masa berkualiti bersama anak-anak, didiklah mereka dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Tegas Linda, walaupun dia pernah membunuh kandungan sendiri, tetapi hakikatnya perlakuannya itu berterusan menghantui hidupnya.
“Doakanlah saya pulih dan kembali gembira di muka bumi Allah ini,” katanya
INFO:
Apa Yang Perlu Anda Tahu Mengenai Pembuangan Bayi
Pembuangan bayi adalah satu jenayah. Ia terjadi akibat kehamilan tidak diingini. Ramai remaja yang mengandung di luar nikah terpaksa membuang bayi mereka terdesak, akibat malu dan takut akan akibat yang bakal ditanggung.
Antara punca pembuangan bayi:
•Kehamilan tidak diingini
•Perhubungan seks rambang dan luar nikah
Kesan:
•Sudut Perubatan
- Kadar kematian bayi lebih tinggi disebabkan penjagaan perubatan yang tidak sempurna
- Kesihatan ibu yang terjejas akibat kehilangan darah; jangkitan kuman; kecederaan sewaktu bersalin; psikologi dan sosial.
•Sudut psikologi dan sosial
- Murung
- Hilang keyakinan diri
- Rasa bersalah
- Resah atau gelisah
- Masalah emosi dan hubungan interpersonal
•Implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi.
•Putus hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan.
Bagaimana mengelakkan pembuangan bayi?
Elakkan kehamilan jika anda belum:
•Berkahwin
•Bersedia membesarkan anak
•Bersedia membina keluarga.
Semua agama utama di Malaysia:
•Melarang seks sebelum kahwin
•Taat kepada ajaran agama
Elakkan seks sebelum kahwin:
•Anda bertanggungjawab ke atas hidup anda sendiri.
•Lindungi kesihatan dan emosi anda tanpa seks sebelum kahwin.
•Jika pasangan yang benar-benar menyayangi dan menghormati anda, dia tidak akan meminta seks sebelum kahwin.
•Selalu tanam dalam fikiran, badan anda adalah tanggungjawab anda, justeru jagalah badan anda dengan baik.
•Elakkan membaca atau menonton bahan-bahan lucah.
•Babitkan diri dalam aktiviti yang berfaedah seperti sukan, bersenam, aktiviti kebudayaan dan kerja-kerja sukarela.
Sekiranya anda sudah melakukan hubungan seks sebelum kahwin:
•Fikirkanlah kesan dan akibatnya dengan teliti dan mendalam.
•Dapatkan bantuan jika anda hamil.
•Anda boleh mengatur supaya bayi anda dijadikan anak angkat.
Ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan:
•Terdapat pelbagai agensi yang boleh membantu anda.
•Pastikan anda tahu mengenai implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi.
Di mana anda boleh mendapatkan bantuan jika anda hamil? Dapatkan bantuan dari:
•Ibu bapa sekiranya anda boleh berbincang dengan mereka.
•Kaunselor sekolah.
•Guru sekolah.
•Doktor dan anggota kesihatan di klinik kesihatan atau hospital yang berdekatan.
•Pegawai kebajikan di Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berdekatan.
Implikasi undang-undang pembuangan dan pembunuhan bayi:
Di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Child Act) - Akta 611:
•Seksyen 17 - Anak yang dibuang akan dilindungi dan dijaga.
•Seksyen 46 - Ibu bapa boleh mendapatkan bantuan atau nasihat mengenai anak mereka yang tidak dapat dikawal dengan baik. Anak ini akan ditahan di tempat yang dibenarkan di bawah kuasa mahkamah.
Di dalam rang Undang-undang Jenayah Malaysia penal code:
•Sesiapa yang membuang bayi akan dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun
Label:
Sosial
Khamis, 11 Mac 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan