(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/24)
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan undang-undang mewajibkan semua majikan di negara ini mengambil pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menjalani latihan industri di tempat mereka.
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata undang-undang seumpama itu yang sudah dilaksanakan di beberapa negara Eropah memberi tanggungjawab kepada majikan untuk melatih modal insan dan bukan hanya IPT.
“Majikan sering mengadu graduan kita tidak dilatih dengan baik, sedangkan tanggungjawab itu seharusnya dijalankan oleh mereka juga. “IPT hanya tempat untuk mendidik mereka, bukan memberi latihan sepenuhnya.
Justeru majikan perlu memainkan peranan ini bagi melatih graduan mengikut bidang diceburi serta memberi elaun berpatutan. Jika graduan itu bagus, majikan boleh terus mengambil mereka,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Berita Harian, semalam berhubung pendedahan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bahawa ada pelajar IPT yang menjalani latihan industri diberi tugasan remeh, termasuk membuat salinan fotostat dan membancuh minuman untuk pegawai atasan.
Sambil mengakui perkara itu wujud, Sahol Hamid berkata, majikan seharusnya tahu tugasan yang harus diberikan kerana kebanyakan yang dihantar adalah daripada kursus yang berkaitan dengan perniagaan mereka.
“Bagaimanapun, melalui maklum balas yang diterima, banyak syarikat yang profesional dan tahu tugasan yang patut diberikan,” katanya.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Zaini Ujang, berkata pelajar perlu bertindak proaktif dengan meminta tugasan yang berkaitan bidang pengajian mereka dan tidak hanya menunggu arahan.
“Kita menyediakan buku log yang mengandungi perkara yang harus dikuasai pelajar semasa latihan industri, contohnya (bagi pelajar kejuruteraan), dia kena belajar lukisan dan kontrak serta perlu mengulas apa yang dipelajari sebelum membuat laporan untuk semakan pensyarah,” katanya.
Penolong Pendaftar Unit Latihan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Mohd Hafis Sahari, berkata pihaknya akan memberi nasihat kepada pelajar yang berdepan majikan bermasalah termasuk memberikan tugasan remeh supaya bertukar ke syarikat lain.
“Saya tidak menafikan ada terima aduan pelajar yang terpaksa melakukan kerja remeh ini walaupun bukan setiap hari. Kita juga sudah mengeluarkan garis panduan kepada ketua jabatan syarikat yang menerima pelajar kita bersama taklimat diberi kepada pelajar untuk mengingatkan mereka supaya memenuhi segala tuntutan universiti,” katanya.
Pengarah Pusat Jaringan Universiti Industri, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Shahizan Hassan, berkata pelajar yang menjalani latihan industri dilindungi insurans dan majikan yang memberi elaun turut mendapat pelepasan cukai.
Sementara itu, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah, berkata majikan tidak seharusnya bimbang untuk memberi tugasan kepada pelajar dengan menganggap mereka tidak mampu melaksanakannya.
Label:
Malaysiaku
Rabu, 31 Mac 2010
bharian: Syor majikan wajib latih modal insan universiti
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Rabu, Mac 31, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan