(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/12)
KOTA KINABALU: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta sektor swasta memainkan peranan penting dengan mengadakan inisiatif tertentu bagi menembusi pasaran baru memandangkan situasi ekonomi negara ketika ini belum cukup rancak.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri berharap sektor swasta akan bekerjasama dengan kerajaan untuk menerokai pasaran baru, yang juga satu alternatif untuk mengurangkan pergantungan kepada pasaran sedia ada.
“Kita perlu mengambil peluang untuk meneroka pasaran baru sebagai satu inisiatif bagi merangsang perkembangan ekonomi negara,” katanya pada majlis makan malam dan dialog bersama Dewan Perniagaan Sabah, di sini, malam tadi. Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Shafie Apdal dan jemaah menteri Kabinet Persekutuan dan Sabah.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sektor swasta perlu lebih berdaya saing kerana persaingan global kini semakin meningkat dan syarikat dari negara ini perlu lebih inovatif dalam menangani persaingan itu.
“Oleh itu, bagi memastikan perdagangan antarabangsa terus memainkan peranan dalam pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan juga berusaha untuk meluaskan lagi jaringan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dengan pasaran utama dan berpotensi.
“Dalam hal ini, kerajaan membuka dua pasaran baru menerusi perjanjian FTA iaitu Asean-India (AIFTA) dan Asean-Australia-New Zealand (AANZFTA),” katanya.
Katanya, walaupun keadaan ekonomi Malaysia lebih baik berbanding negara lain, syarikat swasta perlu lebih kompetitif bagi mengukuhkan ekonomi negara.
Sementara itu, Muhyiddin turut menghadiri mesyuarat bersama Badan Perhubungan Umno Sabah sejurus sesi dialog bersama Dewan Perniagaan Sabah selesai kira-kira jam 10 malam.
Label:
Malaysiaku
Jumaat, 12 Mac 2010
Swasta digesa teroka pasaran baru
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Jumaat, Mac 12, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan