Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan

Khamis, 17 November 2011

Rakyat tak patut perlekeh bahasa Melayu

Berita Harian Online|Rakyat tak patut perlekeh bahasa Melayu
Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org
2011/11/17

Usah mendewakan BI sehingga bahasa kebangsaan diabai, tidak diperkasa

POLEMIK mengenai penggunaan bahasa Melayu (BM) dan bahasa Inggeris (BI) berterusan, khususnya oleh beberapa kerat rakyat yang amat mendewakan BI hingga tidak mahu mengakui BM ialah bahasa negara ini. Mereka seolah-olah tidak mahu memberikan taraf sepatutnya kepada bahasa mereka sendiri hingga tergamak memperlekehkannya.

Mereka begitu taksub dengan BI hingga tidak pernah mahu mempelajarinya kerana tidak mahu menggunakannya. Maka itu walaupun mengakui rakyat negara ini tetapi masih tidak boleh bertutur dalam bahasanya.

Jadi tidak menghairankan mereka berterusan saja merendahkan kebolehan bahasa Melayu sebagai mana juga puak tertentu khususnya akhbar bahasa Mandarin yang hendak menggalakkan penggunaan bahasa minoriti itu seperti sedang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Tidak salah bagi kita pelajari Mandarin tetapi janganlah dalam usaha ini seperti juga puak yang mendewakan BI berterusan memperlekehkan BM.

Maka itu perkembangan terbaru yang mana Pengarah Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Johor Bahru, Dr Ahmad Pauzi Abu menghendaki kakitangan hospital itu belajar Mandarin hanya kerana kononnya ramai pesakit yang mahu mendapatkan rawatan di hospital itu tidak boleh bertutur BM adalah satu keputusan yang amat mengaibkan.

Kalau ada antara pesakit itu yang terdiri daripada rakyat negara ini tidak tahu bertutur BM, itu salah mereka. Setelah lebih setengah abad negara merdeka, bolehkah kita terima keadaan yang mana masih ada rakyat yang berterusan tidak menghiraukan bahasa negara mereka sendiri? Kenapa kita pula yang perlu mengetahui bahasa sisipan hanya untuk menampung mereka itu?

Sejak bila pula negara ini mengamalkan dasar pelbagai bahasa? Apakah kiranya ada pula orang India dan Sikh yang juga tidak boleh bertutur BM, kakitangan hospital itu perlu belajar Tamil dan Punjabi pula?

Sekiranya ada dalam kalangan rakyat negara ini yang tidak sedikit pun mahu menunjukkan kesetiaan mereka terhadap negara mereka bermastautin, kenapa kita pula perlu membongkok mengikut telunjuk mereka?

Maka itulah sehingga kini masih ada dalam kalangan puak demikian yang tidak mahu menggunakan BM, malah mereka berterusan hanya menggunakan BI dan Mandarin di premis mereka atau dalam risalah mempromosikan produk mereka. Ia memberi gambaran seolah ada usaha untuk mempromosi penggunaan bahasa Mandarin dalam negara ini hingga mahu mengabaikan BM.

Apakah mereka menganggap mereka bukan beroperasi di Malaysia yang mana bahasanya ialah BM? Apakah rakyat Perancis, Jepun, Korea atau pun Thai boleh menerima bahasa mereka diketepikan begitu dan sebaliknya mempelopori bahasa sukuan?

Kalau perkara demikian ini tidak mungkin boleh berlaku di negeri itu, kenapa di Malaysia masih wujud puak sedemikian dan kenapa pula pihak berkuasa tempatan kita begitu ‘bacul’ tidak mahu menunjukkan taring bertindak ke atas anasir yang tidak setia terhadap negara mereka sendiri?

Pejuang BM bukannya hendak memperlekehkan BI. Mereka hanya berjuang supaya BM diberi pengiktirafan sepatutnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Dengan itu, ia juga harus diterima sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengetahuan dan mana-mana agensi yang dipertanggungjawabkan memartabatkannya harus menentukan ia diberikan kedudukan setimpal dengan tarafnya. Itu saja yang diperjuangkan.

Jadi kenapa puak tertentu berterusan mahu memperlekehkan BM? Anehnya dengan pelbagai hal sampingan yang tidak kena mengena dengan usaha untuk memartabatkannya. Dalam pada itu wujud pula mereka yang berterusan mendewakan BI. Ini masih boleh diterima sekiranya mereka pada masa sama tidak ketepikan penggunaan BM.

Tidak ada siapa mempersoalkan usaha mahu menggalakkan penguasaan BI dalam kalangan rakyat negara ini lebih-lebih lagi di sekolah. Tidak siapa juga menafikan BI adalah bahasa antarabangsa yang penting dikuasai, khususnya bagi sebuah negara seperti Malaysia yang bergantung banyak kepada hubungan dengan dunia luar termasuk dalam perdagangan.

Diakui juga betapa pentingnya kita menguasai BI kalau mahu maju. Juga diakui BI kini sudah menjadi bahasa utama dunia sebagai bahasa antarabangsa, bukan saja untuk urusan perdagangan dan diplomasi malah sejumlah besar buku yang diterbitkan juga dalam bahasa Inggeris. Seperti juga penggunaannya amat meluas dalam komputer. Ini tidak dinafikan tetapi dalam mahu menegakkan penguasaan BI penggunaan BM tidak harus diabaikan. Jadi puak yang sememangnya tidak boleh bertutur BM ini janganlah hendak menangguk di air keruh sehingga tergamak mengatakan BM tidak penting.

BM sememangnya penting difahami dan dikuasai oleh semua mereka yang mengakui sebagai rakyat negara ini. Kalau tidak jangan jadi rakyat Malaysia. Itu saja. Oleh itu, keputusan kerajaan hendak memperkasakan pembelajaran BI di sekolah memang diterima baik, tetapi dalam usaha memperkasakan pengajarannya di sekolah, ia hendaklah dilaksanakan dengan baik dan berpandukan kepada suatu pertuturan bahasa Inggeris standard yang selama ini diikuti iaitu standard di England bukannya mengikut sebutan seperti di Amerika Syarikat dan Australia.

Oleh itu, pengambilan guru dari Amerika atau Australia yang mempunyai sebutan amat berbeza dengan sebutan orang Inggeris akan membawa kepada keadaan yang boleh mengelirukan. Apakah Kementerian Pelajaran tidak boleh mengambil kembali guru BI yang sudah bersara untuk mengajar mata pelajaran itu di sekolah? Ramai antara mereka yang bersara amat berdedikasi dan khidmat mereka tentunya masih boleh dimanfaatkan.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

0 ulasan

Isnin, 27 September 2010

Berita Harian Online | Kunta Kinte original: Laksanakan balik Dasar Penswastaan

Kunta Kinte original: Laksanakan balik Dasar Penswastaan


2010/09/24
MINGGU ini Kunta Kinte nak cakap mengenai kapitalis dan eksekutif perniagaan yang mahu kerajaan berhenti berniaga dan jangan campur tangan dalam pengurusan perniagaan.

Kunta Kinte terkejut juga dengan nada saranan mereka itu. Bergantung kepada surat khabar mana kita baca, ada yang kata mereka mahu kerajaan nyah daripada arena perniagaan atau jangan masuk campur dalam urusan perniagaan walaupun dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Surat khabar percuma milik kapitalis Vincent Tan Chee Yioun, The Sun siarkan tajuk berbunyi No Business For Govt. Lebih kurang dalam bahasa Melayu, kerajaan tak ada peranan dalam perniagaan.

Kata surat khabar bahasa Inggeris itu, kapitalis dan eksekutif perniagaan mahu padang permainan yang sama rata, persaingan bebas dan kerajaan keluar daripada bidang perniagaan.

Yang buat saranan itu bukan saja kapitalis macam Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes, tetapi juga eksekutif GLC macam Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Mohd Nazir Abdul Razak.

Mereka pula bukan cakap di kedai kopi atau kelab cerut (cigar bar) di hotel lima bintang, tapi pada majlis hari terbuka Program Transformasi Ekonomi yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Fernandes yang dibagi kebenaran beli AirAsia daripada DRB-Hicom oleh kerajaan dan ditambah pula dengan bermacam pertolongan kata, kerajaan patut keluar daripada arena perniagaan.
Walaupun dia nafi dia bukan pembunuh GLC, tapi dia kata selagi wakil kerajaan ada dalam lembaga pengarah GLC, adalah susah bagi sektor swasta untuk bersaing atau mempunyai padang permanian yang sama rata.

Kalau Kunta Kinte faham cakap Fernandes itu, dia mahu kerajaan jual atau tutup GLC, atau setidak-tidaknya pun jangan lantik penjawat awam sebagai ahli lembaga pengarah GLC.

Keras bunyi tuntutan Fernandes itu, tapi kita tak boleh marah dia pasal dia pun ada hak bercakap mengenai GLC sebab dia rakyat Malaysia dan dia bayar cukai kepada kerajaan.

Dulu lainlah kerana tak ada GLC. Dulu GLC dikenali sebagai agensi amanah Bumiputera. Walaupun mereka milik kerajaan tapi dipegang atas nama Bumiputera, jadi orang bukan Bumiputera taklah berani campur tangan atau cakap yang bukan-bukan.

Sekarang agensi amanah Bumiputera atau Bumiputera trust agencies dah diubah jadi GLC. Bila jadi GLC atau syarikat berkaitan kerajaan, semua rakyat jelata tak kira bangsa dan kaum ada hak.

Jadi tak hairanlah hari ini kapitalis bukan Bumiputera macam Fernandes berani cakap macam itu mengenai GLC. Jangan marah dia sebab kerajaan sendiri yang tukar status atau label agensi amanah Bumiputera jadi GLC.

Mohd Nazir kata sektor swasta mahukan kepastian daripada kerajaan sebab itu dia sokong inisiatif reformasi strategik yang sedang kerajaan usahakan.

Kunta Kinte tak ada masalah dengan kenyataan Mohd Nazir itu, tapi eksekutif Bumiputera macam dia kenalah ingat iaitu matlamat Dasar Ekonomi Baru banyak bantu eksekutif Bumiputera, termasuklah Idris Jala, naik tangga kejayaan dalam GLC.

Kalau tidak sebab ada GLC, Kunta Kinte rasa tidaklah ramai eksekutif Bumiputera dalam sektor perniagaan. Cuba bilang berapa kerat eksekutif kanan Bumiputera dalam syarikat swasta milik bukan Bumiputera. Ada tu ada, tapi apa jawatan dan tugas mereka?

Tapi ini tak bererti Kunta Kinte puas hati atau seronok sebab ada ramai eksekutif Bumiputera dalam GLC. Ikhlas cakaplah, ramai juga eksekutif Bumiputera dalam GLC yang bukan saja dah jadi kacang lupa kulit dan kaduk naik junjung, malah sanggup bersaing dan bunuh usahawan Bumiputera.

Kunta Kinte adalah sikit pengalaman dengan GLC ni. Ada eksekutif dan pengurus GLC yang baik hati dan sedia bantu usahawan Bumiputera. Tapi ramai yang anggap usahawan Bumiputera pesaing dan pengacau.

Baru-baru ini syarikat tempat Kunta Kinte kerja beli sebuah bangunan pejabat dari sebuah GLC. Syarikat ini 100 peratus milik Bumiputera dan dah sewa premis itu dari tahun 2000. Eksekutif Bumiputera GLC hartanah dan prasarana itu sangat bertimbang rasa dan sokong Bumiputera berniaga.

Tapi bila pergi bank minta pinjaman, sebuah bank GLC langsung tak layan. Sebuah lagi sanggup bagi pinjaman 65 peratus saja. Tapi bila pergi kepada bank swasta milik kapitalis Cina, dapat pembiayaan 85 peratus. Nampaknya bank Cina lebih percaya kepada usahawan Bumiputera daripada bank GLC. Jadi kita pun pinjamlah daripada bank Cina. Boleh jadi juga pasal premis yang kita beli itu terletak dalam kawasan Cina.

Kesimpulannya, manakala GLC telah bagi banyak pekerjaan kepada Bumiputera, namun kewujudannya tidaklah selalu baik bagi usahawan Bumiputera.

Ini adalah kerana ramai pengurus GLC tidak ada semangat nak tolong Bumiputera, malah bersaing pula dengan usahawan Bumiputera.

Jadi Kunta Kinte setuju kalau kerajaan fikir dan laksanakan balik Dasar Penswastaan. Sekarang ini, secara diam-diam ramai usahawan kecil dan sederhana Bumiputera telah muncul balik selepas dijahanamkan oleh krisis mata wang Asia 1997/98.

Tapi janganlah diswastakan semua kepada syarikat atau kapital besar Bumiputera yang sedia ada. Bagilah peluang kepada usahawan baru.

Satu cara yang baik ialah dengan kerajaan menyuruh syarikat dan usahawan Bumiputera yang berjaya ambil usahawan baru dan muda sebagai rakan kongsi. Kunta Kinte rasa sistem mentor macam ini boleh bantu lahirkan
generasi baru usahawan Bumiputera.

Berita Harian Online | Kunta Kinte original: Laksanakan balik Dasar Penswastaan 0 ulasan

Berita Harian Online | Institusi agama perlu jadi nadi memperkasa jati diri rakyat

Institusi agama perlu jadi nadi memperkasa jati diri rakyat
Oleh Mohamad Abdullah

2010/09/27
AKHBAR Berita Minggu pada 22 Ogos lalu melaporkan 221 orang terjebak dalam kancah dadah sejak Januari 2009. Sepanjang tahun ini golongan muda dikatakan paling ramai terjebak dengan dadah dan dianggarkan 25 peratus daripada jumlah keseluruhan 12,079 penagih dadah baru dan berulang. Golongan profesional dan yang agak stabil dalam pekerjaan juga mencatat kes tinggi dengan mencatatkan sejumlah 18.2 peratus daripada statistik yang dikeluarkan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) kelolaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Laman Web Majlis AIDS Malaysia pula masih meletakkan amaran bahawa kira-kira setiap hari lebih 10 rakyat Malaysia dikesan HIV positif. Antara 1986-2009 sebanyak 87,710 kes HIV, 15,317 kes Aids dan 13,394 kematian berkaitan HIV/Aids dicatatkan di negara kita. Daripada keseluruhan kes jangkitan HIV mengikut kaum di Malaysia, 70 peratus dikatakan dihidapi orang Melayu.

Semua ini adalah apa yang dianggap sebagai gejala sosial yang merunsingkan kita. Ini belum lagi diambil kira masalah pembuangan bayi dan kes maksiat yang menjengkelkan seperti dipaparkan akhbar saban hari. Oleh kerana ia begitu banyak dipaparkan, nampaknya ramai yang menerimanya sebagai perkara biasa, rutin harian dan masing-masing menuding jari satu sama lain dalam memperkatakan mengenai sebab, tanggungjawab dan siapa yang harus mengambil tindakan sewajarnya.

Selaras dengan kedudukan Kepercayaan kepada Tuhan sebagai asas terpenting dan prinsip pertama Rukun Negara, institusi agama sewajarnya digemblengkan untuk memainkan peranan dalam menjalankan usaha bersama-sama membantu mereka yang tersalah jalan dan perlukan bimbingan. Institusi agama perlu menjadi nadi dalam memperkasakan jati diri rakyat dan menjadi tempat untuk dituju apabila berhadapan dengan masalah yang membawa mereka terjebak ke kancah dadah mahu pun masalah lainnya.

Institusi agama meliputi semua yang terbabit secara langsung dalam hal urusan agama dan bagi umat Islam, institusi seperti masjid, surau dan pertubuhan mahu pun agensi amanah yang berkaitan dengan agama, wajar digembleng dengan sepenuhnya. Institusi ini perlu cukup mesra dengan kumpulan sasaran mereka sehingga berupaya menarik orang ramai, termasuk belia, remaja dan yang dianggap bermasalah untuk mendampinginya.

Oleh kerana itu, langkah pertama ialah dengan menukar persepsi yang ada pada institusi agama serta persepsi terhadap mereka yang berada di dalamnya dan persekitarannya untuk lebih mesra pelanggan. Institusi agama tidak wajar hanya dilihat sebagai badan yang menjatuhkan hukuman dari segi undang-undang syariah mahu pun hukuman moral berdasarkan dosa dan pahala semata-mata, tetapi lebih daripada itu sebagai institusi pembangunan sosial yang dapat menjana seluruh kekuatan yang untuk masa depan negara.

Institusi agama bukan didekati hanya untuk tujuan keagamaan seperti menguruskan jenazah, solat dan nikah kahwin semata-mata, tetapi melangkauinya, apatah lagi bagi Islam sebagai agama syumul yang menggembleng kekuatan semua aspek hidup, ekonomi, sosial, budaya, kemasyarakatan malah dapat dirumuskan sebagai apa jua yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia dan insan, hubungan dengan alam, apatah lagi hubungan dengan pencipta-Nya.
Institusi agama wajar menjadi tempat teduh mereka yang berhadapan dengan tekanan hidup melalui bimbingan dan sokongan mereka yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Malah, mereka yang mempunyai ilmu ini wajar berkawan dan berusaha memahami golongan ini dengan cara paling berhemah dan berhikmah. Menuding jari kepada mereka yang dianggap melakukan dosa dan membuat kesilapan dalam hidup adalah ibarat memangsakan orang yang sudah sedia menjadi mangsa. Sekali gus jika ini dapat dilakukan, kita dapat menukar persepsi yang ada kepada agama yang bagi sesetengah orang yang melihatnya secara dangkal dan sinis.

Oleh itu, institusi agama wajar mempunyai mereka yang kreatif dan inovatif dalam mendekati sesiapa saja untuk berdamping dengannya. Malah, ada ketikanya, perlu proaktif untuk keluar dan mendekati mereka yang melalui lorong kehidupan yang dianggap salah yang mungkin dia sendiri pun tidak mengingininya, tetapi berlaku atas pelbagai alasan yang tidak perlu diperkatakan. Yang ketara ialah kesan daripada keruntuhan sistem kekeluargaan, pegangan agama yang nipis, pelbagai pengaruh luar dan banyak lagi.

Kreativiti dan inovasi melalui institusi agama harus berlaku dalam semua urusan dan dipermudahkan melalui apa jua teknologi yang ada. Kemudahan internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS), misalnya harus dimanfaatkan sepenuhnya. Alangkah eloknya jika institusi agama mahu pun institusi amanah yang berkaitan dengan agama mempunyai sistem rangkaian yang canggih yang berupaya membolehkan orang berkomunikasi dengan mudah untuk berkongsi masalah dan tekanan hidup yang dihadapi, malah tanpa perlu pengenalan diri.

Jika berupaya mewujudkan rangkaian secara talian di institusi agama, banyak usaha boleh dilakukan secara bersama, mengoptimumkan tenaga yang ada dan dapat membantu masyarakat untuk memanfaatkannya ketika berhadapan dengan situasi hidup yang dilalui sekarang ini, malah juga aktiviti ekonomi, bimbingan pelajaran dan khidmat kaunseling.

Melengkapkan institusi agama dengan kemudahan rangkaian dan talian seperti ini juga sesuai dengan wujudnya pelbagai kemudahan talian sosial yang ada, yang malangnya bagi sesetengah pihak menganggapnya sebagai dosa, tetapi sepatutnya dimanfaatkan untuk faedah umat seluruhnya. Soal penyalahgunaan apa jua kemudahan yang ada bukan alasan untuk menolak teknologi yang ada, sebaliknya proses pendidikan yang berterusan akan membantu untuk menjadikannya sebagai satu medium sosial yang amat menarik dan berkesan.

Institusi agama yang mempunyai banyak pendapatan (daripada aktiviti ekonomi seperti bazar Ramadan) atau sumbangan amal oleh korporat besar berupaya melengkapkan kemudahan yang ada untuk menjadikan institusi agama sebagai yang tercanggih dan hebat dengan prasarananya, bukan sekadar membeli jam yang mahal sebagai hiasan dinding atau sesetengah kemudahan yang tidak terurus. Kawasan yang ada, termasuk anjungnya dan persekitaran boleh dibangunkan dengan aktiviti yang memberi faedah kepada masyarakat, termasuk untuk tujuan komersial.

Dalam konteks sama, institusi agama wajar memanfaatkan apa jua hasil penyelidikan saintifik yang dilakukan di pelbagai institusi termasuk universiti untuk melaksanakan usaha ini. Hasil penyelidikan dalam mengenal pasti kehadiran unsur haram dalam makanan seperti babi sudah sedia ada dan boleh dimanfaatkan untuk membantu masyarakat. Begitu juga perisian faraid dan telesidang yang boleh digunakan secara meluas untuk tujuan membantu masyarakat. Menggemblengkan kepakaran seperti ini juga akan menambahkan bilangan mereka yang boleh mendekati institusi agama, sekali gus meningkatkan jaringan yang ada secara jangka panjang.

Paling penting usaha ini perlu dilakukan dengan penuh tulus ikhlas untuk agama dan menunaikan amanah yang ada. Keikhlasan bahawa usaha ini untuk menyelamat ummah, tanpa ada sikap buruk sangka dan putus asa akan banyak membantu menghadapi masalah yang ada. Ini juga dapat mengelakkan daripada menggunakan institusi agama untuk kepentingan dan kelompok tertentu. Jika misalnya masjid dan surau yang ada hampir di setiap kampung di negara kita dapat diuruskan secara profesional, cekap dan berkesan tentunya banyak usaha boleh dilakukan bersama setiap anggota masyarakat yang ada.

Malangnya, dalam banyak keadaan, mereka yang dianggap beragama dilihat sebagai menjauhkan diri daripada golongan ini. Institusi agama dikatakan lebih banyak menghukum daripada berusaha untuk mendekati dan memahami masalah yang timbul dan diperlukan hanya ritual dan ibadah khusus semata-mata. Kita enggan menerima hakikat bahawa masalah dan kesilapan dalam memilih jalan yang dianggap ‘betul’ boleh berlaku kepada sesiapa saja, malah juga dalam kalangan mereka yang hebat ilmu agamanya sekali pun.


Penulis ialah Timbalan Pendaftar Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang

Berita Harian Online | Institusi agama perlu jadi nadi memperkasa jati diri rakyat 0 ulasan

Ahad, 4 April 2010

bharian: Gejala buang bayi banyak babit Melayu

Oleh Rejal Arbee

(Sumber dari Berita Harian, 2010/04/01)

Pusat pemulihan bantu gadis hilang arah wajar diwujudkan

SEJAK akhir-akhir ini kerap sangat berita disiarkan akhbar mahu pun televisyen mengenai bayi baru lahir dibuang dalam tong sampah, dalam tandas, di tepi longkang dan di temui dalam keadaan yang amat menyedihkan. Ada yang sudah meninggal, tetapi ada juga masih bernyawa.

Terakhir ialah penemuan seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui tersangkut pada pukat nelayan di Sungai Pasir, Kuantan dan janin lelaki baru berusia empat bulan dijumpai disumbat dalam sebuah balang plastik gula-gula yang ditinggalkan depan sebuah tokong di Jinjang Utara, ibu kota kedua-duanya Selasa lalu.

Tidak cukup dengan gejala zaman jahiliah ini, ada pula perlakuan tidak berperikemanusiaan mendera kanak-kanak, termasuk bayi. Yang menakjubkan kebanyakan daripada bayi yang dibuang mahu pun yang didera adalah bayi Melayu.
 

Apakah yang sedang melanda kita, orang Melayu yang sepatutnya berpegang teguh kepada ajaran agama? Bagaimana jika berpegang kepada agama penyakit ini berterusan saja berlaku?

Maka tidak menghairankan statistik yang didedahkan Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan peningkatan pada setiap tahun. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Alwi Ibrahim, berkata bahawa dalam tempoh lima tahun terakhir ini daripada 214,033 bayi luar nikah yang didaftarkan, 74,723 adalah anak orang Melayu.

Ini yang didaftarkan. Statistik mengenai pembuangan bayi tidak pula pernah didedahkan. Pernah pula diberitakan suatu hal yang sungguh menakjubkan, iaitu bagaimana seorang remaja Melayu yang baru berusia 17 tahun sudah tiga kali hamil dengan dua daripada anaknya diserahkan kepada orang dan yang ketiganya dibuang.
Apa pemikiran gadis ini tergamak berterusan bergelumang dengan gejala kebebasan pergaulan hingga hamil tiga kali ketika usia begitu muda? Siapa bapa bayi itu? Ini tidak pula diketahui. Yang harus menanggung bebanan ialah gadis berkenaan.
Apakah tidak wujud keinsafan di antara kita mengenai gejala buruk begini? Apakah pemerintah dan pelbagai agensinya baik yang bertanggungjawab menangani hal bersangkutan kebajikan rakyat mahu pun institusi agama tidak prihatin terhadap perkara yang sedang melanda ummah Islam ini?

Dan apakah tidak terlintas di hati bagaimana pula setiap kali bayi yang dibuang ditemui yang terpaksa menanggung bebannya ialah gadis yang terlanjur itu yang jelas tidak mempunyai tempat untuk mengadu atau mendapatkan bantuan dan kaunseling hingga sanggup bertindak nekad membuang bayi yang tidak dikehendaki?
Apakah tidak ada tempat atau pertubuhan yang dapat gadis malang dan kehilangan arah ini mendapatkan bantuan dan simpati supaya tidak akan bertindak zalim demikian? Apakah Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pun mana-mana pertubuhan wanita dan badan agama tidak boleh turun padang atau memainkan peranan menyediakan tempat mengadu supaya gejala jelek membuang bayi ini dapat dielakkan daripada berterusan?

Dan bagaimana pula dengan lelaki yang bertanggungjawab menghamilkan gadis mentah ini? Sehingga kini apakah sudah ada usaha mengesan lelaki yang tidak bertanggungjawab ini untuk dihadapkan ke pengadilan atau setidaknya mendapatkan mereka untuk bersikap lebih bertanggungjawab atas segala perlakuan mereka.
Tentunya bukan gadis itu saja bersalah yang harus memikul bebanan akibat perlakuan mereka hingga membawa kepada membuang bayi yang mereka lahirkan.
Dalam pada itu, berita anak muda lari dari rumah untuk bersama kekasih baik tempatan mahu pun pendatang asing sering saja dipaparkan di akhbar. Malangnya ramai pula antara mereka ini terdiri daripada gadis sunti Melayu yang masih bersekolah.

Daripada apa yang berlaku ini apakah gejala bersekedudukan sudah meresapi ke mari dari negara maju yang mana ia perkara biasa dan anak luar nikah juga sudah tidak menjadi suatu perkara mengaibkan. Malah antara pihak kenamaan khususnya bintang filem mereka, soal bersekedudukan dan anak luar nikah sudah menjadi semacam suatu kebanggaan pula dengan dihebahkan di televisyen TV dan akhbar tanpa segan silu.

Apakah anak gadis kita sudah terikut-ikut dengan gejala ini, tetapi apabila sudah hamil tidak pula tahu apa yang perlu dilakukan kerana malu dan takut menghadapi ibu bapa dan masyarakat.

Lelaki yang bertanggungjawab pula sudah menghilangkan diri membiarkan gadis ini tidak mempunyai tempat mengadu atau mendapat simpati hingga membuatkan mereka bertindak nekad membuang bayi yang tidak dikehendaki. Gadis beginilah yang perlu mendapatkan bantuan dan nasihat supaya mereka tidak perlu membuang bayi yang dilahirkan.

Jadi apakah sebenarnya yang sedang melanda kita orang Melayu? Dan bagi gadis ini tanpa usaha menyeluruh membaikpulih mereka ke jalan benar dan baik dengan tunjuk ajar dan kaunseling tidak banyak yang mereka ini boleh harapkan untuk masa depan.

Sememangnya kebanyakan daripada mereka ini memerlukan pemulihan dan kaunseling. Tidak cukup dengan perasaan simpati dan prihatin saja atau menempatkan mereka di pusat tertentu tanpa memberikan mereka kaunseling secukupnya.

Tanpa dapat menyediakan prasarana yang lengkap dengan kumpulan tenaga kaunseling yang mahir secukupnya gadis terlanjur ini akan terus saja terabai dan berkemungkinan terjerumus kembali ke pergaulan bebas tanpa had dan terus bergelumang dengan maksiat.



Dikhabarkan Majlis Agama Islam Selangor sudah pun menyediakan Pusat Pemulihan Akidah dan Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan untuk membantu gadis terlanjur, mereka yang mempunyai masalah akhlak, mangsa rogol dan sumbang mahram mahu pun wanita yang teraniaya. Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan juga ada mendirikan rumah perlindungan demikian.

Penubuhan rumah ini dialu-alukan. Tetapi apakah yang sedia ada itu sudah mencukupi untuk menampung gadis terlanjur ini yang nampaknya semakin menjadi-jadi. Dalam pada itu, ada juga yang berpendapat kewujudan lebih banyak pusat pemulihan demikian akan menggalakkan gejala perzinaan.

Apa pun usaha ini sememangnya perlu dan penting diadakan untuk menolong mereka yang sudah terlanjur ini, tetapi apa yang dikehendaki ialah mengelakkan gadis daripada terjerumus dengan pergaulan tanpa batasan yang boleh membawa kepada gejala buruk begini. Ini sebenarnya adalah tanggungjawab ibu bapa sendiri untuk mendidik anak mereka lebih insaf dan tahu akibat pergaulan tanpa batas.

0 ulasan

Rabu, 31 Mac 2010

bharian: Minda Pengarang: Model Ekonomi Baru janjikan kemakmuran dikongsi semua kaum

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)

MODEL Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan semalam bakal mengubah senario ekonomi negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan memacu pertumbuhan melalui program tranformasi dan andainya tiada berlaku atau berulangnya kemelesetan ekonomi dunia yang teruk dalam tempoh sedekad akan datang, laluan ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020 akan berada di landasan betul. Datuk Seri Najib Razak sudah menggarapkan inti pati menjadi sebuah negara maju dengan pelbagai pendekatan drastik dan berani, yang menuntut semua pihak untuk bekerjasama demi kepentingan semua melalui pendekatan yang lebih agresif, spesifik dan jelas. Antaranya sasaran melonjakkan kuantum pendapatan tahunan per kapita kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun akan datang, berbanding AS$7,000 sekarang selain meningkatkan kualiti pekerja dan pada masa sama mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing, yang selama ini menjadi nadi kepada pertumbuhan sektor peladangan dan perusahaan. Di sini jelas iltizam politik yang amat kuat daripada kerajaan khususnya Perdana Menteri, tetapi persoalannya bersediakah rakyat kita untuk menyahut cabaran itu. Apabila per kapita dilonjakkan sekali ganda, sejajar usaha mewujudkan negara berpendapatan tinggi, bermakna upah pekerja lebih tinggi bagi keseluruhan ekonomi, sekali gus menuntut produktiviti tinggi.



Upah yang tinggi juga termasuk bagi pekerja asing dan ini bermakna, pengurangan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing yang tidak mahir sebaliknya, lebih tumpuan kepada pekerja pelbagai kemahiran yang boleh meningkatkan produktiviti. Apa yang melegakan terutama bagi masyarakat Bumiputera ialah semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan selama 40 tahun, terus diperjuangkan melalui dasar afirmatif yang diperbaharui dan dilaksanakan berdasarkan mesra pasaran, berdasarkan merit, telus dan berdasarkan keperluan, dengan tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap pendapatan semua golongan yang kurang bernasib baik. Kali ini tumpuannya lebih khusus iaitu terhadap kumpulan 40 peratus strata pendapatan terendah di Malaysia - dari segi individu dan wilayah. Matlamat akhirnya, tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara atau pendeknya rakyat menikmati kualiti hidup lebih tinggi. Itulah hasrat negara maju bernama Malaysia dengan tidak meminggirkan rakyat miskin, tetapi pada masa sama, amalan ‘patronage’ dihentikan, kerana ia mencemar matlamat membantu golongan sasaran di bawah DEB selama ini. Kita berharap pelancaran MEB itu sebagai satu era baru bagi negara ke arah tranformasi menyeluruh termasuk bagi menggerak kemasukan pelaburan asing dan menaik taraf serta membawa masyarakat perniagaan ke peringkat global.

Selepas ini apa yang diharapkan ialah pelaksanaan MEB itu sendiri yang tidak harus dihambat oleh pelbagai kerenah atau prosedur yang sudah tidak lagi relevan. 0 ulasan

bharian: Rakyat penentu kejayaan MEB

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/31)

Oleh Dr Mahani Zainal Abidin

Dasar capai taraf negara maju tuntut sokongan semua

DATUK Seri Najib Razak mengambil masa 75 minit untuk menghuraikan konsep model ekonomi dalam ucaptamanya pada Persidangan Invest Malaysia 2010 semalam. Jangkamasa yang diambil ini melambangkan betapa pentingnya Model Ekonomi Baru (MEB) dan perlunya untuk kita memahami serta menghayati strategi, polisi dan langkah yang harus diambil.

Laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) jelas menunjukkan situasi sekarang dan cabaran yang dihadapi oleh ekonomi negara. Amat pentingnya kita mengambil langkah berani bagi memastikan ekonomi negara tidak ketinggalan dan akan sebaris dengan ekonomi maju yang lain. Kalau kita lambat bergerak, besar kemungkinan Malaysia tidak akan dapat mencapai Wawasan 2020.

Adakah sasaran menggandakan pendapatan per kapita daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam masa sepuluh tahun satu angan-angan saja? Akan kedengaran orang bertanya, benarkah gaji saya akan naik dengan wujudnya MEB?



Sesetengah pihak pula mendesak supaya ada gaji minimum. Sasaran ini boleh dicapai dengan syarat ada pelaburan yang cukup terutama daripada sektor swasta, ada modal insan yang terbilang, ada penambahbaikan daya saing dan produktiviti, ada sektor awam yang memudahkan dan mendokong kegiatan ekonomi dan ada kekuatan teknologi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Penggandaan pendapatan per kapita hanya akan tercapai jika ekonomi negara berkembang secara mantap dengan berasaskan daya saing dan produktiviti. Peningkatan pendapatan ini tidak boleh dilihat hanya daripada sudut pendapatan nominal.

Yang lebih bermakna ialah peningkatan taraf hidup sebenar. Jika gaji bertambah tetapi harga barang pun naik, akhirnya kita balik ke tahap asal. Bagaimana boleh dapat gaji lumayan? Ia berasaskan kemahiran tinggi yang diraih daripada tahap pembelajaran dan pendidikan yang tinggi.

Ini adalah faktor utama yang membolehkan seseorang berbuat demikian bukan dengan mendesak. Dalam ekonomi berpengetahuan yang menjadi sasaran kita, pelaburan dalam teknologi baru, kemahiran tinggi, kebolehan berinovasi dan reka cipta serta kepelbagaian kemahiran adalah ciri-ciri utama yang membuka peluang untuk pendapatan tinggi.

Majikan tidak akan dengan mudah memberi gaji yang tinggi tanpa hasil kerja yang berpadanan. Akhirnya, pendapatan tinggi akan hanya menjadi realiti dan boleh bertahan jika prestasi pekerja boleh mencapai tanda aras antarabangsa.

Untuk meningkatkan pendapatan, kita mesti meningkatkan keupayaan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan. Pertumbuhan eksport yang lebih tinggi mesti digalakkan melalui pasaran baru dan produk serta perkhidmatan berkualiti.

Industri sedia ada yang sudah mempamerkan keupayaan perlu diperkukuhkan. Di samping itu, industri yang berpotensi untuk berkembang pada masa depan, harus dikenal pasti.

Kesimpulannya, kejayaan MEB ini adalah di tangan kita. Kerajaan boleh menyediakan pelan dan polisi yang sepatutnya, berserta suasana ekonomi yang sesuai. Tetapi, tanpa sokongan dan penyertaan rakyat, MEB hanya akan tinggal sebagai harapan.

Datuk Dr Mahani Zainal Abidin ialah Ketua Eksekutif Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (Isis) Malaysia 0 ulasan

Selasa, 30 Mac 2010

bharian: Usah biar cabaran globalisasi menghakis nilai teras universiti

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/30)

Oleh Dr Ibrahim Komoo

Institusi pusat kecemerlangan ilmu tidak harus menjadi badan korporat yang mengukur pencapaian berdasarkan untung

MALAYSIA memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti universiti untuk melahirkan sumber manusia berilmu, kreatif dan berinovasi sambil mengharapkan penjanaan teknologi tinggi yang dapat meningkatkan ekonomi negara. Universiti awam diperkasa, diangkat martabatnya menjadi universiti Apex dan universiti penyelidikan. Universiti swasta pula dirangsang untuk menjadi hab pendidikan tinggi bagi rantau Asia Pasifik.

Ini antara maklum balas negara ketika berdepan cabaran globalisasi. Ketika universiti tempatan cuba menyesuaikan diri untuk menyahut cabaran negara, visi dan objektif serta strategi pelaksanaan mereka mulai berubah, kini institusi pengajian tinggi dilihat lebih mirip sebagai organisasi korporat atau entiti perniagaan. Apakah fenomena ini membawa universiti ke arah yang berjauhan daripada peranan asalnya? Apakah nilai teras universiti masih boleh dipertahankan?



Nilai teras universiti yang membezakannya dengan institusi lain pada prinsipnya boleh dibahagikan kepada empat.

Pertama, pencarian ilmu secara bebas. Dalam konteks ini, institusi akademik dan ahlinya akan berusaha meneroka ilmu dan mencari kebenaran berpandukan kepakaran serta pendekatan ilmiah yang kukuh. Fakta yang disampaikan mampu dipertahankan tanpa boleh digugat faktor dalaman atau luaran. Dapatan dari universiti dan ilmuwannya sangat dihargai masyarakat kerana umumnya bebas daripada kecenderungan mana-mana pihak. Pada prinsipnya, individu akademik dan universiti bersifat autonomi daripada perspektif pemikiran dan ilmu.

Kedua, menghargai kualiti iaitu tidak berasa selesa dengan apa yang ada dan sentiasa mencari kecemerlangan. Ahli akademik perlu sentiasa meneroka ufuk ilmu dan tidak akan kompromi terhadap kualiti yang lebih rendah daripada keupayaan optimumnya. Mereka sentiasa ingin berkongsi pengetahuan yang diperoleh dan menyebarkan nilai serta pengetahuan kepada keserakanan dan masyarakat. Dalam konteks ini, merungkai ufuk ilmu dan kecemerlangan adalah identiti ilmuwan dan dorongan terus berusaha.

Ketiga, bersifat inklusif iaitu mempercayai pengetahuan untuk semua. Sifat inklusif memperkukuh nilai dan iltizam mengenai kualiti dan kepercayaan saling menghormati pandangan yang berbeza. Kepercayaan terhadap nilai inklusif juga dapat memberi peluang menyediakan komuniti intelek yang bersedia untuk memberi serta menghormati pelbagai idea dan perspektif.

Keempat, keperluan saling berhubungan dibina berasaskan warisan dan nilai sejagat. Ia mempermudahkan ahli akademik menggunakan kepakaran secara bersama dan kreatif untuk memperluas ufuk ilmu yang boleh dimanfaatkan bersama. Nilai ini membolehkan ilmu dihubung pada peringkat tempatan, kebangsaan dan global.

Saling berhubung bererti ahli akademik berpandangan ke depan, dapat menjangka isu masa depan dan mampu menyelesaikan isu semasa. Begitu rupanya nilai teras yang menyemarak semangat cintakan ilmu dan ilmu untuk semua yang membawa institusi universiti dan ilmuwannya ke mercu kejayaan dan disanjung masyarakat.

Apakah globalisasi benar-benar menggugat nilai teras universiti? Apakah kelemahan kita ketika berdepan arus globalisasi yang mendorong institusi universiti menjauhi nilai terasnya? Jika diperhatikan secara umum, globalisasi mempengaruhi universiti dalam dua perspektif berikut:

i) Universiti perlu bersaing pada peringkat global (universiti kepunyaan sejagat), dan

ii) Peranannya perlu diubah daripada ‘gedung ilmu’ kepada pusat penjanaan dan penjualan ilmu (universiti sebagai badan perniagaan).

Universiti sebagai kepunyaan sejagat berdepan isu kualiti akademik dinilai daripada perspektif kedudukannya (ranking) pada peringkat serantau dan global. Untuk universiti cemerlang perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada pelajar yang datang dari pelbagai negara dan membawa pelbagai budaya. Isu kritikal yang dihadapi ialah bagaimana mengimbangi antara keperluan kebangsaan dan antarabangsa? Apakah bahasa ibunda (kebangsaan) masih relevan sebagai media komunikasi universiti?

Universiti sebagai badan perniagaan pula membawa pelbagai peluang perniagaan berteraskan ilmu. Semua yang ada di universiti boleh diperniagakan. Akibatnya universiti swasta (perniagaan) bercambah seperti cendawan dan persaingan ‘perniagaan’ membawa pelbagai kesan negatif, khususnya daripada perspektif wibawa dan kualiti penyampaian ilmu.

Universiti awam pula terdesak untuk masuk campur dalam urusan ‘perniagaan pendidikan’. Apabila dana daripada kerajaan semakin berkurangan, dan universiti didorong untuk mendapatkan dana luar melalui sumbangan atau perniagaan. Akibatnya, wibawa dan kualiti akademik akan turut terjejas.

Di universiti awam tempatan, kita dapat memerhatikan aliran perubahan yang sangat membimbangkan. Untuk mengejar kedudukan global, persaingan antara universiti menjadi sengit dan umumnya bersifat kurang sihat. Perlumbaan yang keterlaluan tidak menggalakkan perkongsian ‘ilmu dan kepakaran’ untuk kepentingan negara. Akibatnya, negara tidak mampu membina kekuatan sesuatu kelompok ilmu secara optimum yang boleh memberi manfaat tinggi kepada masyarakat.

Dalam konteks penerbitan, walaupun jumlah penerbitan mulai meningkat, wujud aliran untuk memperbanyakkan penerbitan jurnal antarabangsa terindeks tanpa memberi perhatian kepada kualiti dan etika penerbitan.
Ada yang mengharapkan pelajar siswazah menulis kertas dan ahli akademik sekadar mengedit supaya dapat diterima untuk penerbitan, tujuan dan tumpuan penerbitan semata-mata untuk kenaikan pangkat dan mendapatkan dana ganjaran daripada universiti.

Tradisi dalam penyelidikan dan penerbitan iaitu penerokaan ufuk ilmu dan penerbitan untuk sasaran dan kepuasan akademik bukan lagi menjadi norma budaya akademik. Pengaruh dunia korporat, khususnya pendekatan pengurusan universiti semakin ketara. Walaupun sebahagian daripada pengaruh ini dapat memperkukuhkan pengurusan universiti, ada peralatan pengurusan yang tidak sesuai boleh membawa kesan negatif.

Ahli akademik seharusnya mereka yang cemerlang, pelajar terbaik daripada kelompoknya dan sebahagian pemegang ijazah kepujian kelas pertama. Mereka terus dikembangkan keilmuannya sehingga mencapai ijazah PhD. Oleh itu, sistem pembangunan sumber manusia dan penilaian pencapaian tahunan tidak boleh disamakan dengan kaedah penilaian pegawai kerajaan lain atau pekerja syarikat korporat.



Universiti, sejak awal lagi sudah mempunyai penilaian tersendiri dan telus. Untuk kelompok yang cemerlang, mereka perlu dinilai oleh rakan kesepakaran – tumpuan kepada kualiti bukan kuantiti hasilan, dan perhatian kepada kewibawaan akademik dan bukan kehebatan manipulasi maklumat.

Apakah universiti dan ahli akademiknya tidak mampu mempertahankan nilai teras ketika berdepan dengan arus globalisasi? Jawapannya, nilai teras universiti adalah pegangan dan ‘batas terakhir’ yang perlu diperkukuhkan jika ingin berjaya mengharungi cabaran globalisasi. Nilai teras yang unggul iaitu ‘tidak selesa dengan pencapaian yang ada dan sentiasa mencari kecemerlangan’ meletakkan budaya akademik dalam konteks nilai global yang tiada sempadan negara dan budaya.

Lihat saja, apabila percaya ilmu berada di negara Barat, kita sedia menyediakan diri untuk boleh berbahasa Inggeris dan mencari ilmu ke sana. Begitu juga dengan pelajar kita yang ke Jerman, Jepun dan Korea. Bahasa sekadar alat yang diperlukan untuk meneroka ilmu. Mengejar kecemerlangan juga membolehkan ahli akademik meneroka ufuk ilmu, menyebar luas dan berkongsi pengetahuan dengan sesiapapun.

Ilmu yang tinggi nilainya akan dicari dan dihargai. Amalan sifat ini meletakkan universiti kita pada kedudukan tinggi, tidak perlu strategi untuk mengejar kedudukan. Nilai inklusif atau ‘pengetahuan untuk semua’ dan kepentingan untuk saling berhubung akan memperkukuhkan kualiti dan kecemerlangan akademik. Ahli akademik perlu prihatin mengenai ilmu untuk digunakan bersama bagi kepentingan sejagat.

Mereka perlu tahu perbezaan antara ilmu untuk ‘rakan kesepakaran’, ilmu yang boleh dikongsi bersama ilmuwan lain dan ilmu untuk komuniti dan masyarakat. Ahli akademik yang memegang nilai teras ini dapat membezakan peranannya dalam konteks kepemimpinan untuk pelajar, penyelidikan dan masyarakat. Kerajaan dan pengurusan universiti bertungkus-lumus untuk meningkatkan kualiti dan kecemerlangan akademik. Pelbagai rangsangan dan strategi disediakan untuk menjadikan universiti lebih relevan kepada masyarakat pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Mengapa sukar untuk direalisasikan? Jawapannya ialah negara masih ketandusan kepemimpinan akademik dan ahli akademik yang berwibawa. Kita juga belum berjaya membina golongan pelapis akademik yang cemerlang dan menghayati nilai teras universiti.


Penulis ialah Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara, UKM 0 ulasan

bharian: Mengguna hukum akal dalam menapis maklumat disiar media

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/30)

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@nstp.com.my

MEDIA dan kebebasan sering diperdebatkan. Sejak Zaman Pencerahan (Age of Enlightenment), manusia sudah memperkatakan mengenai kebebasan dan hak asasi. Media pula muncul apabila hak asasi dan kebebasan dikongsi untuk bertukar pendapat dan menyebarkan maklumat.

Hari ini teknologi maklumat menjadi perayaan sejagat. Hatta di sebalik Tembok Besar China mahupun pedalaman Sahara di Afrika, maklumat sudah menjadi agenda utama manusia. Sebanyak 20,000 penduduk China melayari internet setiap minit dan pada masa sama 50 penduduk Zambia menyertai sembang sosial di skrin komputer.



Sejak tercetusnya Perang Dingin pasca Perang Dunia Kedua, ledakan maklumat sudah sebati dengan agenda kuasa yang bertelingkah. Blok Nato (Pakatan Atlantik Utara) yang didukung Amerika Syarikat menggunakan pelbagai saluran untuk mengagungkan kekuatan kapitalisme, sekali gus merendahkan kemampuan blok Warsaw – Pakatan Negara Komunis di Eropah Timur pimpinan Soviet Union.

Amerika Syarikat bersama Britain, Kanada dan Australia sentiasa menjuarai isu kebebasan media. Bagi mereka, penderitaan rakyat Palestin di Asia Barat bukan keutamaan, tetapi serangan bunuh diri di Palestin, Iraq dan Iran adalah keutamaan.

Media berjaya berperanan seketika, tetapi tidak mampu selamanya menguasai pendapat dunia. Kejatuhan Shah Iran dan pembunuhan Anwar Saddat di Mesir membuktikan betapa media gagal melaporkan isu sebenar di negara terbabit. Kemiskinan, kerakusan kuasa, rasuah, isu moral dan seks di Iran dan Mesir di bawah pentadbiran dua pemimpin itu tidak didedahkan.

Rakyat hidup melarat. Media tidak melaporkan keadaan sebenar. Justeru, isu kebebasan media sekali lagi dipertikaikan. Apakah media bebas melaporkan keadaan sebenar atau media terperangkap di sebalik kuasa politik, pimpinan syarikat, pemegang saham atau ideologi wartawannya sendiri?

Media juga berjaya menonjolkan sindrom ketakutan ekoran serangan 11 September 2001 di New York. Serangan pusat ekonomi dunia dikaitkan dengan pengganas Islam. Semua pihak yang inginkan kedamaian dipengaruhi supaya memihak kepada Amerika Syarikat menentang keganasan.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush memberi amaran bahawa dunia tidak aman dan semua pihak perlu sokong Rumah Putih menentang keganasan. Media turut berperanan kononnya pengganas adalah umat Islam dan berpusat di Afghanistan, Iraq dan Iran.

Kempen menentang pengganas sering dikaitkan dengan kegiatan menafikan hak asasi umat Islam sejagat. Media dan kebebasan juga sering menjadi tumpuan terutama di negara sedang membangun seperti Malaysia. Apakah kebebasan media bererti membenarkan semua pihak bersuara mengenai isu kaum dan ketuanan Melayu secara terbuka. Kebebasan mediakah jika kontrak sosial dan hak pemilikan ekuiti Melayu diperbesarkan?

Apakah kebebasan media membenarkan seseorang menuduh pihak tidak disenanginya secara terbuka tanpa diberi peluang membela diri? Apakah kebebasan media membenarkan isu hak dan agama diperdebatkan secara bebas hingga mencetuskan konflik kaum dan agama?

Mengikut kajian badan bukan kerajaan, sebanyak 90 peratus rakyat negara ini lebih mempercayai laporan media baru berbanding media tradisional seperti akhbar, majalah dan stesen penyiaran. Kononnya, media baru lebih bebas, tidak dikuasai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pemegang saham.

Ada yang mendakwa akhbar utama dikuasai kerajaan yang menguasai permit penerbitannya. Apakah media baru juga bebas apabila penulis blog, portal berita dan laman sosial menulis dan menuduh peribadi orang lain tanpa sebarang bukti dan tidak diberi peluang membela diri?



Sekali lagi isu media dan kebebasan tidak klise diperdebatkan. Media baru atau tradisional turut terperangkap dengan isu kebebasan dan hak asasi. Jika China Press menggantung ketua pengarangnya, Teoh Yong Khoon selama dua minggu pada 19 Mac lalu ekoran laporan peletakan jawatan Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara, blogger juga tidak terkecuali menerima padahnya. Raja Petra Kamaruddin dan Adukataruna juga pernah disoal siasat ekoran penulisan mereka.

Sejarah akhbar dan pemerintah tidak pernah sunyi diperkatakan. Mingguan Politik Eksklusif digantung penerbitannya. Penerbitan Detik diharamkan. Ketika Operasi Lalang 1987, akhbar Watan, The Star dan Sin Chew Jit Poh digantung permit penerbitan selama tiga bulan. Isu kebebasan media menjadi tabu yang luar biasa.

Bolehkah pendapat umum disekat menerusi undang-undang atau hukum akal manusia sendiri yang menapis antara kebenaran sesuatu maklumat dan sebaran am? Media, baik dilihat dari sudut mana pun, sentiasa menjadi wadah untuk akal yang sihat. Media tentunya berperanan menyebarkan maklumat, bukan propaganda zaman.

Wartawan tersohor Indonesia, Mukhtar Lubis mengandaikan media sebagai kekasih masyarakat yang mencerdaskan minda, bukan melenakan pemikiran umum! 0 ulasan

Ahad, 28 Mac 2010

bharian: Ramai tak peka risiko jenayah siber

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/28)

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my

Pengguna internet hari ini turut jadi mangsa peras ugut, bunuh

KECANGGIHAN teknologi bukan sekadar memudahkan urusan seharian, ia turut membawa kesan yang perlu dibayar dengan harga mahal.

Tidak ramai tahu perbandingan nisbah kebarangkalian jenayah siber kini pada tahap 1:5 berbanding jenayah pecah rumah hanya 1:30. Sememangnya membimbangkan, namun ia tidak diberikan perhatian sepatutnya atas alasan kita tidak melihat penjenayah siber. Tanpa kita sedar peningkatan mendadak jumlah pengguna ruang siber yang berinteraksi di laman sosial seperti Facebook, Friendster dan Twitter sebenarnya antara punca meningkatkan lagi risiko menjadi mangsa jenayah siber.



Mengikut statistik Symantec Norton Security Response, syarikat yang menawarkan perlindungan, penyimpanan dan pengurusan sistem penyelesaian komputer global, jenayah siber berlaku setiap 0.25 saat di seluruh dunia yang meliputi peras ugut, ancaman virus, angkara penggodam, phising, jangkitan anti-spyware dan malware.

Pengguna ruang siber kini bergantung kepada teknologi untuk membolehkan mereka berkongsi fail, foto dan muzik pada bila-bila masa daripada sebarang alat telekomunikasi.

Masalah mula timbul apabila kecenderungan pengguna mengejar kepantasan teknologi siber tidak setara dengan kesedaran untuk melindunginya daripada diceroboh penjenayah siber.
Kelemahan ini ditambah dengan jangkaan peningkatan penggunaan smartphone yang menguasai hampir separuh jualan telefon mudah alih dunia seperti Android, iPhone dan iPad pada 2013.

Hakikatnya, dalam masa empat minit saja selepas dihubungkan ke internet, sebuah komputer peribadi yang tidak berperisai akan dijangkiti virus dengan mudah.
Malah, setiap tiga saat pengguna laman siber akan hilang kata laluan, maklumat kad kredit, maklumat bank dan pelbagai maklumat lain.

Ketua Perniagaan Norton (Rantau Asia Selatan), Effendy Ibrahim, berkata pemantauan aktiviti internet yang dilakukan baru-baru ini menyerlahkan, dalam masa 24 jam selepas kejadian tsunami di Chile dan gempa bumi di Haiti, pelbagai laman web bertujuan mengutip derma dibangunkan, sedangkan laman web ini mengandungi banyak perisian palsu yang cuba memporak-perandakan dan mencuri data peribadi pengguna ruang siber.

“Insiden terbaru berlaku di Jakarta, Indonesia dan masih dalam siasatan membabitkan seorang gadis yang berkenalan dengan seorang lelaki di Facebook diajak bertemu atas alasan lelaki itu sakit tenat.

“Atas dasar simpati, gadis itu bersetuju dan pergi ke tempat yang dijanjikan. Malangnya selepas gagal memperkosanya, dia membunuh gadis itu.

“Dek ghairah dan mudahnya mendapat ramai kawan tanpa perlu bertentang mata di laman sosial, ternyata menarik pengguna ruang siber untuk terus berkomunikasi menggunakan pengantara ini sehingga terlalu selesa dan percaya untuk berkongsi maklumat peribadi, foto, video dan data,” katanya yang mengakui pengguna internet lebih ramai kawan di laman sosial berbanding di alam nyata.

Sementara itu, Ketua Perbankan Virtual Maybank, Choong Wai Hong, berkata 1,200 kes penipuan perbankan internet dikesan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lalu yang merangkumi 0.003 peratus daripada jumlah nilai transaksi membabitkan RM348.5 bilion, membabitkan kerugian RM1 juta.

Beliau berkata, walaupun peratusan kerugian masih rendah berbanding jenayah kewangan lain, ancaman itu tidak harus dipandang rendah.

“Kita perlu melihatnya dari perspektif lebih meluas dengan bilangan pelanggan perbankan internet semakin meningkat, oleh itu kami perlu mengimbanginya dengan menjadi lebih peka kepada segala bentuk ancaman,” katanya.

Mengikut pengalaman Maybank, katanya, 72 peratus jenayah siber yang dilapor membabitkan kecuaian pelanggan seperti mendedahkan kata laluan dan maklumat peribadi secara sedar.

Untuk mengatasinya, Maybank menjalin usaha sama dengan firma keselamatan bagi mengesan secara proaktif serta menangani kes penipuan, menjalin kerjasama rapat sesama bank, meningkatkan perkhidmatan keselamatan dan bekerjasama dengan polis, selain menganjurkan kempen kesedaran awam.

Cybersecurity, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengakui isu keselamatan yang dihadapi pengguna komputer dan internet meningkat berikutan penggunaan teknologi jalur lebar yang bertambah.

“Lebih 700 kes dilaporkan kepada Cyber999 sehingga Februari tahun ini manakala sepanjang tahun lalu mencecah 3,600 kes,” kata Ketua Pusat Bantuan Tindak Balas Kecemasan Komputer MyCert dan Cyber999, Adli Abdul Wahid.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga bulan, MyCert mengesan 75 serangan virus melalui komputer atau e-mel. Walaupun jumlah itu mungkin kecil, impak buruknya mampu menjangkiti 1.6 juta komputer di Malaysia.

INFO
Jenayah siber


Nisbah kebarangkalian jenayah siber kini pada tahap 1:5 berbanding jenayah pecah rumah hanya 1:30.

Jenayah siber berlaku setiap 0.25 saat di seluruh dunia yang meliputi peras ugut, ancaman virus, angkara penggodam, phising, jangkitan anti-spyware dan malware.

Setiap tiga saat pengguna laman siber akan hilang kata laluan, maklumat kad kredit, maklumat bank dan pelbagai maklumat lain.

1,200 kes penipuan perbankan internet dikesan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lalu yang merangkumi
0.003 peratus daripada jumlah nilai transaksi membabitkan RM348.5 bilion, membabitkan kerugian RM1 juta. 0 ulasan

Rabu, 24 Mac 2010

bharian: Persekitaran sesuai mampu galak tabiat membaca kanak-kanak

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/24)

Oleh Mohd Mahzan Awang
mohdmahzan@gmail.com

Golongan dewasa mesti perbanyakkan bahan bacaan tambahan, medium lebih baik bantu remaja peroleh ilmu pengetahuan

REALITINYA, membaca adalah budaya di kalangan masyarakat negara maju seperti Jepun dan United Kingdom. Justeru, ramai yang percaya bahawa kemajuan sesebuah negara, lahir daripada tabiat membaca tanpa melihat faktor sejarah dan budaya kerja mereka.

Ramai juga cuba membandingkan tabiat membaca di kalangan masyarakat Barat dengan masyarakat di Malaysia. Lalu, kesimpulan salah dibuat iaitu masyarakat Barat lebih pintar kerana mereka rajin membaca. Walaupun memang benar membaca adalah antara saluran meningkatkan kepintaran, wujud saluran lain yang turut menyumbang kepada kepintaran termasuk berdiskusi dan membuat refleksi pemikiran. Kekecewaan lazimnya timbul apabila kita meneliti statistik buku yang dibeli dan dipinjam daripada pusat sumber. Data menunjukkan bahawa aktiviti membaca di Malaysia masih tidak memuaskan. Apabila data ini dibandingkan dengan data aktiviti membaca di negara Barat, akan menambahkan lagi rasa kecewa. Hakikatnya perbandingan ini tidak seimbang. Memahami tabiat dan aktiviti membaca memerlukan lensa sosio-budaya setempat.

Umum mengetahui bahawa masyarakat Barat bersifat individualistik dan lebih cenderung untuk hidup dalam keluarga kecil. Banyak masa diluangkan dengan keluarga kecil dan cara mereka bersosial tidak seperti kita bersosial di Malaysia. Oleh kerana cara hidup sebeginilah, mereka memerlukan satu medium untuk berkongsi ilmu pengetahuan.

Kewujudan buku dalam keadaan budaya hidup mereka menjadikan membaca buku sebahagian daripada hidup mereka. Sebab itu jugalah, banyak permainan video, komunikasi maya serta pembelian secara atas talian (internet) menjadi budaya di kalangan masyarakat Barat. Situasi yang sama seakan-akan berlaku dalam masyarakat elit Malaysia terutama di bandar besar.

Jadi tidak hairan kalau kita melihat kanak-kanak yang belajar di sekolah elit mempunyai tabiat membaca yang tinggi tetapi jangan terkejut pula apabila melihat majoriti kanak-kanak lain menunjukkan tabiat membaca yang rendah. Keadaan ini berlaku kerana majoriti kanak-kanak tidak mempunyai masa untuk membaca bahan bacaan selain daripada buku akademik.

Perlu difahami bahawa kehidupan sebagai pelajar amat ketat dengan aktiviti persekolahan. Waktu pagi dan petang seorang pelajar adalah untuk persekolahan (akademik dan kokurikulum). Waktu malam pula untuk kerja sekolah, malah ada yang mengikuti tuisyen. Pada kebanyakan waktu aktiviti ini berlanjutan sehingga hujung minggu. Ini adalah realiti kehidupan pelajar di Malaysia.

Adalah tidak wajar meletakkan harapan tinggi kepada kanak-kanak untuk membaca bahan bacaan selain buku akademik sedangkan orang dewasa pula menghabiskan masa dengan aktiviti yang disukainya. Untuk memupuk minat membaca, golongan dewasa juga perlu menjadikannya budaya.

Kanak-kanak juga memerlukan masa untuk mempelajari kemahiran sosial yang lain ter-utama kemahiran berhujah, memberi pendapat, berkomunikasi dengan orang dewasa serta mempertahankan hak diri. Hakikatnya, minat membaca di kalangan rakyat Malaysia adalah memuaskan. Kalau tidak, masakan setiap tahun pencapaian dalam peperiksaan utama kebangsaan menunjukkan peratusan pencapaian membanggakan. Pastinya prestasi ini adalah hasil daripada kegiatan membaca di kalangan remaja.

Persidangan Buku Kanak-Kanak dan Remaja (22 dan 23 Mac 2010) amat perlu memahami realiti ini serta wajar untuk melebarkan fokus persidangan kepada sejauh mana golongan dewasa menyediakan persekitaran sesuai untuk memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak. Ia wajar diberi perhatian kerana beberapa faktor.

Pertama, orang dewasa mempunyai keupayaan mengatur masa mereka sendiri berbanding kanak-kanak yang terikat dengan aktiviti persekolahan. Keduanya, ramai orang dewasa lebih gemar menghabiskan masa berborak kosong di kedai kopi (akhir-akhir ini ramai yang berminat berkumpul di kopitiam) serta restoran mamak.

Ketiganya, golongan dewasa mempunyai sumber kewangan. Adalah baik menyalurkan wang membeli buku daripada membeli rokok. Akhirnya, golongan dewasa terutama ibu bapa amat perlu meniru budaya Islam yang ditunjukkan oleh masyarakat Barat iaitu membaca buku cerita teladan kepada anak sebelum mereka tidur.

Oleh kerana anak membesar dalam persekitaran yang lazimnya banyak dicorakkan oleh golongan dewasa, dimensi kempen membaca dan perbincangan mengenai isu ini patut diberi fokus serta penekanan kepada golongan dewasa.

Penulis ialah Pensyarah Fakulti Pendidikan, UKM yang kini melanjutkan pendidikan peringkat PhD di Universiti Dundee, United Kingdom.
0 ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...