Memaparkan catatan dengan label Dunia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dunia. Papar semua catatan

Rabu, 20 April 2011

Ahli perniagaan Malaysia disaran bantu tingkatkan pelaburan Malaysia-China

Berita Harian Online|Ahli perniagaan Malaysia disaran bantu tingkatkan pelaburan Malaysia-China

2011/04/20
BEIJING: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta ahli perniagaan Malaysia yang mempunyai jaringan perniagaan di China bersikap aktif dalam membantu kerajaan meningkatkan hubungan perniagaan dan pelaburan dengan republik itu.

Muhyiddin juga berharap peniaga Malaysia akan membawa lebih banyak pelaburan dari China ke Malaysia.

Kedudukan China yang strategik dan pasaran domestik yang besar, menjanjikan peluang perniagaan yang luas kepada Malaysia, katanya pada majlis makan malam bersama masyarakat Malaysia di Beijing.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kapten-kapten industri di Shanghai untuk mempromosi Malaysia dalam bidang ekonomi.

"Dengan kedudukan China yang semakin pesat berkembang sebagai kuasa ekonomi dan politik penting di dunia, jalinan hubungan mesra dengan China pasti akan membawa kelebihan kepada Malaysia dalam perdagangan serantau dan antarabangsa," katanya.

Muhyiddin berkata, dengan perkembangan ekonomi yang pesat di samping pelbagai inisiatif yang komprehensif yang diperkenalkan, Malaysia akan mencapai matlamat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Negara kita akan berjaya jika semua rakyat dapat berganding bahu untuk mencipta kemajuan bersama dan kemakmuran dalam semangat 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin meminta penuntut Malaysia di sini untuk pulang setelah tamat pengajian dan berkhidmat kepada negara.

"Terdapat 512 pelajar melanjutkan pelajaran di Beijing. Bagi pelajar yang bahasa ibundanya bukan Bahasa Mandarin tetapi belajar Bahasa Mandarin di sini, saya ingin mengucapkan tahniah kerana saudara-saudari telah membuktikan bahasa bukan halangan," katanya. - BERNAMA

0 ulasan

Jumaat, 18 Mac 2011

[Tsunami di Jepun] Siap sedia hadapi ancaman nuklear

Berita Harian Online|Siap sedia hadapi ancaman nuklear

2011/03/16

image ANGGOTA pertahanan Jepun memakai topeng sebagai persedian menghadapi kesan pencemaran radiasi di Nihonmatsu, Fukushima.

image PELBAGAI barang keperluan habis dijual sebagai persediaan penduduk menghadapi sebarang bencana di Moriyama, Jepun, semalam.

Penduduk bergegas beli barang keperluan, cara PM tangani krisis berganda dikecam

TOKYO: Walaupun digesa kekal tenang oleh Perdana Menteri Naoto Kan, penduduk tetap bergegas ke kedai untuk membeli barang keperluan bagi bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana nuklear.

Di pusat beli-belah Don Quixote, sebuah kedai 24 jam yang menjual barangan keperluan di daerah Roppongi di Tokyo, produk seperti radio, lampu suluh, lilin dan beg tidur habis dijual.

Beberapa kedutaan menasihatkan kakitangan dan rakyat masing-masing untuk meninggalkan kawasan terjejas radiasi dan daerah yang musnah akibat gempa bumi magnitud 9 (dinaikkan daripada 8.9 semalam) dan tsunami Jumaat lalu yang mungkin mengorbankan sehingga 6,000 nyawa.

Pelancong juga didapati memendekkan cuti masing-masing dan syarikat antarabangsa menggesa kakitangan masing-masing untuk berpindah atau merancang memindahkan pejabat ke kawasan di luar Tokyo.

"Saya takut, saya terlalu takut dan berasa berada dalam puting beliung,” kata Lucy Niver,10 dari Egan, Minnesota, yang sedang bercuti bersama keluarganya di Tokyo ketika gempa bumi dan tsunami melanda.

"Saya mahu balik,” katanya lagi.

Media Jepun semakin kritikal terhadap cara Kan menangani krisis berganda ini dan mengecam Tokyo Electric Power Co (TEPCO) - pengendali loji nuklear Fukushima Daiichi - kerana gagal memberi maklumat yang memadai berhubung masalah di loji berkenaan yang lumpuh akibat gempa bumi.

Kan juga membidas TEPCO kerana mengambil masa terlalu lama untuk memaklumkan pejabat beliau berhubung letupan terbaru yang menyebabkan pengeluaran radiasi ke udara sehingga merebak sejauh 170 kilometer ke Tokyo semalam.

"Apa yang sebenarnya berlaku (di loji itu)?” agensi berita Kyodo memetik beliau sebagai berkata.

“Televisyen melaporkan letupan ketiga berlaku pagi semalam tetapi pejabat perdana menteri hanya dimaklumkan sejam kemudian,” kata Kan.

Sejak ia rosak akibat gempa bumi Jumaat lalu, loji nuklear berusia 40 tahun itu mengalami empat letupan, dengan letupan terbaru berlaku terhadap reaktor dua dan empat.

Pihak berkuasa bimbang kebocoran akan berlaku menyebabkan bencana nuklear seperti Chernobyl di Ukraine pada 1986 yang menyaksikan kawasan sekeliling dicemari radiasi. - Agensi

0 ulasan

[Tsunami di Jepun] 2 letupan baru di loji nuklear Fukushima

Berita Harian Online|2 letupan baru di loji nuklear Fukushima

2011/03/16

image

Reaktor No. 3 di loji nuklear Fukushima Daiichi terbakar akibat gempa bumi Jumaat lalu.

TOKYO: Loji nuklear Fukushima Daiichi yang lumpuh berikutan gempa bumi mengalami kebocoran radiasi yang serius semalam berikutan dua letupan baru dan satu kebakaran ketika kakitangan di tapak berkenaan bertungkus lumus mengelak kebocoran.

Krisis nuklear terbesar negara itu semakin buruk setiap hari berikutan empat daripada enam reaktor di loji nuklear Fukushima mengalami letupan hidrogen sejak gempa bumi melanda wilayah Tohoku Jumaat lalu.

Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) mengarahkan 800 kakitangannya berpindah dari loji terbabit tetapi meninggalkan 50 yang lain untuk mengepam air laut ke reaktor dalam usaha yang disifatkan terdesak untuk menyejukkan tiga daripada empat reaktor dan berusaha untuk mengelak pembocoran teras.

Dalam satu taklimat malam kelmarin, Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano mengakui adanya risiko tiga daripada empat reaktor terjejas itu boleh mengalami kebocoran. Namun Kazuhiko Maekawa, profesor madya di Universiti Tokyo semalam berkata walaupun senario ini mungkin berlaku, sekurang-kurangnya pada masa sekarang, ia adalah berbeza dengan kebocoran teras di Chernobyl pada 1986 di Ukraine yang membabitkan letupan nuklear berskala besar.

Walaupun kebocoran berlaku, ia masih dalam keadaan cecair, kata Maekawa. Jika reaktor utama tidak musnah secara keseluruhan, bahan radioaktif membawa maut masih kekal dalam kawasan reaktor, katanya.

“Dalam insiden di Chernobyl, letupan merebak bahan nuklear yang mengandungi debuan maut dan mencemarkan kebanyakan penduduk,” kata Maekawa, seorang kaunselor Persatuan Penyelidikan Keselamatan Nuklear, menolak satu letupan seumpama itu di Fukushima.

“Jika anda berjaya menghalang kebocoran, kemungkinan pencemaran radioaktif berskala besar adalah rendah. Penduduk tempatan perlu terus tenang dan tidak panik,” katanya. – Agensi

0 ulasan

[Tsunami di Jepun] Peristiwa perang dunia berulang

Berita Harian Online|Peristiwa perang dunia berulang

2011/03/16

image

ANGGOTA penyelamat Korea Selatan bersama polis Jepun membawa keluar mayat mangsa tsunami yang ditemui di Sendai, semalam.

Warga tua Jepun bimbang pencemaran, kesan radiasi

NATORI: Hirosato Wako hanya mampu merenung kemusnahan penempatan kecil nelayan yang dipenuhi runtuhan bangunan, besi dan mayat dengan tangan yang kelihatan terkeluar. Hanya sekali beliau pernah melihat keadaan seperti itu, iaitu ketika Perang Dunia Kedua.

“Saya tinggal ketika Sendai pernah dilanda serangan udara, tetapi kali ini ia lebih teruk,” kata Wako, 75, merujuk kepada pengeboman di bandar raya terbesar di timur laut berkenaan.

Bagi orang tua yang tinggal di perkampungan di pinggir pantai timur laut Jepun itu, ia bagaikan kembali kepada masa silam yang mana anak-anaknya tidak pernah mengetahuinya.

Generasi tua yang terus tinggal berhadapan dengan kemusnahan dan kemungkinan pencemaran radiasi – satu cabaran dihadapi semula generasi itu selepas negara Matahari Terbit itu terpaksa dibangunkan semula berikutan tewas pada Perang Dunia Kedua pada 1945.

Di perkampungan Yuriage, operasi mencari mangsa bertukar menjadi pencarian mayat. Kebanyakan mayat terbabit membabitkan golongan tua yang tidak bermaya untuk lari dari tsunami.

Yuta Saga, 21, mengutip beberapa cawan yang pecah akibat gempa bumi apabila beliau terdengar bunyi siren dan jeritan ‘tsunami!’.

Beliau sempat menyambar tangan ibunya dan berlari ke sekolah tinggi, bangunan tertinggi di kawasan terbabit.

Apabila tiba di sekolah, Saga dan ibunya mendapati tangga untuk naik ke bumbung dipenuhi orang tua yang tidak lagi berdaya untuk memanjatnya. Ada yang sekadar duduk atau berbaring di atas tangga terbabit.

Dalam keadaan panik, penduduk muda mula menolak sesama sendiri dan memanjat mereka yang tidak bergerak atau menepis mereka untuk menuju ke atas.

“Saya seperti tidak percaya. Mereka sekadar menolak orang tua. Orang tua terbabit langsung tidak dapat menyelamatkan diri,” kata Saga.

Saga masih ingat, seorang wanita menyerahkan bayinya kepada beliau. “Tolong sekurang-kurangnya selamatkan bayi ini,” rayu beliau ketika air sudah mencecah bahagian dadanya. – Agensi

0 ulasan

[Tsunami di Jepun] Pelajar kita di Jepun bimbang keselamatan

Berita Harian Online|Pelajar kita di Jepun bimbang keselamatan

2011/03/16
KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia di Jepun bimbang mengenai keselamatan mereka apabila pihak berkuasa mengeluarkan arahan kepada 140,000 penduduk dalam jarak 30 kilometer dari loji nuklear itu supaya tidak keluar rumah untuk mengelakkan risiko terdedah kepada radiasi nuklear.

Pelajar Malaysia di Universiti Sains Tokyo, Awadh Asyraf Supri, berkata insiden di loji nuklear itu merisaukan banyak pihak selepas stesen televisyen melaporkan, letupan hidrogen di reaktor tiga mungkin menyebabkan berlakunya kebocoran radioaktif.

“Berdasarkan laporan stesen televisyen, pihak berkuasa meminta penduduk dalam lingkungan 20-30 kilometer supaya duduk dalam rumah, tutup tingkap, bawa masuk jemuran ke dalam rumah dan kalau keluar rumah kena pakai raincoat atau topi dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Manakala operator loji nuklear itu, TEPCO atau Tokyo Denryoku (Tokyo Electric Power Company) masih bekerja keras untuk membaiki reaktor nuklear itu,” katanya kepada Berita Harian melalui e-mel semalam.

Awadh Asyraf yang juga Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) adalah antara 2,465 pelajar Malaysia di Jepun ketika gempa bumi sekuat 9 pada skala Richter dan tsunami melanda timur laut Jepun itu.

Beliau yang kini berada di Tokyo berkata berdasarkan perbualan dengan rakan-rakannya di Iwate, kebanyakan dari mereka pulang ke rumah atau penginapan masing-masing dari pusat pemindahan sementara, sejak Sabtu lalu, dengan bekalan elektrik, air, internet dan gas disalurkan seperti biasa.

Sementara itu, pelajar Universiti Tohoku, Shazree Zaini berkata warga Malaysia di Sendai selamat dan ketika ini berlindung di sekolah rendah di kawasan berdekatan dengan kediaman komuniti Malaysia dan Kolej Sendai.

“Pelajar di Sendai juga mendapat bekalan makanan dari Kedutaan Malaysia. Kebimbangan sekarang ialah keadaan reaktor nuklear di Fukushima yang kedudukannya hanyalah 100km dari Bandar Sendai,” katanya.

0 ulasan

[Tsunami di Jepun] Perjalanan ke enam wilayah terjejas teruk menggerunkan

Berita Harian Online|Perjalanan ke enam wilayah terjejas teruk menggerunkan
Laporan R Magendran di Tokyo
bhnews@bharian.com.my
2011/03/16

image

LALUAN dari Sendai ke Fukushima ditutup hanya dilalui trak tentera, polis dan penyelamat saja.


FUKUSHIMA: Perjalanan enam wartawan kumpulan Media Prima ke kawasan dilanda tsunami di Timur Laut Jepun ibarat telur di hujung tanduk kerana Lebuh Raya Tohoku ke enam wilayah terjejas teruk itu sudah ditutup dan hanya kenderaan berpelekat khas keluaran Polis Metropolitan Tokyo dibenar menggunakan laluan berkenaan.

Iwate, Miyagi, Fukushima dan Ibaraki di timur laut Jepun yang secara keseluruhannya dikenali sebagai Tohoku adalah kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.

Kedutaan Besar Malaysia di Jepun membantu mendapatkan pelekat khas bagi penulis, wartawan New Straits Times, Harian Metro, TV3, jurugambar New Straits Times Press (NSTP) dan jurukamera TV3 bagi menggunakan Lebuh Raya Tohoku, yang menjadi laluan utama ke kawasan berkenaan.

Rasa cemas mula menyelubungi kami apabila laporan berita terkini menyatakan kerosakan di loji nuklear Fukushima Daiichi semakin teruk dan ada kemungkinan zon larangan 30 kilometer diperluaskan dan semua laluan keluar masuk ditutup sama sekali.

Setakat jam 9.10 malam tadi (8.10 malam waktu tempatan), kerosakan loji pertama dan ketiga dilapor mengalami kebocoran serius. Sementara itu, di loji kedua dan keempat dilaporkan berlaku letupan manakala loji lima dan enam sudah menunjukkan tanda-tanda bermasalah.

Perjalanan meredah jalan kampung sejauh 15 kilometer dalam keadaan gelap dan suhu mencecah -1 darjah Celcius sebelum sampai ke Fukushima cukup memenatkan pemandu kami, Kaneo Hayakawa, 63, dan kami sepakat berbahaya untuk pulang ke Tokyo serta-merta kerana salji sudah mula turun dan semakin lebat.

Sepanjang perjalanan 330 kilometer dari Tokyo yang memakan masa hampir lapan jam itu agak menggerunkan kerana kami tidak berselisih dengan sebarang kenderaan lain kecuali trak tentera, polis atau penyelamat yang dikerah untuk operasi pemindahan, manakala bahagian tertentu lebuh raya yang rosak akibat gempa bumi Jumaat lalu masih jelas kelihatan.

Dari segi bekalan makanan pula, hampir semua rak makanan kedai di Tokyo hampir kosong, terutama di kedai menjual roti, kerana semuanya dikumpul untuk dihantar kepada mangsa bencana, termasuk bekalan air bersih dan minuman lain.

Bekalan air paip, elektrik serta komunikasi masih belum pulih sepenuhnya dan keadaan cuaca yang bertambah buruk dengan salji semakin lebat dijangka menyukarkan lagi kehidupan mangsa di pusat perlindungan sementara selain membantutkan kerja pembersihan.

Ketika meninggalkan Tokyo kira-kira jam 2.30 petang semalam, kerosakan di loji nuklear Fukushima Daiichi dilaporkan agak teruk, tetapi tidak terlalu serius, tetapi satu lagi letupan pada lewat petang semalam mengakibatkan penduduk setempat cemas.

Walaupun media asing melaporkan tahap radiasi sudah 400 kali ganda melepasi kadar normal dan menasihatkan orang ramai jangan meninggalkan rumah, tiada sebarang amaran seumpamanya dikeluarkan secara rasmi oleh kerajaan Jepun yang memantau rapi kejadian itu.

Malah, Kedutaan Besar Malaysia di Jepun juga mengesahkan tiada amaran rasmi seumpamanya dikeluarkan dan van yang dinaiki penulis bersama rakan wartawan lain hanya perlu melepasi satu sekatan jalan 15 kilometer sebelum sampai di hotel tempat menginap iaitu Bonari Hotel di pekan Inawashiro, Fukushima.

Hotel itu terletak kira-kira 100 kilometer dari loji nuklear Fukushima Daiichi, iaitu bersempadan dengan kawasan yang diisytiharkan sebagai zon larangan dan setakat jam 8.30 petang (7.30 petang) semalam, tiada arahan berpindah atau meninggalkan kawasan itu dikeluarkan, malah, ada beberapa rakyat tempatan turut menginap di hotel tempat kami tinggal, yang juga antara pusat peranginan musim sejuk terkemuka di negara itu.

0 ulasan

[Tsunami di Jepun] 'Jepun tak jamin selamat'

Berita Harian Online|'Jepun tak jamin selamat'
Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my
2011/03/16

image

MASAHIKO sebak pada sidang media di pejabatnya, semalam.

Tokyo tolak bantuan bimbang keselamatan sukarelawan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Jepun terpaksa menolak permintaan negara luar untuk menghulurkan bantuan kerana Tokyo bimbang mereka tidak mampu memberi jaminan keselamatan ke atas pasukan sukarelawan yang tiba di sana.

Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie, berkata keadaan di sana amat kelam kabut dan semua pihak berhempas pulas untuk menangani masalah bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin serta meminimumkan kerosakan berlaku.

“Secara baik kami ingin menyatakan, bahawa kami belum bersedia untuk menerima sukarelawan. Perlu dijelaskan kami amat terharu dengan segala ucapan takziah dan simpati yang dihulurkan.

“Semua rakyat Jepun faham betapa rakyat Malaysia turut sama bersedih dan sentiasa menyokong mereka,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam selepas menerima kunjungan hormat Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Masahiko yang kelihatan sebak ketika menjelaskan situasi terkini di negaranya itu, berkata pasukan menyelamat menemui banyak mayat yang masih tidak dikenali selain terpaksa memindah dan menempatkan hampir setengah juta rakyat ke pusat perlindungan seperti dewan dan sekolah.

“Bekalan elektrik pula terputus selain kekurangan bahan makanan, minuman dan barang keperluan lain yang menjejaskan mangsa terutama golongan berusia, selain faktor cuaca terlalu sejuk.

“Kami harus memberi semangat kepada mereka untuk tabah, bukan saja kepada penduduk Jepun tapi semua penduduk asing yang terbabit, tambahan pula stesen tenaga nuklear turut terjejas yang menarik perhatian penduduk dan masyarakat dunia,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata Malaysia bersedia menawarkan bantuan kepada Jepun dengan bantuan pertama dihantar menerusi pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke negara itu bila-bila masa.

“Kalau ada apa-apa perkara yang dirasakan sesuai untuk kita membantu mereka, saya akan sampaikan kepada pihak berwajib di Malaysia...apa yang dirasakan perlu...dan setakat ini Malaysia sudah menghantar pasukan Smart,” katanya.

0 ulasan

[Tsunami di Jepun] Tahap radiasi Tokyo tinggi

Berita Harian Online|Tahap radiasi Tokyo tinggi

2011/03/16

image

MANGSA tsunami, gempa mengambil hidangan tengah hari di pusat perlindungan Ofunato, Iwate.

image

SEBILANGAN mangsa terselamat di pusat perlindungan di Minamisanriku, melakukan senaman.

Sebuah lagi reaktor ketiga di Fukushima Daiichi meletup

TOKYO: Krisis nuklear Jepun semakin meruncing semalam apabila satu lagi letupan hidrogen berlaku ke atas sebuah reaktor ketiga di Fukushima Daiichi yang mengeluarkan radiasi ke udara sehingga merebak ke Tokyo, kira-kira 170 kilometer di selatan loji yang lumpuh akibat gempa bumi mega minggu lalu itu.

Tahap radiasi 20 kali di atas paras biasa di Tokyo pagi semalam, tetapi kerajaan tempatan berkata, tahap itu masih tidak memberi risiko kesihatan kepada manusia.

Perdana Menteri Naoto Kan, merayu penduduk negara itu tidak panik, tetapi memberi amaran wujud risiko tinggi pembocoran selanjutnya akan berlaku.

Bagaimanapun, arah angin mungkin menjadi penyelamat berikutan tiupan kini membawa radiasi itu menuju ke Lautan Pasifik dan tidak ke kawasan padat penduduk di Jepun dan negara Asia lain.

Letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi semalam adalah ketiga dalam empat hari – menjadikan krisis itu terburuk sejak bencana di reaktor nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986.

Walaupun berdepan risiko pendedahan radiasi, jurutera di loji Fukushima Daiichi yang berusia 40 tahun itu, berkerja keras untuk menyejukkan reaktor nombor dua yang rosak teruk dengan mengepam masuk air laut ke dalamnya.

Kebanyakan daripada 800 pekerja di loji itu sudah dipindahkan ke tempat lebih selamat dengan hanya 50 pekerja ditinggalkan untuk menangani krisis berkenaan.

Selepas mesyuarat Kabinet tergempar semalam, Kan memberitahu penduduk dalam lingkungan 20 kilometer dari loji Fukushima Daiichi agar tidak keluar dari rumah, menutup tingkap dan tidak menggunakan pendingin udara.

“Walaupun insiden itu amat membimbangkan, saya merayu penduduk supaya tenang,” kata Kan pada sidang akhbar disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan.

Rayuan beliau disambut baik penduduk dengan tidak ada tanda suasana panik di negara yang pernah mengalami serangan radiasi di Hiroshima dan Nagasaki yang menamatkan Perang Dunia Kedua.

Ketua bahagian pengurangan risiko Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), Maryam Golnaraghi, berkata arah angin semasa meniup bahan radioaktif dari loji Fukushima Daiichi ke arah Lautan Pasifik dan tidak kawasan padat penduduk, namun arah angin itu mungkin berubah.

Sementara itu, beribu-ribu mangsa dipercayai terperangkap dan masih menunggu bantuan dengan kira-kira 1,300 orang ditemui berlindung di pulau Oshima, wilayah Miyagi semalam.

Kira-kira 7,000 hingga 8,000 orang yang berlindung di sekolah juga dikesan masih tidak mendapat bantuan.

Gabenor Miyagi, Yoshihiro Murai memberitahu sidang akhbar kebanyakan hospital menghadapi masalah kekurangan ubat, manakala peningkatan mendadak jumlah mayat yang ditemui menyebabkan rumah mayat sesak.

Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana berkata jumlah bangunan yang musnah sepenuh atau sebahagiannya mencecah 72,945 semalam. – Reuters/Agensi

0 ulasan

[Tsunami di Jepun] Radiasi merebak

Berita Harian Online|Radiasi merebak

2011/03/16

image

SEORANG bayi menjalani pemeriksaan selepas peningkatan pencemaran radiasi di Fukushima, semalam.

  • Satu lagi letupan reaktor ketiga Fukushima Daiichi
  • Tahap radiasi 20 kali di atas paras biasa di Tokyo pagi semalam
  • Perdana Menteri beri amaran wujud risiko tinggi pembocoran selanjutnya akan berlaku
  • Krisis terburuk sejak bencana reaktor nuklear Chernobyl Ukraine pada 1986
  • Tahap radiasi Tokyo tinggi
  • 'Jepun tak jamin selamat'
  • Malaysia belum dapat kebenaran hantar pasukan SMART
  • Perjalanan keenam wilayah terjejas teruk menggerunkan
  • Pelajar kita di Jepun bimbang keselamatan
  • Rakyat minta kerajaan serius tangani krisis
  • Peristiwa perang dunia berulang
  • 2 letupan baru di loji nuklear Fukushima
  • Siap sedia hadapi ancaman nuklear
0 ulasan

[Tsunami di Jepun] Jepun ada 48 jam elak 'Chernobyl baru'

Berita Harian Online|Jepun ada 48 jam elak 'Chernobyl baru'

2011/03/18

image

HELIKOPTER tentera Jepun membawa air laut untuk dijirus ke reaktor nuklear Fukushima bagi menyejukkannya, semalam.

image

Loji nuklear boleh meletup menyebabkan tragedi lebih besar apabila paras radiasi meningkat

TOKYO: Jepun ada masa 48 jam untuk mengawal dengan segera krisis nuklearnya sebelum ia berdepan satu malapetaka 'lebih buruk berbanding Chernobyl'.

Jepun bergegas untuk mengelak kebakaran lebih teruk loji nuklearnya yang melepaskan radiasi pada tahap 809 mikrosievert sejam (unit radiasi) minggu ini.

Ada cubaan untuk menyejukkan kawasan itu dengan menjirus air laut dari helikopter dibatalkan kerana paras radiasi berbahaya di persekitaran bahagian atas loji.

Bacaan radiasi dekat bangunan itu mencapai 4,000 mikrosievert sejam ketika usaha itu dilakukan awal semalam.

Pihak berkuasa keselamatan nuklear di Perancis, berkata mereka pesimis sama ada jurutera Jepun dapat menghalang kebakaran teruk di loji jana kuasa Fukushima selepas satu kolam mengandungi batang besi bahan api nuklear berkeadaan terlalu panas dan mendidih dalam keadaan kering.

Thierry Charles, seorang pegawai keselamatan di Institut Keselamatan Nuklear dan Perlindungan Radiologi Perancis (IRSN), berkata: “Tempoh 48 jam berikutnya akan menjadi penentu. Saya amat pesimis kerana sejak Ahad lalu, saya lihat hampir tiada satu pun penyelesaian berkesan.”

Ditanya mengenai jumlah maksimum pembebasan radioaktif, beliau berkata: “Ia mungkin dalam kadar sama seperti Chernobyl.”

Insiden di loji jana kuasa nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986 menyebabkan 57 kematian langsung, dengan tambahan 4,000 kematian akibat kanser.

Paras radiasi dalam bangunan yang dilanda bahaya itu malam tadi dikatakan amat tinggi selepas digegarkan dengan letupan awal, bermakna radiasi mungkin sudah berada dalam atmosfera.

Tokyo Electric, pemilik loji terbabit, berkata lima pekerjanya terkorban di tempat kejadian, dua lagi masih hilang dan 21 cedera.

Malam kelmarin, seorang ketua keselamatan nuklear Amerika, berkata kerajaan Jepun gagal mengakui tahap bahaya penuh situasi di loji Fukushima manakala amaran kepada rakyatnya tidak mencukupi dan tidak jelas.

Gregory Jaczko, pengerusi Suruhanjaya Kawal Selia Nuklear Amerika, memberi amaran, jika paras radiasi ‘amat tinggi’ adalah mustahil untuk kakitangan membuat pembetulan di loji mengambil kira ‘dos’ yang mereka mungkin alami berpotensi membawa maut dalam jangka pendek.

Jabatan Negara Amerika pula menyatakan, kerajaan menyewa sebuah pesawat untuk membawa warga Amerika keluar dari Jepun dan mengarahkan ahli keluarga petugas diplomatik pulang dari Nagoya dan Yokohama, membabitkan 600 orang.

Pihak berkuasa kesihatan di beberapa negara mula gusar dengan sebarang kemungkinan seseorang dijangkiti radiasi dengan bertindak melancarkan pemeriksaan terhadap orang ramai, penumpang pesawat dan bot.

Ada laporan dari Korea Selatan dan Taiwan menyatakan pelancong yang tiba dari Jepun didapati ada sedikit tahap radiasi. – Agensi

0 ulasan

[Tsunami di Jepun] 'Tak perlu ambil pil Pottasium Iodide'

Berita Harian Online|'Tak perlu ambil pil Pottasium Iodide'

2011/03/18
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan melarang rakyat di negara ini mengambil pil Pottasium Iodide disebabkan terpengaruh dengan khabar angin bahawa Malaysia terdedah kepada radiasi selepas pelepasan radioaktif dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami di Jepun, 11 Mac lalu.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, rakyat dinasihatkan tidak panik dengan khabar angin berkenaan kerana sehingga kini Malaysia disahkan selamat.

"Rakyat jangan panik dengan khabar angin itu. Saya juga minta mereka supaya jangan membuat keputusan sendiri dengan mengambil pil Pottasium Iodide terutama wanita mengandung tanpa nasihat doktor," katanya di lobi Parlimen di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai kebimbangan rakyat Amerika Syarikat yang mula panik dengan membeli pil Pottasium Iodide kerana bimbang terdedah kepada radiasi yang boleh membawa penyakit barah.

Tiong Lai berkata, pengambilan pil Pottasium Iodide bukan satu-satunya langkah penyelesaian tetapi banyak lagi yang boleh dilakukan untuk melindungi kesihatan sekiranya radiasi terus meningkat.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Jepun selain mendapatkan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung langkah pencegahan melindungi kesihatan rakyat di negara ini.

Katanya, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Nuklear Malaysia akan terus memantau situasi di Jepun bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat dan terkini.

FAKTA: Pottasium Iodide
Sejenis dadah tanpa preskripsi digunakan bagi melindungi tiroid daripada terdedah tahap radiasi tinggi.
Tidak boleh melindungi anggota tubuh badan lain.
Boleh merosakkan tubuh yang alahan kepada iodin.
Kesan sampingan lain termasuk boleh menyebabkan rasa loya, mual, ketidakselesaan perut, kegatalan, melecur 
dan bertindak balas terhadap alahan.

0 ulasan

[Tsunami di Jepun] Malaysia alami kesan minimum radioaktif

Berita Harian Online|Malaysia alami kesan minimum radioaktif

2011/03/18
KUALA LUMPUR: Malaysia hanya mengalami kesan minimum radioaktif jika perubahan angin dan cuaca menolak sisa berkenaan ke rantau ini, tetapi tidak mendatangkan mudarat kepada penduduk negara ini.

Pakar nuklear, Prof Datuk Dr Sukiman Sarman, berkata kesan radiasi yang bocor di loji Fukushima Daiichi di Jepun itu hanya pada tahap saki baki serta tidak akan sampai ke ruang udara Malaysia yang jaraknya kira-kira 6,000 kilometer dari tapak loji berkenaan.

“Berdasarkan pemantauan, sisa radioaktif tidak sampai ke Malaysia kerana keadaan semasa dan perubahan cuaca. Pada masa sama arah angin bertiup ke utara dan timur laut di negara itu. Walaupun arah angin berubah ke Malaysia, sisa radioaktif terpaksa menempuh hujan dan laut lepas menyebabkan sisa berbahaya seperti Caesium-137 serta Strontium-90, jatuh ke laut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Pensyarah Program Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata debu radioaktif yang tinggi hanya mencemari kawasan di lingkungan tiga kilometer daripada loji untuk tempoh beberapa hari kerana mempunyai jangka hayat pendek antara beberapa saat ke beberapa jam dan tidak membahayakan kawasan yang jauh daripada kawasan tragedi seperti Malaysia.

Sementara itu, Pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di enam lokasi seluruh negara semalam, menunjukkan kadar dedahan sinaran di Malaysia pada paras normal iaitu di antara 0.024 hingga 0.175 uSv/jam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata mekanisme pengawal masuk bahan radioaktif sama ada melalui kargo atau manusia melalui Sistem Pemonitoran Portal (RPM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang beroperasi seperti biasa.

“Sistem RPM dipasang sejak 2009 dan tiada kadar dedahan melebihi paras normal dikesan sehingga tarikh ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Untuk maklumat teknikal layari laman web IAEA www.iaea.org atau hubungi Hotline 1800-88-7999

0 ulasan

[Tsunami di Jepun] Pergerakan radioaktif rentasi Lautan Pasifik

Berita Harian Online|Pergerakan radioaktif rentasi Lautan Pasifik

2011/03/18

image

ANGGOTA keselamatan Jepun menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa dan tsunami di Sendai, semalam.

Radiasi tahap rendah dijangka tiba di AS hari ini, Lautan Atlantik hingga Eropah turut terima kesan

VIENNA: Pergerakan bahan radioaktif tahap rendah dari reaktor nuklear Jepun yang rosak akibat gempa dan tsunami minggu lalu kini merentasi Lautan Pasifik dan dijangka tiba di Amerika Syarikat hari ini serta mungkin menyeberangi Lautan Atlantik hingga Eropah.

Pertubuhan Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear Menyeluruh (CTBTO) dan pakar nuklear menjangka bahan radioaktif itu tiba lewat hari ini di selatan California dan meneruskan pergerakan menuju barat daya Amerika termasuk Nevada, Utah dan Arizona.

Namun, pakar berkenaan yang dipetik akhbar New York Times (NYT) berkata, bahan radiasi semakin terhakis dan lemah sepanjang perjalanannya di Pasifik menyebabkannya tidak mengancam kesihatan manusia.

Agensi berkenaan yang mempunyai 60 stesen pemantau di seluruh dunia tidak mendedahkan tahap pencemaran radioaktif berkenaan tetapi ia dijangka tidak memberi masalah kesihatan yang serius.

Stesen pemantau CTBTO berupaya menilai naik turun bahan radiasi di udara selain menggunakan jangkaan kaji cuaca serta komputer untuk merangka pergerakan radiasi mengikut arah angin. Agensi berkenaan membuat jangkaan bahan radioaktif loji nuklear Jepun itu dilepaskan secara berterusan hingga membentuk kepulan seperti asap.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Pertahanan Sweden, Lars-Erik De Geer, meramalkan bahan radiasi boleh tiba di Eropah dan dikesan di seluruh hemisfera utara,

“Tahap pencemaran radioaktif rendah, jadi orang ramai tidak perlu risau. Ia tidak mengancam nyawa,” katanya ketika dihubungi di Stockholm.

Satu laporan lagi menyatakan loji nuklear Jepun direka untuk mampu bertahan daripada gempa bumi pada tahap tujuh magnitud.

Sementara itu, di Tokyo, helikopter tentera Jepun menjirus 30 tan air bagi menyejukkan loji nuklear Fukushima yang terlalu panas dikhuatiri boleh meletup. Loji itu terletak 240 kilometer ke utara ibu negara Jepun.

Jurutera loji nuklear itu juga cuba menggunakan tenaga daripada sistem kabel elektrik untuk mengepam air yang diperlukan untuk menyejukkan dua reaktor dan batang bahan bakar yang dianggap sebagai berisiko besar melepaskan radioaktif ke udara.

Tahap radiasi yang tinggi kelmarin menghalang helikopter menjatuhkan air ke reaktor nombor tiga tetapi cubaan terbaru berjaya dengan dua daripada empat air dijatuhkan mengenai sasaran.

Pengendali loji menerangkan reaktor Unit 3 paling bahaya kerana ia adalah satu-satunya rektor menggunakan plutonium, bahan yang boleh menyebabkan barah walaupun terkena sedikit.

Imej terbaru loji nuklear berkenaan menunjukkan kerosakan teruk pada beberapa bangunan selepas empat letupan dengan dua bangunan tinggal besi dan konkrit. – Agensi

0 ulasan

[Tsunami di Jepun] Dewan lulus usul takziah kepada Jepun

Berita Harian Online|Dewan lulus usul takziah kepada Jepun
Oleh Nazura Ngah, Norakmah Mat Youb dan Zanariah Abd Mutalib
bhnews@bharian.com.my
2011/03/18

image

NAJIB dan Muhyiddin bersama Ahli Parlimen bertafakur mengenang mangsa gempa dan tsunami Jepun pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, semalam.
Ahli Parlimen tafakur simpati mangsa gempa, tsunami

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan usul mengucapkan takziah dan dan menzahirkan simpati yang sangat mendalam kepada kerajaan Jepun dan mangsa tragedi gempa bumi serta tsunami di timur laut Jepun pada 11 Mac lalu.

Ahli Parlimen dan persidangan juga bertafakur seminit sebagai mengingati tragedi yang mengorbankan banyak nyawa dan menyebabkan kemusnahan teruk negara Matahari Terbit itu.

Usul yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3) diluluskan sebulat suara selepas sesi penggulungan perbahasan oleh Menteri Luar, Datuk Anifah Aman.

Sebelum itu Dewan mendengar perbahasan sembilan Ahli Parlimen masing-masing tiga daripada Barisan Nasional (BN), pembangkang dan wakil Bebas.

Mereka ialah Datuk Dr S Subramaniam (BN-Segamat), Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) dan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), Tian Chua (PKR-Batu), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) dan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).

Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku di Jepun adalah sesuatu yang amat menyedihkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa terutama negara Asia.

Sebagai negara yang akrab dengan Jepun, Malaysia turut merasakan beban yang terpaksa ditanggung rakyat negara itu.

“Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Adalah wajar jika Malaysia menawarkan dan menghulurkan apa juga bentuk bantuan yang termampu oleh negara kita. Marilah kita berdoa supaya kerajaan dan rakyat Jepun dilindungi daripada gempa bumi dan tsunami serta membangunkan semula akibat bencana itu,” katanya.

Sehubungan itu Perdana Menteri meminta semua Ahli Parlimen bersama, sepakat dan seia sekata menyampaikan rasa simpati dan ucapan takziah yang amat dalam kepada kerajaan dan rakyat Jepun.

Perdana Menteri berkata, mengikut rekod Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, ada 5,009 rakyat Malaysia berdaftar dengan kedutaan dan 2,465 ialah pelajar. Seramai 298 pelajar kita berada di kawasan yang terjejas teruk akibat gempa dan tsunami dan dilaporkan selamat.

Beliau turut mencadangkan Dewan merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Jepun atas segala bantuan yang diberi kepada rakyat Malaysia, terutama pelajar Malaysia yang terjejas oleh malapetaka itu.

“Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo mengambil langkah awal seperti menghantar dua pasukan memantau dan meninjau keadaan rakyat serta pelajar Malaysia yang dipindahkan ke pusat pemindahan. Hasil tinjauan mendapati mereka dalam keadaan baik, menerima bekalan makanan dan minuman mencukupi,” katanya.

Perdana Menteri turut meminta rakyat dan masyarakat antarabangsa terus menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Jepun.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyokong usul berkenaan, berkata ia memberikan gambaran sangat jelas mengenai pendirian Malaysia yang mempunyai hubungan akrab dengan Jepun.

Beliau meminta rakyat bertenang dan tidak mempercayai SMS yang kononnya Malaysia juga terdedah kepada bahaya kesan kebocoran radiasi akibat letupan loji reaktor nuklear.

0 ulasan

[Tsunami di Jepun] Radiasi ke AS, Eropah

Berita Harian Online|Radiasi ke AS, Eropah

2011/03/18

image

LAKARAN pergerakan arah angin membawa radioaktif dari reaktor nuklear Jepun yang lumpuh akan semakin berkurangan ketika merentasi Lautan Pasifik dan tidak dijangka memberi masalah kesihatan serius di Amerika Syarikat lapor akhbar The New York Times.

HELIKOPTER tentera melepaskan air laut untuk menyejukkan reaktor nuklear Fukushima Daiichi, semalam.

http://www.bharian.com.my/articles/RadiasikeAS_Eropah/Article/


Dewan lulus usul takziah kepada Jepun
Pergerakan radioaktif rentasi Lautan Pasifik
Malaysia alami kesan minimum radioaktif
'Tak perlu ambil pil PottasiumIodide'
Kerajaan sedia tanggung kos bawa pulang rakyat kita
Jepun ada 48 jam elak 'Chernobyl baru'

0 ulasan

Rabu, 2 Februari 2011

Berita Harian Online | Bisnes Dunia: Harga minyak, emas naik kesan geopolitik di Mesir

Bisnes Dunia: Harga minyak, emas naik kesan geopolitik di Mesir


2011/02/01
Pelabur bimbang berikutan tunjuk perasaan meruncing

KETEGANGAN di Mesir yang bermula awal minggu lalu menyaksikan harga dua komoditi utama dunia iaitu minyak mentah dan emas, meningkat dengan ketara susulan tercetus kebimbangan pelabur terhadap kedudukan geopolitik negara itu.

Kontrak minyak mentah bermutu tinggi di pasaran komoditi New York, ‘Light Sweet’ bagi penghantaran Mac naik 74 sen kepada AS$90.09 setong ketika didagangkan pasaran hadapan elektronik Asia petang semalam.
Pada Jumaat lalu, ia melonjak 4.3 peratus kepada AS$89.34 setong.

Peningkatan itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan di NYMEX sejak September 2009 sama ada dari segi peratusan mahupun nilai dolar Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, emas pula melonjak mencecah AS$1,340.70 satu auns susulan populariti logam berharga itu di kalangan pelabur ketika berlakunya krisis ekonomi dan politik global.

Emas dianggap sebagai instrumen pelaburan yang selamat dalam melindung nilai pelaburan di tengah-tengah krisis politik di negara Asia Barat.
Penganalisis Ekonomi Kanan ANZ bank di Wellington, Sharon Zollner yang dipetik Dow Jones, berkata pelabur semakin bimbang protes penunjuk perasaan di Mesir, yang kini dilaporkan semakin meruncing, berkemungkinan akan melarat ke beberapa negara Asia Barat lain, termasuk Arab Saudi.

“Kebimbangan utama ketika ini adalah kemungkinan protes penunjuk perasaan di Mesir melarat ke Arab Saudi dan jika ia menjadi kenyataan, segala urus niaga termasuk penghantaran minyak akan tergendala,” katanya pada agensi berita itu semalam.

Menurut Joint Oil Data Initiative, iaitu organisasi perangkaan negara pengeluar utama minyak mentah dunia, menyatakan Mesir, negara ke-21 pengeluar minyak terbesar dunia, mengeluarkan kira-kira 673,000 tong minyak sehari.

Namun, yang paling dirisaukan, Mesir adalah hab kepada rangkaian perhubungan pembekalan minyak utama dunia di mana letaknya Terusan Suez dan sebuah saluran paip sepanjang 200 batu yang dikenali sebagai saluran Sumed.

Terusan Suez berfungsi sebagai transit utama kepada semua aktiviti penghantaran minyak dan bahan api dunia yang menghubungkan antara Teluk Parsi ke hemisfera barat, manakala saluran Sumed berfungsi sebagai transit alternatif kepada Terusan Suez.

Perangkaan Pentadbiran Maklumat Tenaga AS pula menyatakan, kira-kira 1.8 juta tong minyak mentah dan produk bertapis berasaskan minyak mentah lain, dihantar menerusi Terusan Suez pada 2009.


Saluran Sumed pula pada tempoh itu mengangkut sebanyak 1.1 juta tong minyak sehari. – Agensi


Berita Harian Online | Bisnes Dunia: Harga minyak, emas naik kesan geopolitik di Mesir
0 ulasan

Selasa, 28 Disember 2010

Berita Harian Online | Usaha perketat kawalan internet

2010/12/19

image

ASSANGE mengulas kesnya kepada media di Ellingham Hall, timur England, semalam.
Anggota PBB buat syor kes WikiLeaks

NEW YORK: Anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencadangkan pembentukan sebuah badan kerja antara kerajaan bagi menyelaras usaha global mengawal internet khususnya berkaitan dengan langkah menghadapi cabaran tertentu termasuk WikiLeaks.
Langkah itu mendapat sokongan beberapa negara termasuk India, Afrika Selatan, China, Arab Saudi dan Brazil.
Anehnya, Australia, Amerika Syarikat, Britain, Belgium dan Kanada serta wakil perniagaan serta masyarakat menganggapnya berisiko menyebabkan badan baru itu bergerak sendirian.
Perbahasan mengenai penubuhan badan baru itu adalah berasaskan resolusi 2010/2 pada 19 Julai lalu di Majlis Sosial dan Ekonomi PBB.
Resolusi itu menjemput Setiausaha Agung PBB ‘mengadakan mesyuarat terbuka membabitkan semua negara anggota bagi membantu proses mempertingkat kerjasama membolehkan kerajaan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab berkaitan dasar awam antarabangsa mengenai internet, bukan isu operasi dan teknikal isu berkenaan.’
Sebahagian besar perbahasan tertumpu kepada peningkatan kerjasama dan sama ada badan baru itu perlu diwujudkan. Dalam mesyuarat di sini, mereka juga membincangkan fungsi organisasi yang sedia ada.
Sementara itu, pengasas WikiLeaks, Julian Assange, percaya Amerika berkemungkinan besar cuba mengekstradisinya atas tuduhan berkaitan kabel diplomatik yang dibocorkan.
Bercakap di luar Ellingham Hall kelmarin, iaitu sebuah rumah agam rakannya di timur England, tempat tinggalnya ketika berada dalam jaminan, Assange mengaku bimbang dengan tindakan yang mungkin diambil oleh Amerika.
“Risiko besar yang dibimbangi adalah ekstradisi ke Amerika. Ia semakin serius dan mungkin besar berlaku,” katanya kepada pemberita. Pengasas laman web pembocor maklumat rahsia berusia 39 tahun itu sedang berusaha untuk mengelak diekstradisi ke Sweden selepas dia dikehendaki untuk soal siasat mengenai dakwaan mencabul dua wanita, tuduhan yang dinafikannya.
Assange berkata, peguamnya percaya juri Amerika sudah memulakan siasatan mengenai peranannya dalam pendedahan beribu-ribu kabel diplomatik oleh WikiLeaks, sesuatu yang disifatkannya sebagai tidak sah. - Agensi

INFO

Pendedahan terbaru WikiLeaks

Presiden Sudan, Omar Hassan al-Bashir, dituduh menyimpan wang AS$9 bilion (RM27 bilion) di luar negaranya. Sudan menafikannya kerana mustahil melakukannya disebabkan sekatan ke atas negara itu. Bagaimanapun, Ketua Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Luis Moreno-Ocampo, berkata beliau sudah memulakan siasatan.

Presiden Eritrea, Isaias Afewerki bimbang Amerika akan cuba membunuhnya dengan melancarkan peluru berpandu ke kediamannya. Kabel kedutaan Amerika di Addis Ababa menyatakan pada 15 Disember bahawa bekas duta Amerika ke nmegara itu, Ronald McMullen menulis, Isaias juga percaya Perdana Menteri Habsyah, Meles Zenawi cuba membunuhnya, 14 tahun lalu.

0 ulasan

Rabu, 3 November 2010

Berita Harian Online | Wanita tak boleh jadi juruwang


Wanita tak boleh jadi juruwang


2010/11/02

Ulama Arab Saudi keluarkan fatwa

RIYADH: Majlis Ulama Arab Saudi dilaporkan meluluskan fatwa yang melarang wanita menjadi juruwang atau terbabit dalam aktiviti perniagaan kerana ia melanggar sekatan terhadap percampuran lelaki dan wanita di negara terbabit.
Anggota jawatankuasa itu berkata, mereka menjelaskan dalam keputusan berkenaan kelmarin bahawa percampuran antara jantina adalah dilarang dan wanita tidak sepatutnya bekerja di tempat mereka akan menemui lelaki.
Keputusan itu dikeluarkan selepas seorang penceramah konservatif dibidas Ogos lalu kerana melanggar sekatan kerajaan terhadap perbuatan mengeluarkan fatwa apabila menggesa orang ramai memboikot pasar raya yang mengambil wanita sebagai juruwang.

Pemimpin Arab Saudi, Raja Abdullah cuba mengurangkan ideologi terlampau konservatif sebagai usaha beliau untuk memodenkan negara terbabit. Tetapi, usahanya dicabar oleh ulama berpengaruh yang memainkan peranan penting di negara itu.

Beberapa reaksi di laman web menunjukkan umumnya penduduk awam tidak menyokong keputusan ulama berkenaan.

Seorang warga tempatan memperkenalkan diri sebagai Emad memberi ulasan sinis dengan berkata: “Keputusan itu bagus kerana tiada lagi pengemis wanita di tepi jalan, tiada lagi amah, tiada lagi kedai mengambil wanita sebagai pekerja kerana mereka akan bertemu lelaki.”
Hantar saja semua wanita ke sebuah pulau tanpa penghuni kerana mereka pasti tidak akan berjumpa lelaki, katanya lagi.

Seorang lagi pengulas, Amina menyifatkan anggota majlis berkenaan sebagai golongan ‘pelampau lelaki.’

“Di seluruh dunia khususnya di Barat, wanita boleh hidup bebas mengikut hak yang diberi tuhan kecuali di dunia Islam dan khususnya di Arab Saudi. – Agensi
“Wanita ada di mana-mana saja dan lebih baik daripada lelaki dalam pekerjaan. Mungkin itulah sebabnya mereka risau,” katanya.

Seorang lagi pengulas ialah Hazem Abussaud yang berkata: “Membuat keputusan memang mudah. Jika tokoh itu serius, mereka boleh beri wang gaji sendiri untuk wanita yang menganggur sedangkan golongan itu hanya mahu bekerja bagi mencari nafkah halal?”.

Anggota Majlis Ulama Saudi yang dilantik Raja untuk penggal empat tahun, sebelum ini pernah dikritik kerana mengeluarkan fatwa yang dianggap tidak sejajar dengan keperluan moden.

Kerajaan biasanya tidak campur tangan apabila fatwa dikeluarkan tetapi seorang anggotanya pernah digugurkan pada 2009 selepas mengkritik penubuhan universiti untuk pelajar lelaki dan wanita.

Seorang lagi ulama, Sheik Saleh al-Lihedan dipecat sebagai ketua Majlis Kehakiman Agung kerana mengeluarkan fatwa membenarkan pemilik televisyen satelit dibunuh jika menyiarkan program ‘tidak bermoral.’ - Agensi

Berita Harian Online | Wanita tak boleh jadi juruwang 0 ulasan

Berita Harian Online | Singapura bakal hasilkan nuklear


Singapura bakal hasilkan nuklear


2010/11/03

SINGAPURA: Republik ini bakal membina keupayaan menghasilkan tenaga nuklear menggunakan teknologi baru yang hanya memerlukan reaktor lebih kecil dan selamat, kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Beliau berkata, kemungkinan Singapura mendirikan sebuah reaktor nuklear tidak akan berlaku dalam jangka terdekat, namun; “ia mungkin dalam jangka hayat saya.”
Lee berkata demikian kepada delegasi tenaga tempatan dan antarabangsa di Ceramah Tenaga Singapura 2010 sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (Siew) di Suntec City kelmarin. Singapura katanya, tidak mampu menggugurkan pilihan tenaga nuklear sambil meninjau sumber tenaga alternatif lebih berkesan, bersih dan selamat.

“Kita harus bersedia menyiapkan diri untuk melakukannya. Ini akan memberi Singapura keupayaan membuat pilihan, sekiranya satu hari nanti ia keperluan dan mampu dilakukan,” katanya.

Justeru, katanya Singapura perlu menjalin hubungan dengan pakar dalam bidang itu serta melatih jurutera dan saintisnya.

Beliau akur walaupun tenaga nuklear adalah sumber tenaga bersih dan mempunyai pengeluaran karbon amat rendah, usaha memanfaatkan tenaga nuklear amat kompleks dan ialah usaha jangka panjang.
“Ada tentangan kuat daripada pergerakan hijau dan masyarakat yang pernah menyaksikan kemalangan seperti Chernobyl dan khuatir mengenai keselamatan, tetapi tanpa tenaga nuklear dunia tidak boleh maju bagi menangani pemanasan global,” katanya. – Agensi

Berita Harian Online | Singapura bakal hasilkan nuklear 0 ulasan

Berita Harian Online | Anak Krakatau pula 'mengamuk'


Anak Krakatau pula 'mengamuk'


2010/11/03

PENDUDUK dari perkampungan Sidorejo di  Klaten melihat Merapi memuntahkan asap dan abu ke udara, semalam.
PENDUDUK dari perkampungan Sidorejo di Klaten melihat Merapi memuntahkan asap dan abu ke udara, semalam.
Gunung berapi mula muntahkan batu, pasir serta abu panas beracun

JAKARTA: Selepas Gunung Merapi meletus minggu lalu, sebuah lagi gunung berapi di Indonesia, Gunung Anak Krakatau, dilaporkan semakin aktif memuntahkan batu, pasir dan abu panas beracun.
Ketua pusat pemantauan Anak Krakatau di kampung Hargo Pancuran, Andi Suhardi, berkata muntahan abu dan lahar gunung berapi yang terletak berhampiran pulau Krakatau di antara Sumatera dan Jawa kini, tujuh kali ganda lebih banyak berbanding seminggu lalu.
“Anak Krakatau biasanya mengalami gegaran antara 90 hingga 100 sehari, tetapi sejak Gunung Merapi meletus, gegarannya boleh mencapai 700 kali sehari. Kami membuat pemantauan rapi terhadap kemungkinan berlakunya letusan besar,” katanya.

Andi berkata pihaknya sudah mengeluarkan amaran kepada penduduk sekitar agar menjauhi Anak Krakatau pada jarak sekurang-kurangnya beberapa kilometer.

“Kami juga menasihatkan nelayan agar tidak menghampiri perairan di sekitar anak Krakatau pada jarak tiga kilometer. Asap tebal yang dikeluarkan Krakatau mengandungi bahan toksik yang berbahaya untuk kesihatan,” katanya.

Walaupun gegaran Gunung Anak Krakatau meningkatkan selepas letusan Merapi, pakar gunung berapi mendakwa kedua-dua gunung tidak mempunyai kaitan.
“Tidak wujud hubungan antara Merapi dan Anak Krakatau kerana kedua-duanya mempunyai poket magma yang berasingan,” kata ketua pasukan pemerhati gunung berapi di Bandung, Agus Budiyanto.

Sementara itu, Gunung Merapi tidak menunjukkan tanda lemah sebaliknya terus mengeluarkan kepulan asap hitam dengan lahar berapi.

Saintis memberi amaran walaupun ia kelihatan perlahan tetapi letusan boleh berterusan hingga berminggu seperti satu ‘maraton’ dan bukannya satu ‘pecutan’.

Aktiviti berkenaan turut diiringi dengan aktifnya 21 gunung berapi lain di Indonesia, dua kali ganda daripada senarai yang biasanya dipantau kerajaan yang menimbulkan persoalan mengenai punca yang menyebabkan berlakunya aktiviti di lingkaran paling aktif dunia itu.

Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian letupan terbaru Merapi yang dihadapi Indonesia ketika negara itu turut dilanda tsunami berikutan gempa bumi yang memusnahkan kawasan di wilayah terpencil negara itu.

Dua bencana alam yang berlaku di kawasan berasingan negara itu meragut hampir 470 nyawa. – Agensi/AP

Berita Harian Online | Anak Krakatau pula 'mengamuk' 0 ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...