Memaparkan catatan dengan label Bahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa. Papar semua catatan

Rabu, 30 November 2011

Perkhidmatan penterjemahan daripada Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia [English to Bahasa Malaysia translator]

Adakah pihak DBP menyediakan perkhidmatan penterjemahan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia?

Berapakah kadar bayarannya dan tempoh masa yang diperlukan?

Perkhidmatan penterjemah boleh didapati daripada Persatuan Penterjemah Malaysia. Sila hubungi talian : 03-21424381 (Persatuan Penterjemah Malaysia) untuk maklumat lanjut.

1 ulasan

Apa itu Anjakan Paradigma

Anjakan – Hasil menganjak, peralihan.

Paradigma – Merujuk kepada makna lingkungan atau batasan pemikiran (seseorang atau sesuatu organisasi) pada sesuatu masa yang dipengaruhi oleh pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan kesedaran yang ada.

Anjakan Paradigma – Peralihan paradigma (pemikiran/pengetahuan/kemahiran) daripada satu lingkungan atau batasan kepada sesuatu yang baru (biasanya kepada yang lebih baik).
• Setiap orang seharusnya melakukan anjakan paradigma untuk meningkatkan kualiti diri.

(Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka)

0 ulasan

`DI’, `DALAM’ DAN `DI DALAM’, BAGAIMANAKAH CARA PENGGUNAANNYA YANG BETUL [Dewan Bahasa dan Pustaka]

Kata sendi `di’ digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama
yang menunjukkan tempat
.

Kata sendi ‘dalam’ pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang
membawa pengertian `lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak’

(seperti perkara, peristiwa hal, urusan, bahasa, bidang, masyarakat dan
sebagainya).

Rujuk pautan http://appw05.dbp.gov.my/dokumen/ke%20arah%20bahasa%20melayu%20berkesan.pdf

0 ulasan

`ADALAH’ ATAU `IALAH’ DIMANAKAH SILAPNYA [Dewan Bahasa dan Pustaka]

Penggunaan `adalah’ hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama seperti untuk, pada, dalam, daripada, dengan dan sebagainya. Manakala `ialah’ pula hanya digunakan di hadapan perkataan atau rangkai kata yang berupa kata nama atau frasa nama, yakni perkataan atau rangkai kata yang menyatakan nama sesuatu benda, keadaan, pekerjaan, konsep dan sebagainya.

Rujuk pautan http://appw05.dbp.gov.my/dokumen/ke%20arah%20bahasa%20melayu%20berkesan.pdf

0 ulasan

Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Bahasa Melayu

Rujuk pautan http://www.dbp.gov.my/khidmatsms.pdf

0 ulasan

Ahad, 8 Mei 2011

Siapa pula yang betul? <orang Malaysia tidak pandai berbahasa Malaysia, di mana identiti Negara Malaysia??>

Siapa pula yang betul?
Sinar Harian 11 April 2011

Menyambung bicara saya sebelum ini bertajuk akhbar mana yang betul? Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz berkata percakapannya semasa sesi temuramah dengan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini telah disalah tafsir oleh wartawan berkenaan sehingga menyinggung perasaan parti komponen dalam Barisan Nasional.

Akhbar Cina melaporkan, Nazri menyifatkan MCA ibarat isteri yang asyik mengadu kepada orang luar akan perlakuan suaminya yang menganiayanya seperti penderaan seks, tidak memberi nafkah tetapi menolak untuk bercerai. Nazri juga dilaporkan berkata supaya MCA tidak bertindak seperti hero orang Cina melalui tindakannya mengkritik Umno. Pemimpin MCA tidak kurang hebatnya dengan skandal seksnya yang akan menyebab wanita tidak mengundi MCA.

Menurut versi MCA yang percaya kepada akhbar tersebut, Nazri dikatakan mencabar MCA untuk keluar daripada BN jika tidak bersetuju dengan dasar Umno daripada mencabar, dan mendesak Umno saban kali.

Nazri mengatakan pemberita tersebut tidak faham konteks yang dimaksudkan. Nazri berkata laporan berkenaan berpunca daripada salah tafsiran dan kemungkinan wartawan akhbar terbabit tidak begitu memahami Bahasa Melayu.

Saya tidak bertujuan menyebelahi Nazri, tetapi saya yakin kekeliruan ini disebabkan oleh soal bahasa dan bunga-bunga bahasa. Sama juga isu novel Interlok, agak sukar juga untuk difahami sepenuhnya jika tidak berlatar belakangkan bidang sastera. Dengan sebab itu, bidang kepakaran amat penting. Termasuk juga wartawan dan kefasihan berbahasa.

Subjek sastera kadang kala lebih susah daripada subjek sains kerana jawapannya subjektif. Dengan sebab itu, agak sukar sikit untuk pelajar sastera skor A atau A+ dalam SPM berbanding pelajar sains. Logiknya mudah, sastera bermain dengan lenggok bahasa dan seni, sedangkan sains dan matematik melibatkan hasil uji kaji dan angka.

Maka, tidak mustahil jika tidak ramai pelajar Cina dalam SPM baru-baru ini yang mendapat A+ atau A dalam subjek sastera dan bahasa Cina, kerana subjeknya susah seperti juga sastera Melayu.

Namun, cuba kita lihat reaksi pemimpin mereka. Pemimpin-pemimpin Cina tampil mendesak Kementerian Pelajaran memberikan jawapan kenapa pelajar-pelajar mereka tidak ramai dapat A? Tidakkah skima dan cara pemeriksaan boleh dilonggarkan agar ramai yang dapat A? Tujuannya tidak lain, supaya subjek ini tidak menghalang daripada ramai lagi yang mendapat straight A? Pendek kata, mereka tidak mahu subjek hidup mati mereka ini menghalang mereka untuk terus cemerlang. Saya harap kita semua dapat membuka mata akan strategi licik ini. Tidak perlu saya berbicara panjang.

Pemeriksa diminta memberikan kelonggaran. Adakah A+ yang kita lihat bukan kualitinya? Ini yang dikatakan buat salah, tak buat salah.

Kenapa tidak dipersoalkan berapa ramai pelajar Cina yang gagal dalam bahasa Melayu dalam peperiksaan SPM baru-baru ini. Mereka tidak kisah pun anak bangsa mereka gagal dalam bahasa kebangsaan. Yang penting adalah bahasa ibunda. Kita masih membutakan mata dan memekakkan telinga.

Buktinya nyata, sekolah di tempat saya menjadi Yang DiPertua PIBG, keputusan SPM tahun 2010 merosot 10 peratus kerana ramai pelajar Cina gagal bahasa Melayu. Kenapa ia tidak dipersoalkan? Kenapa tidak dapat A dalam bahasa Cina yang dijadikan isu dan hujah untuk menekan Kementerian Pelajaran. Mana lebih utama bahasa ibunda atau bahasa kebangsaan? Malang sungguh negara ini, setelah merdeka 53 tahun, kita masih gagal memberikan kefahaman bahawa bahasa negara itu lebih penting daripada bahasa bangsa.

Terbaharu, Dong Jiao Zong menentang keputusan kerajaan untuk menahan setahun lagi kepada pelajar-pelajar tahun enam yang gagal dalam Bahasa Melayu di sekolah vernakular. Pada mereka, mereka mesti dibenarkan untuk terus ke sekolah menengah. Menahan mereka selama setahun lagi selepas tamat darjah enam ini akan menjadi sekolah vernakular menghadapi masalah guru dan bilik kelas.

Pendek kata, sebarang usaha penambahbaikan bahasa kebangsaan akan ditentang. Manakala, jika adalah kekurangan dalam bahasa ibunda akan diperjuangkan habis-habisan. Maknanya, sampai kiamatpun, isu bahasa ini tidak akan selesai, kerana agenda bangsa lebih diutamakan daripada agenda negara.

Maka tidak hairanlah kes Nazri Aziz ini berlaku. Jika wartawan tersebut benar-benar menguasai bahasa Melayu sudah tentu tidak timbul isu. Tetapi saya naik meluat apabila MCA dan Gerakan terus-menerus membangkitkan ketidakpuasan hatinya terhadap kenyataan Nazri Aziz.

Kini, saban hari laman web pembangkang memainkan isu ini dan beberapa pemimpin parti komponen BN meminta Nazri memohon maaf secara terbuka. Sedangkan beliau bercakap atas kapasiti sebagai pemimpin bahagian bukan wakil kerajaan. Alasan mudah, kata-kata tersebut bercanggah dengan semangat 1Malaysia. Malang sungguh gagasan ini menjadi alat untuk memenuhi nafsu dan kepentingan bangsa.

Kepada Nazri Aziz, tidak perlu rasa cuak dengan desakan MCA dan Gerakan kerana dalam politik Cina, parti-parti politik tidak kuat. Gerakan dan DAP hanya menyuarakan pendapat Dong Jiao Zong. Yang paling kuat dalam permainan politik adalah NGO mereka seperti Dong Jiao Zong. Badan ini yang sepatutnya ditangani dengan serius.

Begitu juga dengan isu Persekutuan Kristian Malaysia seperti kaduk naik junjung, tidak mahu menerima al Kitab (Injil) dalam bahasa Melayu yang telah dicop oleh kerajaan. Pada saya mudah sahaja, tidak perlu layan golongan sebegini, buang masa sahaja. Bayangkan nasib umat Islam di negara bukan Islam seperti India dan China. Adakah mereka bebas melakukan apa sahaja?

Saya secara prinsipnya tidak pernah gentar atau mahu menghalang sama ada Al-Kitab tersebut mahu diterjemahkan dalam apa jua bahasa, hatta penggunaan nama Allah sekalipun. Malah tidak perlukan dicop dengan apa-apa perkataan. Berikanlah kepada mereka ‘sebiji’ seperti yang dicetak atau apa jua kemahuan mereka. Tetapi uniknya di Malaysia, agama Islam dilindungi dalam perlembagaan persekutuan.

Inilah perbezaan ketara antara Malaysia dengan negara-negara lain di mana bukan Islam menjadi minoriti. Bukan kerana Malaysia tidak mempraktikkan kebebasan, tetapi Islam mempunyai kedudukan istimewa berbanding dengan agama lain. Selain daripada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam perkara 3(1), pihak kerajaan sama ada Kerajaan Persekutuan atua Kerajaan Negeri mempunyai kebebasan, kuasa dan keistimewaan untuk menubuh atau menyelenggara atau membantu penubuhan institusi Islam dan melaksanakan ajaran agama Islam serta mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk tujuan itu (Mohamed Suffian Hashim, 1987).

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan beberapa prinsip Islam yang termaktub dalam perlembagaan yang tercatat dalam beberapa fasal lain yang harus dibaca bersama dengan perkara 3(1) iaitu:

Perkara 11(4): Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang yang menganuti agama Islam.

Begitu dalam perkara 12(2) menyebut: adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu negeri menubuhkan atau menyelenggara institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang diperlu bagi maksud itu.

Tidak ketinggalan dalam Perkara 121(1A) turut menyebut: mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam kuasa mahkamah syariah.

Semua fakta ini jelas menunjukkan bahawa kedudukan agama Islam dalam perlembagaan amat istimewa tanpa menafikan hak-hak agama lain. Malah kalau kita lihat secara realiti, hak-hak agama lain kadang kala sudah jauh meninggalkan hak-hak Islam itu sendiri. Lihat sahaja kedudukan bilangan rumah ibadat bukan Islam, berkali-kali ganda daripada bilangan masjid dan surau. Umat Islam tidak pernah bising atau menuntut supaya paling tidakpun bilangannya biarlah sama atau mengikut pecahan penduduk antara Islam dan bukan Islam.

Seperti yang pernah saya sebut dahulu, berapa banyak masjid dan surau menjadi korban untuk memberikan laluan kepada pembangunan. Umat Islam tidak banyak cakap dan mereka redha. Berbanding dengan jika sebuah dua rumah ibadat mereka mahu dirobohkan untuk laluan pembangunan. Maka hebohlah satu dunia seolah-olah hak agama mereka dinafikan. Malah ada yang sanggup mendesak kerajaan membuka semula rumah ibadat yang telah ditutup buat sementara kerana berada di kawasan berisiko tinggi dan tidak selamat digunakan. Sedangkan banyak lagi rumah ibadat yang masih kosong dan tidak digunakan sepenuhnya.

Pada saya toleransi umat Islam terhadap agama lain amat tinggi. Ini tidak termasuk peruntukan-peruntukan yang diberikan oleh kerajaan untuk tujuan menyemarakkan agama mereka seperti pemberian tanah dan bantuan-bantuan yang lain. Cuma kita minta jangan terlalu mendesak dan mengambil kesempatan, kerana ia akan melukakan hati umat Islam.

Saya amat bersyukur dapat tinggal di bumi bertuah ini. Saya juga berterima kasih kepada mereka yang merangka perlembagaan kerana melindungi kepentingan agama Islam di negara ini bagi melindungi orang-orang Melayu (Islam). Jika tidak, saya tidak tahu apa akan terjadi dengan sebahagian umat Islam hari ini yang mudah ‘cair’ dan rosak akhlak serta akidahnya. Jika tidak ada perlindungan, berapa ramai lagi yang akan murtad atau beralih kepada agama lain kerana serangan dan strategi mereka amat hebat dan licik?

Akhirnya, saya juga meminta pihak polis dan orang Islam supaya membuat pemantauan di gereja. Lihat realiti yang berlaku. Siasat apa yang ada di sana. Tidakkah kita sedar bahawa Selangor Times, bulletin pembangkang diedarkan di gereja-gereja, terutama di FGA Jalan Kuchai Lama?

Tidak ada siapapun yang bercakap isu ini kerana buletin tersebut menyebelahi mereka. Gereja telah menjadi tempat menyemaikan idea pembangkang. Tidak cukup lagikah kebebasan yang diberikan selama ini? Siapakah dan apakah yang betul sebenarnya?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Penulisan ini adalah pendapat peribadi beliau

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

0 ulasan

Di mana salahnya bahasa Melayu?

Di mana salahnya bahasa Melayu?
Sinar Harian 2 Mei 2011

Tidak ramai yang mahu menerima hakikat bahawa sekolah vernakular menjadi punca kepada kelemahan penguasaan bahasa kebangsaan dan masalah interaksi antara kaum dalam mencapai matlamat perpaduan nasional. Sehinggalah kajian terbaharu tahun lalu, membabitkan 159 sekolah di seluruh negara, oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), mendapati ramai pelajar dari sekolah-sekolah terbabit tidak faham sama ada Bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia apabila mereka melangkah ke sekolah menengah kebangsaan dan menjadi dewasa.

Kajian sebelum ini, turut membuktikan perkara yang sama. Pada tahun 1993, lebih 61 peratus pelajar sekolah vernakular tidak mencapai tahap minima penguasaan bahasa Melayu. Perkara ini terus disenyapkan. Tidak seperti isu 1Melayu 1Bumi. Bila terkena pada batang hidung sendiri mereka diam, tetapi bila kena pada orang lain, heboh 1Malaysia. Kajian sebegini sememangnya amat tidak disenangi oleh parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perkauman yang ultra kiasu. Komen-komen dalam Malaysianinsider terus menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Kenapa UMNO dan BN dimangsakan dalam isu ini?

Selama inipun, kerajaan seolah-olah langsung tidak boleh menyentuh sekolah vernakular, walaupun sebahagian besar bantuan diberikan? Setiap kali penambahbaikan dibuat untuk memperkasa bahasa Melayu, akan ditentang habis-habisan. Ternyata, mereka memandang rendah kepada bahasa kebangsaan. Jika pandaipun bahasa Melayu boleh pergi ke mana? Lebih baik menguasai bahasa ibunda atau bahasa Inggeris! Ada juga faedahnya. Mereka tidak fikir langsung soal membina negara. Dalam kepala otak mereka adalah untuk mengekalkan warisan bangsa dan membina kekayaan. Persoalannya, boleh kita bekerja dengan aman, jika negara tidak stabil atau saling bercakaran?

Sudah berbuih-buih mulut saya bercakap dan lenguh tangan menulis. Tetapi setiap kali saya bangkitkan maka melompatlah kumpulan ultra kiasu? Adakah ini bukan bermakna mempertahankan 1Cina 1Bumi? Jangan terlalu menuding jari, takut memakan diri.

Kenapa perkara ini boleh berlaku? Semua sedia maklum bahawa bahasa ibunda adalah bahasa rasmi sekolah vernakular dan diajar dan pertuturkan hampir 24 jam, jika tidak tidur. Manakala bahasa kebangsaan hanya diajar lebih kurang 3 kali seminggu dalam jangka masa 40 minit setiap waktu. Begitu juga dengan bahasa Inggeris. Dengan makna, bahasa kebangsaan ini hanya ‘digunakan’ 2 jam daripada 5 hari persekolahan daripada 120 jam yang ada. Jika dicampur hari cuti Sabtu Ahad, bermakna bahasa kebangsaan hanya digunakan tidak sampai satu peratus seminggu dari 168 jam. Adakah ini wajar bahasa Melayu ‘dilayan’ sedemikian rupa dalam sebuah negara yang mendaulatkannya (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan)?

Dengan scenario sebegini, bayangkanlah apakah bahasa kebangsaan boleh dikuasai? Nampaknya agenda membina negara masih terlalu jauh untuk dicapai walaupun telah lebih 53 tahun kita merdeka. Persekitaran dan sosialisasi politik hidup rakyat negara ini amat berbau perkauman sehingga membantutkan pengamalan dan penghayatan agenda besar negara. Akibatnya, agenda bangsa semakin besar dan besar kepala, manakala agenda negara menuju kepada kepupusan.

Sebenarnya kita tidak ada pilihan dalam membina negara? Jika tidak dipaksakan dan diwajibkan agenda negara ini dihayati, sampai kiamatpun kita akan menghadapi masalah yang sama. Jika saban hari berinteraksi dengan orang sama, bahasa yang sama, sekolah yang sama dan budaya yang sama, media yang sama, di manakah titik pertemuan dan persamaan untuk dicari dalam masyarakat berbilang kaum? Bagaimanakah anak-anak ini boleh mengutamakan agenda negara? Maka tidak hairanlah jika mereka gagal. Kita sengaja menggagalkan mereka. Kita sudah bentuk mereka menjadi ultra kiasu sejak kecil.

Selaku Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, di salah sebuah sekolah menengah yang majoriti pelajarnya datang dari sekolah vernakular di Ampang, masalah ini begitu ketara. Pelajar kelas peralihan, langsung tidak tahu bahasa Melayu mudah. Situasi sebegini tidak banyak bezanya apabila mereka bergerak ke tingkatan 1-5. Janganlah kita sangka bahawa mereka yang tidak berada di kelas peralihan bermakna bahasa Melayu mereka sudah baik!

Apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan baru-baru ini di sekolah saya sebutkan tadi, majoriti pelajar Cina gagal bahasa Melayu. Peratusan kelulusan SPM 2010 turun menjunam sebanyak 10 peratus. Semuanya gara-gara pelajar-pelajar bukan Melayu gagal dalam bahasa Melayu. Apabila keputusan SPM tidak meningkat, sekolah, pengetua, guru-guru dan PIBG disalahkan? Apakah tindakan ini wajar?

Bila ditanya guru sekolah vernakular, mereka menyalahkan guru sekolah menengah kerana tidak pandai mengajar bahasa Melayu. Persoalan saya, apakah yang yang kita lakukan untuk memandaikan mereka dengan bahasa Melayu ketika anak-anak itu masih rebung? Kita teramat sedih mendengar, kerajaan memperuntukan berbilion ringgit untuk penambaikan pengajaran bahasa Inggeris. Terkini, lebih 10,000 guru akan dilatih untuk memandaikan anak bangsa berbahasa Inggeris. Persoalan saya, bagaimana dengan bahasa kebangsaan? Berapa pula peruntukan yang disediakan? Berapa ramai pakar disediakan?

Benar, bahasa Inggeris penting untuk kemajuan, bahasa Melayu pula bagaimana? Manakah lebih penting antara agenda kemajuan dan agenda perpaduan (negara)? Tidak ketinggalan agenda patriotisme? Apakah negara akan maju jika rakyatnya tidak ada semangat sayangkan bumi tercinta ini? Kemajuan seperti ini tidak akan kekal lama.

Saya sudah letih memperkatakan perkara yang sama setiap kali. Bila tulisan ini disiarkan, saya akan dihina, dikecam dan dikeji. Sedangkan kita tidak pernah serius. Kita hanya mahu menjaga hati orang atau menjaga undi. Apabila NGO-NGO atau parti politik menyerang, kitapun menjadi kelam kabut. Akhirnya kita mengalah, mengalah dan mengalah, seterusnya kalah. Masalah terus menjadi masalah sehinggalah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi.

Jika tidak percaya, berkunjunglah ke Kolej New Era, Universiti Terbuka Wawasan dan Universiti Tunku Abdul Rahman. Operasinya langsung tidak ada bezanya dengan sekolah vernakular, malah lebih teruk lagi. Universiti Merdeka telah wujud sebenarnya, dengan nama berbeza walaupun kerajaan telah bertindak mengharamkannya.

Tidak cukup dengan itu, mereka masih tergamak terus menekan kerajaan supaya memberi layanan sama rata dan sama sama kepada semua sekolah vernakular, mengikhtiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan banyak lagi. Pendek kata, selagi ada sekolah vernakular, tanpa dilakukan penambaikan secara tegas, selagi itulah terlalu sukar untuk kita mencapai perpaduan dan matlamat membina negara. Tunggu dan lihat akibatnya.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, penulisan ini adalah pendapat peribadi beliau

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

0 ulasan

Isnin, 8 Mac 2010

utusan: Pantun luahan emosi pemidato Jerman

PUTRAJAYA 4 Mac -

Dari jauh pandang-pandang

Bila dekat jeling-jeling

Dari Jerman saya datang

Datang ke mari untuk bertanding.

Laksamana Hang Tuah bermain keris

Keris dipakai dalam upacara

Nama saya Josee Hunnekes

Minta izin mulakan bicara.

Dua rangkap pantun di atas diungkapkan pemidato Jerman, Josee Hunnekes yang disifatkannya cara terbaik untuk meluahkan emosi serta menggambarkan ekspresi seseorang.

Bait-bait pantun itu kedengaran semasa beliau memulakan hujah pidatonya ketika berentap pada pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2010 peringkat separuh akhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Hunnekes ketika ditemui Utusan Malaysia selepas tamat peringkat separuh akhir berkata, dia sememangnya mahu menggunakan dua rangkap pantun tersebut kerana akan menyerikan lagi persembahan pidatonya.

"Ungkapan pantun Melayu yang sering digunakan oleh masyarakat tradisional Melayu mempunyai keistimewaan tersendiri dan amat menarik bila didengar.

"Perkataan-perkataan indah dan sopan yang digunakan dalam pantun antara cara yang boleh digunakan untuk menggambarkan emosi seseorang," katanya.

Hunnekes tersenarai antara lima peserta bagi kategori Antarangsa yang layak ke peringkat akhir esok.

Menceritakan lebih lanjut, dia tidak menyangka terpilih ke peringkat akhir pertandingan PABM kerana itu merupakan penyertaan pertama kalinya.

"Sebelum ini saya ada belajar mengenai perbezaan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia di Universiti Frankfurt, Jerman.

"Saya dapati tidak banyak perbezaan, cuma ada beberapa perkataan yang mempunyai makna berbeza walaupun sebutannya sama," kata pelajar sarjana jurusan Pengajian Asia Tenggara itu.

Sementara itu, peserta Rusia, Natalya Budanova memberitahu, penggunaan pantun dalam pidatonya sudah menjadi kemestian kerana ia membuatkan persembahan menjadi lebih menarik dan mempesonakan.

Natalya yang tidak ketinggalan menyelitkan dua rangkap pantun ketika berpidato mempamerkan persembahan menarik untuk melayakkan diri ke peringkat akhir bagi kategori Antarabangsa.

"Saya memang berminat dengan bahasa dan budaya Melayu, pantun Melayu cukup indah bila didengar dan menunjukkan kesopanan seseorang bila berbicara.

"Ketika belajar di Mocsow State University, saya bergaul dengan pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di sana, secara tidak langsung saya dapat mempelajari budaya dan bahasa Melayu dengan lebih dekat," katanya.

(Sumber dari Utusan Malaysia, 05/03/2010) 0 ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...