Memaparkan catatan dengan label Malaysiaku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malaysiaku. Papar semua catatan

Selasa, 20 Disember 2011

Dividen ASB 7.65 sen, bonus 1.15 sen seunit [Dividen ASB Tahun 2011]

Berita Harian Online|Dividen ASB 7.65 sen, bonus 1.15 sen seunit

2011/12/20
KUALA LUMPUR: Pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan menerima dividen sebanyak 7.65 sen seunit dan bonus 1.15 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011.

Agihan pendapatan itu meningkat 0.15 sen seunit berbanding agihan yang dibayar tahun lalu iaitu 7.50 sen seunit.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM7.04 bilion, meningkat 21 peratus berbanding RM5.82 bilion tahun lalu manakala peruntukan bagi pembayaran bonus pula sebanyak RM628.29 juta.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit yang boleh dikemaskini, mulai 3 Januari 2012.

Semua urus niaga ASB di ibu pejabat Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), pejabat dan ejen ASNB di seluruh negara akan ditangguhkan mulai 21 Disember sehingga 2 Januari depan.

“Prestasi ASB sepanjang 2011 adalah memuaskan meskipun pada suku terakhir, pasaran saham didagangkan dalam suasana tidak menentu dipengaruhi prestasi pasaran global yang terjejas berikutan ketidaktentuan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan krisis hutang Eropah,” katanya pada sidang media mengumumkan agihan pendapatan ASB, di sini, semalam.

Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Ahmad Sarji berkata, sehingga 15 Disember 2011, tabung ASB memperoleh pendapatan kasar RM7.19 bilion, di mana pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat menyumbang sebanyak RM4.09 bilion, keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat menyumbang RM2.25 bilion dan RM0.85 bilion disumbangkan pendapatan pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain pendapatan.

Beliau berkata, pengiraan pengagihan dan pendapatan itu berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan 2011, manakala pengiraan bonus pula berdasarkan purata baki pegangan minimum bulanan 10 tahun bermula dari 2002 hingga 2011.

Katanya, kadar pengagihan pendapatan dan bonus tabung ASB itu adalah kompetitif dibandingkan dengan instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan.

Sementara itu, Hamad Kama Piah, berkata pihaknya menerima sambutan yang menggalakkan daripada pemegang unit ASB untuk meningkatkan jumlah pelaburan masing-masing.

Beliau berkata, tahun ini penambahan dalam skim ASB melebihi RM13 bilion berbanding RM12.1 bilion tahun lalu.

“Peningkatan jumlah penambahan pelaburan dalam ASB ini menunjukkan pelabur percaya dan yakin dengan prestasi yang dicatatkan skim ini,” katanya.

0 ulasan

Selasa, 6 Disember 2011

NUTP sifatkan syor 'elaun kesusahan' tak wajar

Berita Harian Online|NUTP sifatkan syor 'elaun kesusahan' tak wajar

2011/12/05

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan cadangan pemberian ‘elaun kesusahan’ kepada guru yang bekerja di kawasan pedalaman sebagai tidak wajar kerana mereka sudah pun dibayar elaun khas ketika ini.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata ketika ini Guru Pedalaman Satu menerima elaun khas RM500 sebulan, Guru Pedalaman Dua mendapat RM1,000, manakala Guru Pedalaman Tiga dibayar RM1,500, sekali gus menunjukkan kerajaan prihatin terhadap mereka yang bertugas di kawasan luar bandar.

“Cadangan ini bukanlah baru dan hanya akan meningkatkan beban kewangan sekiranya ia dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan UMNO Negeri Sembilan ketika membahaskan usul agama, pendidikan dan sosial pada Perhimpunan Agung UMNO di sini, kelmarin, supaya kerajaan memberi ‘elaun kesusahan’ kepada guru bertugas di kawasan pedalaman.

Wakilnya, Mustapha Naoor, berkata kemudahan pendidikan di pedalaman amat daif sehingga guru terpaksa menempuh perjalanan jauh dengan menaiki bot dan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke sekolah.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, kerajaan sepatutnya memberi elaun kos sara hidup (Cola) kepada guru mengikut tempat tinggal dan bukannya berdasarkan kepada lokasi mereka ditugaskan.

“Contohnya, ada guru mengajar di Gopeng tetapi menetap di Ipoh, maka mereka tidak layak mendapat Cola RM200, sebaliknya hanya memperoleh RM100 kerana Gopeng dianggap sebagai kawasan pedalaman. Ia akan menjadi beban kepada guru di kawasan luar bandar,” katanya.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, turut berpendapat elaun kesusahan bagi guru tidak perlu kerana kerajaan sudah pun mewujudkan elaun khas pedalaman untuk mereka.

“Ketika ini elaun pedalaman adalah antara RM500 hingga RM1,500 dan dibayar mengikut kategori kawasan pedalaman, iaitu Pedalaman P1, P2 dan P3.

“Kementerian tidak bercadang untuk menaikkan lagi jumlah elaun pedalaman itu seperti mana yang diminta oleh sesetengah pihak kerana nilai yang diberikan itu masih lagi relevan,” katanya selepas merasmikan Penutupan Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Kebangsaan 2011 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

0 ulasan

Kerajaan tak perlu tunduk kempen AirAsia [Kerajaan tanggung subsidi RM180j setiap tahun ~ kekal cukai lapangan terbang]

Berita Harian Online|Kerajaan tak perlu tunduk kempen AirAsia
Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2011/12/05
Tanggung subsidi RM180j setiap tahun kekal cukai lapangan terbang

KUCHING: Kerajaan tidak akan tunduk dengan kempen syarikat tambang murah AirAsia yang mendakwa cukai lapangan terbang yang baru dinaikkan pada 15 November lalu terlalu tinggi dan membebankan penumpang.

Sebaliknya, kenaikan itu dianggap wajar kerana ia membabitkan cukai lapangan terbang bagi laluan antarabangsa daripada RM51 kepada RM65, manakala cukai laluan domestik kekal pada RM9.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata setiap tahun kerajaan terpaksa menanggung subsidi kira-kira RM180 juta bagi mengekalkan cukai lapangan terbang antarabangsa dan domestik yang dikutip Malaysia Airport Berhad (MAB).

Katanya, tidak adil kepada pembayar cukai di negara ini kerana wang subsidi berkenaan diambil daripada dana awam bagi tujuan mengekalkan cukai lapangan terbang antarabangsa majoriti penumpangnya adalah golongan berkemampuan serta pelancong asing.

“AirAsia tidak sepatutnya berbuat demikian (melancarkan kempen) kerana keputusan kerajaan menaikkan cukai lapangan terbang dilaksanakan selepas mempertimbangkan banyak aspek, termasuk bagi mematuhi Perjanjian Operasi antara kerajaan dan MAB.

“Berdasarkan perjanjian itu, cukai lapangan terbang sepatutnya dinaikkan pada 2009, tetapi tidak dilaksanakan dengan kerajaan terpaksa menanggung subsidi, sedangkan wang itu boleh digunakan untuk tujuan lebih berfaedah,” katanya selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.

Awal minggu lalu, AirAsia melancarkan kempen ‘Katakan Tidak Kepada Kenaikan Cukai Lapangan Terbang’ termasuk menghantar e-mel kepada pelanggannya selepas mendakwa kenaikan itu bakal membebankan penumpang.

Kenaikan RM14 bagi laluan antarabangsa itu bagi penumpang yang menggunakan lapangan terbang utama, manakala penumpang bagi terminal tambang murah kenaikannya adalah RM7.

Abdul Rahim berkata, cukai lapangan terbang di Malaysia boleh dianggap masih rendah berbanding negara jiran seperti Thailand dan Singapura yang mengenakan kadar lebih tinggi.

“Kenapa kita perlu ambil wang rakyat semata-mata bagi membayar subsidi kepada pelancong asing? Lebih baik kita utamakan rakyat tempatan, terutama di Sabah dan Sarawak yang kerap menggunakan lapangan terbang.

“Saya tidak nampak kerajaan perlu tunduk kepada kempen ini, kecuali jika kerajaan bersedia mengambil wang daripada dana awam untuk terus membayar subsidi itu,” katanya sambil menambah jika subsidi itu berterusan selama 10 tahun, ia akan berjumlah RM1.8 bilion.

0 ulasan

MTUC bantah kemasukan 100,000 pekerja Nepal [Kebanjiran buruh asing dibimbangi beri kesan buruk]

Berita Harian Online|MTUC bantah kemasukan 100,000 pekerja Nepal
Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
2011/12/06
Kebanjiran buruh asing dibimbangi beri kesan buruk

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah kemasukan kira-kira 100,000 pekerja Nepal ke Malaysia secara berperingkat mulai Januari depan untuk bekerja di pelbagai sektor khususnya perladangan, kawalan keselamatan dan pembuatan.

Presidennya, Mohd Khalid Atan, berkata pihaknya bimbang keadaan itu bukan saja akan menyebabkan kebanjiran pekerja asing di negara ini malah akan memberi kesan buruk kepada rakyat tempatan.

“Ketika ini terdapat kira-kira 2 juta pekerja asing di sini, dan jika ada lagi kemasukan tenaga kerja asing baru kita bimbang mereka akan menguasai pelbagai sektor pekerjaan di negara ini, manakala rakyat tempatan pula akan hilang punca pendapatan.

“MTUC amat berharap kemasukan pekerja asing itu akan dikawal kerajaan kerana ketika ini kita dapat melihat sektor pembinaan sudah dikuasai oleh tenaga buruh dari Indonesia, manakala sektor perkilangan pula dibanjiri mereka dari Bangladesh, India dan Myanmar,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Kelmarin, portal berita The Himalayan Times di Nepal memetik Setiausaha Agung Persatuan Agensi Pekerjaan Asing Nepal, Kumud Khanal sebagai berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 100,000 rakyat negara itu akan memasuki Malaysia mulai awal tahun depan.

Kumud berkata, pihaknya menerima permintaan yang tinggi dari Malaysia berhubung bekalan tenaga buruh dari Nepal dan dijangka kumpulan baru itu menerima gaji bulanan kira-kira RM1,000 (Rs26,500).

Sementara itu, Khalid berkata, Kementerian Sumber Manusia harus memberi perhatian serius kepada perkara berkenaan kerana ketika ini sebahagian besar pekerja Nepal yang berada di sini sudah menguasai industri kawalan keselamatan dan juga perladangan.

“Apabila MTUC membantah perkara ini bukan bermakna kami anti pekerja asing sebaliknya kita melihat kemasukan buruh asing seharusnya berdasarkan keperluan dan bukannya melebihi permintaan,” katanya.

0 ulasan

Raja Muda Perlis mahu tulisan Jawi dimartabat

Berita Harian Online|Raja Muda Perlis mahu tulisan Jawi dimartabat

2011/12/05

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu semua pihak memartabatkan tulisan Jawi ke tahap lebih tinggi setara dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Pada hari ini, kita menghadapi satu persimpangan dan persoalan realiti iaitu bagaimana kita selaku generasi pewaris hendak menjulang tulisan Jawi ke suatu tahap baru di era globalisasi ini, sebagai identiti dan lambang jati diri kita," titah baginda semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Tulisan Jawi kali kedua dan Karnival Jawi 2011 di Perpustakaan Negara, di sini, hari ini.

Menurut baginda, selain program lebih menyeluruh perlu dilakukan secara berterusan oleh semua pihak, usaha ke arah itu juga perlu dilakukan melalui medium yang pelbagai termasuk melalui bidang teknologi.

"Medium IT yang digemari oleh masyarakat kini juga harus digunakan oleh penggiat tulisan Jawi dengan mengeksploitasi apa saja media baru dalam menyampaikan atau akses segera dalam usaha mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajarannya," titah baginda.

Bimbang dengan perkembangan terkini di mana tulisan itu hanya dicetak di dokumen berkaitan urusan agama dan hanya menjadi tempelan di papan tanda, baginda menyarankan agar akhbar Utusan Malaysia dapat menyediakan sekurang-kurangnya satu muka surat tulisan Jawi setiap hari berbanding sekali pada setiap minggu pada masa ini.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pendedahan tulisan Jawi kepada kaum bukan Melayu juga perlu dipergiatkan lagi melalui pelbagai pendekatan bagi mengikis persepsi bahawa mempelajari tulisan itu "tidak bermakna masuk Melayu atau masuk Islam".

Sambil memuji usaha kerajaan setakat ini dalam membudayakan tulisan berkenaan, baginda bertitah bahawa antara impak positif daripada memartabatkan tulisan itu ialah mengekalkan identiti Melayu Islam.

"Ini kerana banyak rujukan klasik atau buku agama, sastera dan undang-undang ditulis dalam tulisan Jawi. Tulisan Jawi juga akan memudahkan pengenalan kepada pembacaan Al-Quran," titah baginda.

Baginda menyarankan agar pembelajaran tulisan itu di sekolah rendah dapat diteruskan ke tingkat sekolah menengah. - BERNAMA

0 ulasan

Semangat kejiranan asas keutuhan negara

Berita Harian Online|Semangat kejiranan asas keutuhan negara
Oleh Izani Daud

2011/12/05

KEHIDUPAN manusia kini mencapai tahap ketamadunan yang tinggi tetapi pada masa sama manusia tergelincir daripada hakikat kehidupan sebenar.

Punca kerosakan dalam kehidupan ini disebabkan sikap individualistik yang sebati dalam diri manusia. Kongkongan sifat ini menyebabkan manusia menjadi sombong, bongkak dan angkuh sehingga terpaku kukuh sifat ego dalam diri.

Sifat ini juga menyebabkan generasi dewasa ini mencemari budaya murni yang diamalkan sejak turun temurun antaranya budaya hidup berjiran. Menjadi tanggungjawab kita memupuk budaya kejiranan yang menjadi asas keharmonian kehidupan.

Hubungan intim dengan jiran membolehkan seseorang menjadikan jiran tempat mengadu dan meminta bantuan atau pertolongan apabila sesuatu kesusahan menimpa. Penghidupan berjiran dipenuhi unsur kerjasama, kesepakatan dan keprihatinan.

Amalan hidup berjiran dulu dan kini, amat berbeza. Budaya hidup berjiran tidak lagi diamalkan. Masyarakat hari ini mengabaikan hubungan dengan orang yang tinggal berdekatan.

Allah berfirman bermaksud: “Dan sembahlah Allah dan jangan kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun dan buatlah kebaikan untuk ibu bapa, anak yatim, orang miskin, jiran yang ada hubungan kekeluargaan, jiran tiada hubungan kekeluargaan, orang dalam perjalanan dan hamba sahaya. Sesungguhnya Allah tidak suka orang sombong dan bangga diri.” (Surah An-Nisa, ayat 36)

Hubungan kemasyarakatan kian renggang ada kaitan dengan sikap suka hidup tanpa gangguan. Kemewahan dikecapi menyebabkan individu merasakan tidak perlu bergantung kepada orang lain.

Aktiviti membudayakan semangat kejiranan kian berkurangan akibat peredaran zaman. Aktiviti bergotong-royong jarang diamalkan.

Apakah arus pemodenan menuntut masyarakat berkelakuan sedemikian, sedangkan dalam agama hidup berjiran adalah kewajipan perlu dipenuhi bagi menjamin kerukunan dan keharmonian hidup.

Selain tuntutan agama, kehidupan berjiran penting untuk negara kerana keutuhan dan kekuatan sesebuah negara boleh diukur melalui semangat kejiranan yang ada pada warganya. Lebih-lebih lagi Malaysia didiami pelbagai kaum memerlukan rakyat bersatu mewujudkan negara maju.

Justeru, sudah tiba masanya kita mengorak langkah menghidupkan semula semangat kejiranan demi keharmonian hidup dan kesepaduan masyarakat menjadi benteng kukuh kepada pertahanan negara.

0 ulasan

Pengamal PR Islam perlu gabung sumber untuk bentuk semula persepsi Islam: Tun Abdullah

Berita Harian Online|Pengamal PR Islam perlu gabung sumber untuk bentuk semula persepsi Islam: Tun Abdullah

2011/12/06

KUALA LUMPUR: Pengamal perhubungan awam Islam perlu menggabungkan sumber dan kepakaran masing-masing dalam membentuk semula persepsi dan penjenamaan semula Islam, kata Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bekas perdana menteri itu berkata, sudah tiba masa untuk orang Islam mempamerkan potensi Ummah yang moden yang dapat menyumbang kepada ketamadunan manusia.

"Kita boleh menunjuk legasi Islam kepada kemajuan manusia bukan sekadar terbeku dalam era keemasan beberapa kurun lampau tetapi sumbangan yang berterusan," katanya pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Perhubungan Awam Islam Global yang julung kali diadakan di sini, malam tadi.

Majlis penganugerahan itu diadakan sempena Kongres Global Bagi Pengamal Perhubungan Awam Islam selama empat hari anjuran Universiti Islam Antarabangsa Islam (UIAM) dan Institut Perhubungan Awam Karogzae (KPRI) yang berpusat di Tehran, Iran.

Kongres itu, yang disokong oleh Persekutuan Organisasi Perhubungan Awam ASEAN disertai oleh 26 penceramah dari 17 negara.

Abdullah berkata, dengan penggabungan sumber perhubungan awam Islam, sebuah kempen berkesan perlu digubal dan dilaksanakan serta ruang perlu dikenalpasti bagi membolehkan kempen itu sering dijalankan.

"Sering kali, media arus perdana antarabangsa tidak peduli dan menentang berita positif mengenai Islam walaupun organisasi seperti Al-Jazeera semakin membenarkan pandangan alternatif disiarkan," katanya.

Beliau berkata, telekomunikasi moden harus digunakan sebagai kaedah untuk menyebarkan berita positif mengenai Islam.

Abdullah juga turut menyaksikan perjanjian pertukaran kerjasama antara Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) dan Perhimpunan Hubungan Indonesia (Perhumas) bagi saling menghormati kod etika masing-masing di samping meningkat kerjasama.

IPRM diwakili oleh presidennya, Ibrahim Abdul Rahman dan dari Perhumas, Prita Kemal Gani. - BERNAMA

0 ulasan

FTA - EU penting bagi Malaysia jana ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020

Berita Harian Online|FTA - EU penting bagi Malaysia jana ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020

2011/12/06

BRUSSELS: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) adalah penting bagi negara untuk mencapai matlamatnya untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata jurucakap Suruhanjaya Eropah (EC).

Kejayaan menandatangani FTA Malaysia-EU akan turut merangsang negara ASEAN lain untuk menjalin perjanjian yang sama dengan Eropah, katanya semalam.

Katanya, FTA itu akan membantu ekonomi EU yang bermasalah di segi kewangan pulih daripada krisis hutang kerana ia boleh meningkatkan eksport bagi kedua-dua Malaysia dan ASEAN. Malaysia dijangka menjadi gerbangnya.

Sehingga ini, katanya EU berpuas hati dan gembira dengan kemajuan FTA itu selepas diadakan perundingan lima pusingan sejak perundingan dengan Malaysia itu dilancarkan pada 10 September tahun lalu.

Pusingan keenam dijadualkan dari 8-12 Februari tahun depan di Malaysia.

Objektif bersamanya ialah untuk memuktamadkan perundingan berkenaan menjelang 2012.

Jurucakap itu berkata demikian pada satu seminar perdagangan bagi wartawan Asia Tenggara di sini, yang dianjurkan oleh Direktorat-Jeneral EU bagi Perdagangan dari 5 hingga 7 Disember.

Malaysia adalah rakan perdagangan kedua terbesar EU dalam ASEAN selepas Singapura, yang sebahagian besarnya kerana kedudukannya sebagai gerbang ke rantau Asia Tenggara.

Ia juga berikutan permintaan domestik yang semakin meningkat, dirangsang oleh pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang signifikan.

Sejak lima tahun lalu, perdagangan barangan antara EU dan Malaysia berkembang dengan stabil, sehingga mencecah kadar pertumbuhan tahunan purata kira-kira 3.2 peratus.

Antara 2009 dan 2010, eksport EU ke Malaysia meningkat 24 peratus.

EU, yang terdiri daripada 27 negara anggota, adalah ekonomi terbesar di dunia dengan agihan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 26 peratus. Penduduknya seramai 500 juta orang adalah pasaran yang paling lumayan di dunia.

Jurucakap itu berkata, FTA Malaysia-EU boleh membantu negara anggotanya yang bermasalah pulih dari krisis hutang dengan mendapatkan pendapatan dari eksport serta menjadikan industri di dalam EU lebih kompetitif.

Katanya, kemajuan yang positif mengenai perundingan FTA Malaysia-EU akan menggalakkan negara ASEAN yang lain memulakan perundingan yang sama.

EU, katanya berminat mengadakan FTA dengan empat negara, iaitu Vietnam, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Jurucakap itu berkata, matlamatnya ialah memulakan dua rundingan FTA di kalangan empat negara ASEAN itu. - BERNAMA

0 ulasan

Malaysia yakin mampu capai status negara maju dalam tempoh singkat: PM

Berita Harian Online|Malaysia yakin mampu capai status negara maju dalam tempoh singkat: PM

2011/12/06

LANGKAWI: Malaysia diyakini mampu mencapai status negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh yang singkat dengan perkembangan memberangsangkan dalam industri aeroangkasa dan maritim tempatan sejak kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata keyakinan itu turut didorong perolehan dicatatkan kedua-dua industri berkenaan yang keseluruhannya mencecah RM12.09 bilion (AS$4.03 bilion) sepanjang tahun, sekaligus membuktikan potensinya untuk dibangunkan penyumbang teras ekonomi negara.

"Sepanjang 2010 sahaja, industri pembinaan dan pembaikan kapal (laut) mengunjurkan pendapat AS$2.3 bilion (RM6.9 bilion), manakala sektor penyelenggaraan (MRO) dan pembuatan aeroangka mencatatkan perolehan kira-kita AS$1.73 bilion (RM5.13 bilion).

"Perkembangan cukup signifikan ekonomi Malaysia, selain pada masa yang sama mewujudkan kira-kira 44,000 peluang pekerjaan, khususnya dalam melahirkan ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi di kalangan anak tempatan," katanya ketika merasmikan Pameran Antarabangsa Aeroangkasa & Maritim Langkawi 2011 (LIMA2011), di sini, sebentar tadi.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengasas LIMA, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi HW LIMA, Tan Sri Abdul Wahab Nawi.

Berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), LIMA2011 yang memasuki edisi penganjurannya ke-11 disertai 403 syarikat pempamer menyertai pameran kali ini, dengan 50 daripadanya pemain utama industri aeroangkasa dan maritim antarabangsa.

Lebih 70,000 pengunjung turut dijangka mengunjungi LIMA2011 sepanjang lima hari ia berlangsung, masing-masing di MIEC sebagai lokasi pameran aeroangkasa dan Jeti Awana Porto Malai (maritim).

0 ulasan

Usah cuit perasaan Melayu [Perkara asas dalam perlembagaan tak perlu dirungkai, pertikai: PM]

Berita Harian Online|Usah cuit perasaan Melayu
Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my
2011/12/06

image NAJIB bersalaman dengan ahli PEKIDA ketika hadir merasmikan Perhimpunan Perdana Pekida Malaysia di Shah Alam, semalam.

Perkara asas dalam perlembagaan tak perlu dirungkai, pertikai: PM

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak menegaskan perkara asas yang sudah termaktub dalam Perlembagaan ketika membina negara tidak perlu dirungkai, dipertikai atau dirundingkan semula. Perdana Menteri percaya dalam kerangka Perlembagaan sama ada yang tersurat dan tersirat, kerajaan boleh membina sebuah negara yang adil dan saksama untuk semua kaum.

Sambil membidas pakatan pembangkang kerana belum lagi berkuasa sudah mempersoalkan dasar untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera, Najib ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama PM sempena Perhimpunan Perdana Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), semalam, berkata: “Orang Melayu tidak pernah bersikap pelampau di bumi ini. Orang Melayu tidak pernah menjadi bangsa yang rasis. Orang Melayu sejak merdeka sanggup berkongsi kuasa dan memberi apa yang adil kepada mereka.

“Kita mengamalkan wasatiyyah sebagai pendekatan kita sejak dulu. Kita menolak kefahaman keterlaluan, kefahaman ekstrem tidak menjadi dasar pegangan. Orang Melayu menghulur tangan kepada orang bukan Melayu untuk membina negara yang aman, bersatu dan lebih makmur.

“Jangan sesekali mereka mencuit perasaan orang Melayu dengan nak ubah apa termaktub dalam perlembagaan kita. Apa yang kita rundingkan waktu merdeka dulu, perkara ini akan dipertahankan, PEKIDA akan pertahankan,” katanya.

Pada majlis yang dihadiri lebih 10,000 ahli PEKIDA, Najib menjelaskan tentu sekali bagi orang Melayu yang menjadi majoriti dalam negara yang pernah menjadi mangsa ketika zaman penjajah, memerlukan sedikit masa untuk membetulkan segala kepincangan.

Beliau bertanya apakah padang sama rata kalau anak yang lahir dan membesar di kawasan pedalaman seperti ulu Tembeling, Ulu Kinta, Pangkor, Yan, Kodiang dan Baling sama gelanggangnya seperti mereka yang membesar di Pantai Hill, Damansara dan Lembah Klang.

“Tentu sekali ini bukan gelanggang sama rata. Jadi, sudah tentu keberhasilan berbeza dan pencapaian tidak sama. Bagi persekitaran yang serba lengkap, sudah tentu mereka akan mencapai kejayaan jauh lebih tinggi daripada mereka yang tinggal di pedalaman,” katanya.

Perdana Menteri seterusnya mengajak ahli PEKIDA bertanya pada diri mereka apa akan terjadi kepada orang Melayu dan umat Islam jika pemerintahan dalam negara tersungkur dan rebah atau sudah kehilangan taring dan kekuatan.

Katanya, apa akan terjadi kepada raja-raja Melayu dan anak cucu mereka kalau kerajaan tidak ada lagi untuk memuliakan dan tidak dapat menyokong dasar yang boleh mendokong nasib mereka.

“Sebab itu perjuangan kita mulia dan suci kerana kita pada asasnya berjuang mempertahankan kelangsungan kuasa yang ada pada tangan kita. Jika kuasa terlepas, Nauzubillah, cita-cita kita akan terkubur.

“Masa depan kita akan bertukar menjadi masa depan yang penuh gerhana kerana asas kita menjadi bangsa mulia dan bermaruah dan menjanjikan masa depan lebih cerah kerana pemerintahan hari ini.

“Pemerintahan bererti kita ada kuasa. Kalau hendak melakukan sesuatu tentu sekali sesuatu itu mungkin menjadi kenyataan kalau kita ada kuasa,” katanya sambil menambah dalam pemerintahan negara yang tidak mengamalkan sistem demokrasi, kuasa itu mungkin terbit dari laras senapang dan berdiri di atas rejim kuku besi.

Katanya, negara seperti Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi secara terbuka, kuasa politik tetap datang dari rakyat dan selagi kerajaan berjuang untuk rakyat dan kerana rakyat, insya-Allah rakyat akan tetap mempertahankan kedudukan sekarang.

Bagaimanapun, katanya, dalam sistem demokrasi yang membenarkan pelbagai pihak berjalan ‘ke hulu ke hilir’ membawa pelbagai cerita yang kadang-kala nista dan fitnah, ia boleh menyebabkan rakyat terkeliru atau sangsi sehingga dapat memesong sokongan rakyat dan akhirnya berlaku apa yang tidak diingini.

Justeru, katanya, rakyat tidak ada pilihan melainkan menegakkan pemerintahan sedia ada.

0 ulasan

Selasa, 8 November 2011

Prestasi baik ekonomi Malaysia diiktiraf dunia [Ke-17 daripada 110 negara dalam Indeks Kemakmuran]

Berita Harian Online|Prestasi baik ekonomi Malaysia diiktiraf dunia
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2011/11/08

Ke-17 daripada 110 negara dalam Indeks Kemakmuran

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mendapat pengiktirafan mencapai prestasi baik menduduki senarai ke-17 daripada 110 negara seluruh dunia berdasarkan laporan terkini Indeks Kemakmuran Legatum 2011, Institut Legatum berpangkalan di London.

Dalam subindeks itu, laporan badan bebas bukan partisan itu menyatakan kepercayaan orang ramai kekal tinggi dengan 87 peratus melahirkan keyakinan terhadap sektor kewangan Malaysia.

“Pertumbuhan perkapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat purata 2.3 peratus setahun dari 2005 hingga 2009, menunjukkan pertumbuhan yang tetap dan menyumbang kepada penilaian subjektif yang positif terhadap ekonomi negara. - Laporan Indeks Kemakmuran Legatum 2011”

Malah bersama Indonesia (menduduki tangga ke-44 dalam subindeks Ekonomi), Malaysia disebut sebagai model kemakmuran ekonomi kepada negara Arab yang bergolak apabila kejayaan ekonomi negara sebahagian besarnya sumbangan perindustrian berpacu eksport dengan didorong pelaburan langsung asing (FDI), selain kadar pengangguran rendah.

“Malaysia mempunyai kadar inflasi 0.58 peratus serta kadar tabungan dalam negara kasar yang tinggi, iaitu 36 peratus, sekali gus menunjukkan ekonomi yang stabil dan berkembang.

“Penduduknya mempunyai akses tinggi kepada makanan dan kediaman mampu milik (data diambil dari Gallup World Poll), meletakkan Malaysia di tangga ke-42 pada peringkat dunia (dalam kalangan 110 negara Indeks Kemakmuran) dalam pembolehubah ini.

“Pertumbuhan perkapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat purata 2.3 peratus setahun dari 2005 hingga 2009, menunjukkan pertumbuhan yang tetap dan menyumbang kepada penilaian subjektif yang positif terhadap ekonomi negara.

“(Data diambil dari Gallup World Poll) kira-kira 71 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan standard kehidupan mereka, 53 peratus percaya pasaran kerjaya adalah positif dan kebanyakannya optimis mengenai ekonomi negara,” menurut laporan itu.

Ekonomi antara satu daripada lapan subindeks diambil kira dalam Indeks Kemakmuran Legatum 2011 yang secara keseluruhannya menyaksikan Malaysia mengekalkan kedudukan tahun lalu di tangga ke-43 dalam senarai 110 negara itu yang mewakili kira-kira 93 peratus penduduk dunia dan 97 peratus KDNK global.

Pada peringkat rantau Asia Pasifik pula berdasarkan laporan sama, Malaysia menduduki tangga kelapan. Negara yang menduduki 10 tangga teratas dalam Indeks Kemakmuran Legatum 2011 ialah Norway, diikuti Denmark, Australia, New Zealand, Sweden, Kanada, Finland, Switzerland, Belanda dan Amerika Syarikat.

Singapura yang berada di tangga ke-16, satu-satunya negara ASEAN yang mengatasi Malaysia dalam penarafan kemakmuran antarabangsa itu, manakala Indonesia pada kedudukan ke-70.

Bagi tujuh subindeks lain dalam Indeks Kemakmuran itu, Malaysia menduduki tangga ke-35 bagi Tadbir Urus, Keusahawanan dan Peluang (36), Pendidikan (46), Kesihatan (46), Keselamatan dan Sekuriti (53), Modal Sosial (75) dan Kebebasan Peribadi (96).

0 ulasan

Selasa, 25 Oktober 2011

Kerajaan mahu kaji semula had kelayakan pendapatan Skim Rumah Pertamaku

Berita Harian Online|Kerajaan mahu kaji semula had kelayakan pendapatan Skim Rumah Pertamaku

2011/10/19

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula hak kelayakan pendapatan isi rumah bagi Skim Rumah Pertamaku, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai.

Katanya, kajian semula itu adalah sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Bajet 2012, yang menaikkan had pinjaman di bawah skim itu kepada RM400,000, daripada RM220,000. "Had kelayakan itu kini RM3,500 dan kami sedang mengkaji sekitar RM6,000 hingga RM7,000," katanya kepada pemberita selepas pelancaran aplikasi mudah alih "Kurnia One Touch" di sini, hari ini.

Katanya, perbincangan mengenai perkara itu masih berjalan dan kementerian itu sedang menunggu maklum balas dari bank-bank berkaitan cadangan itu.

"Kami sudah meminta pihak bank memberikan kami angka yang mereka rasa selesa jika seseorang itu perlu perlu meminjam lebih banyak wang (di bawah skim itu)," katanya. - BERNAMA

0 ulasan

Kementerian sedang sedia Surat Arahan pelaksanaan suhu di bangunan kerajaan

Berita Harian Online|Kementerian sedang sedia Surat Arahan pelaksanaan suhu di bangunan kerajaan

2011/10/20

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sedang menyediakan Surat Arahan garis panduan penetapan suhu minimum 24 darjah celcius di semua bangunan kerajaan dan agensi di bawahnya.

Timbalan Menteri berkenaan Noriah Kasnon berkata Surat Arahan itu menetapkan ruang yang boleh diselaraskan suhunya seperti ruang pejabat, bilik pegawai, bilik mesyuarat, lobi dan koridor.

"Di samping itu, Surat Arahan ini juga bersetuju ruang kritikal tertentu memerlukan penetapan suhu khusus seperti dewan bedah, unit rawatan rapi, makmal bilik peralatan mekanikal, ruang menempatkan perkakasan teknologi maklumat seperti bilik server," katanya ketika menjawab soalan Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dr Mujahid bertanya mengenai langkah kerajaan bagi memastikan semua bangunan kerajaan menggunakan suhu pendingin hawa minimum 24 darjah celsius bagi menjimatkan tenaga.

Noriah berkata semua agensi kerajaan dikehendaki melaksanakan penetapan suhu di pejabat masing-masing seperti yang digariskan dalam Surat Arahan berkenaan sebagai langkah pengurangan perbelanjaan kos utiliti kerajaan.

Beliau berkata pelaksanaan langkah penjimatan tenaga elektrik itu mesti dibuat dengan serta-merta secara menyeluruh atau berperingkat dan berterusan.

Dalam pada itu, beliau berkata semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk membolehkan sasaran kecekapan tenaga tercapai selain daripada tindakan melaraskan suhu penyaman udara ruang bangunan kerajaan.

"Setiap pihak dan individu juga perlu mengamalkan kecekapan tenaga lain seperti menutup suis semua peralatan elektrik yang tidak digunakan, memaksimumkan penggunaan cahaya semula jadi, menggunakan tangga bagi menggantikan lif dan menggunakan alat cekap tenaga.

Langkah berkenaan tidak membabitkan sebarang kos kepada pemilik bangunan, namun pada kebiasaannya dapat menjimatkan tenaga pada kadar 3-7 peratus dari jumlah keseluruhan penggunaan tenaga," katanya. - BERNAMA

0 ulasan

Perkhidmatan awam jangan 'seronok sendiri': Muhyiddin [ketika merealisasikan semua sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)]

Berita Harian Online|Perkhidmatan awam jangan 'seronok sendiri': Muhyiddin

2011/10/20

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan awam tidak seharusnya diulit perasaan 'seronok sendiri' ketika merealisasikan semua sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ditetapkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai penjawat awam yang mendokong dan menjayakan dasar kerajaan, adalah penting untuk mereka sentiasa memikirkan soalan-soalan seperti apakah rakyat faham tentang usaha yang kerajaan lakukan selama ini.

"Kenapakah rakyat tidak bersama-sama menyertai untuk menjayakan usaha-usaha itu? Apakah impaknya cukup besar kepada rakyat untuk mereka menghargai apa yang dilakukan kerajaan selama ini? Dan di manakah silapnya apabila rakyat masih tidak berpuas hati dengan segala usaha dan pencapaian kita?" katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perkhidmatan Awam ke-16 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini hari ini.

Persidangan dua hari bermula hari ini turut melibatkan 20 tokoh tersohor negara dalam sektor awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan berkongsi pendapat mereka dalam usaha memperkukuh lagi penyampaian perkhidmatan awam.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Malaysia Tan Sri Abu Bakar Abdullah, Pemangku Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, Datuk Dr Mohd Azhar Yahaya dan Pengarah Intan, Dr Aminuddin Hassim.

Muhyiddin berkata kaghairahan memacu usaha-usaha pemerkasaan NKRA tidak seharusnya melekakan penjawat awam daripada memerhati hasil sampingan ketara yang terpaksa ditanggung rakyat masa kini iaitu kos sara hidup yang membebankan.

"Dalam hal ini, sektor awam perlu berada di barisan hadapan dengan mempelopori perkongsian pintar antara kerajaan dan rakyat bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup menerusi pelaksanaan tindakan-tindakan yang efisien dan efektif.

"Ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa rakyat sedang memerhati dan menilai usaha kita, kita tidak boleh alpa kerana sebarang kealpaan akan menyebabkan perkhidmatan awam diberikan penilaian negatif dan ditafsir sebagai tidak releven lagi dalam pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata dalam memastikan setiap tindakan bagi mengutamakan kepentingan rakyat itu berjaya, pertemuan dan interaksi dengan rakyat adalah perlu untuk membolehkan suara dan rintihan rakyat didengar dan diberi perhatian.

"Juga penting, kerajaan perlu memastikan rakyat turut dilibatkan dan bersama-sama dalam proses penghasilan sesuatu dasar bagi mengelak ketidakpuasan hati yang boleh menimbulkan bangkangan dan penentangan," katanya.

Mengenai sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Muhyiddin berkata berkata ia akan menjadi landasan utama kepada transformasi pengurusan bakat perkhidmatan awam yang akan meyaksikan perubahan radikal dalam pembangunan kerjaya itu.

Bagi menjayakan SBPA secara menyeluruh, budaya berprestasi tinggi hendaklah diwujudkan dalam perkhidmatan awam, katanya. - BERNAMA

0 ulasan

KPKT sasar bina 78,000 unit rumah kos rendah RMK-10

Berita Harian Online|KPKT sasar bina 78,000 unit rumah kos rendah RMK-10

2011/10/20

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk membina 78,000 unit rumah kos rendah awam di seluruh negara di bawah Program Perumahan Rakyat dan Program Bantuan Rumah di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Menterinya, Datuk Seri Chor Chee Heung, berkata Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang berkonsepkan usahasama antara kerajaan dan swasta adalah untuk memenuhi keperluan rakyat berpendapatan rendah dan ia dijual dengan harga antara RM150,000 dan RM350,000 bergantung pada lokasi.

Chor berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) yang meminta kementerian itu menyatakan jumlah rumah mampu milik akan dibina, harganya dan bagaimana kementerian akan mengatasi masalah kenaikan harga rumah di Malaysia.

"Mengenai kenaikan harga rumah, kementerian melaksanakan beberapa mekanisme, termasuk pengurangan 'Loan to Value' kepada 70 peratus sahaja bagi pinjaman perumahan untuk pembelian rumah ketiga dan seterusnya," katanya.

Selain itu, Cukai Keuntungan Harta Tanah yang diperkenalkan pada 1 Januari tahun lalu oleh kementerian adalah untuk mengurangkan aktiviti spekulasi yang menyebabkan kenaikan harga rumah. - BERNAMA

0 ulasan

Ahad, 16 Oktober 2011

Impian jadi nyata: Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)

Berita Harian Online|Impian jadi nyata
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/10/16

 

image

PENIAGA pasar malam, Mohammad Norazam Azman Shah, 25, bertuah nombornya yang pertama diundi Najib untuk memiliki rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Presint 11, Putrajaya, semalam.

image 

NAJIB bersama Rosmah menunjukkan nombor cabutan undi sebahagian daripada lebih 7,000 permohonan bagi 560 unit rumah mampu milik fasa pertama di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sambil diperhatikan Tengku Adnan serta Dr Jamaluddin (kanan) di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya, semalam.
 

Perdana Menteri jamin lebih banyak rumah PR1MA akan dibina

PUTRAJAYA: Sejak Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang pertama di Presint 11 dibuka pada 30 September lalu, lebih 7,000 permohonan diterima dan semalam, 560 pemohon gembira kerana menjadi pemilik pertama program rumah mampu milik itu manakala 200 lagi dipilih dalam senarai menunggu.

Ramai yang kecewa tetapi Datuk Seri Najib Razak menegaskan mereka yang tidak berjaya boleh memohon semula bagi projek PR1MA akan datang, kerana lebih banyak rumah seumpama itu akan dibina.

Dalam ucapannya Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus campur tangan melalui program khusus itu bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah berkualiti pada harga rendah.

Katanya, sasaran program itu adalah membangunkan rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana yang hidup di bandar besar sehingga terpaksa menanggung kos perbelanjaan harian yang tinggi khususnya kos pengangkutan.

“Memiliki rumah sendiri adalah satu impian dan cita-cita rakyat yang diambil berat oleh kerajaan. Ini adalah kerana memiliki rumah sendiri akan menyemai perasaan memiliki selain mempunyai rumah berhampiran tempat kerja. Lagipun, kerajaan sedar tinggal berhampiran dengan tempat kerja mampu meningkatkan produktiviti rakyat," katanya pada majlis pengundian terbuka pertama PR1MA untuk rumah mampu milik di Presint 11 di sini, semalam.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr Jamaludin Mohd Jarjis; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Rumah PR1MA ditawarkan pada harga RM120,000 dan RM150,000 seunit berbanding harga pasaran rumah terbabit RM175,000 dan RM220,000 seunit yang dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2014. Projek itu dibangunkan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) dengan kerjasama Unit PR1MA, Jabatan Perdana Menteri.

Ia dibuka kepada warga negara Malaysia berumur 21 tahun ke atas, bermastautin atau bekerja di Putrajaya dan juga pengundi berdaftar Parlimen berkenaan; tidak memiliki lebih daripada satu rumah di Malaysia dan pendapatan isi rumah kasar tidak melebihi RM6,000 sebulan.

Najib berkata, lebih banyak program PR1MA akan dibina di sekitar kawasan bandar seperti Putrajaya, Cyberjaya dan Lembah Klang bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang masih belum memiliki rumah untuk mempunyai kediaman sendiri.

“Peningkatan harga rumah di kawasan bandar akan mendorong perpindahan dari kawasan bandar ke luar bandar dan secara tidak langsung ia akan memberi komplikasi atau tekanan sosial dan ekonomi kepada golongan terbabit.

“Ini kerana difahamkan harga purata rumah teres baru sekarang adalah RM450,000 sebuah, yang memerlukan bayaran ansuran bulanan sehingga RM3,000 sebulan bagi tempoh pinjaman 20 tahun, menyebabkan sebilangan besar rakyat di kawasan bandar tidak mampu untuk memiliki kediaman sendiri di Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, peniaga makanan di Pasar Tani Mega Putrajaya di Presint 2, Mohamad Norazam Azman Shah, 25, melahirkan rasa terkejut kerana menjadi pemohon pertama yang nombor undian dicabut pada majlis pengundian di dewan Kompleks Kejiranan Presint 11 di sini.

Bapa kepada bayi berusia tujuh bulan yang kini tinggal bersama ibu bapanya di Presint 9, menganggap dirinya amat bertuah kerana nombornya dicabut sendiri oleh Najib, sekali gus memberinya peluang untuk memiliki kediaman sendiri.

“Selama hampir tiga tahun saya cuba mencari rumah di kawasan sekitar termasuk Bangi dan Kajang tetapi gagal kerana harga yang ditawarkan terlalu tinggi, berbanding dengan pendapatannya hanya sekitar RM2,000 sebulan.

“Pemilihan hari ini dapat merealisasikan impian saya untuk terus tinggal di Putrajaya kerana saya memang suka tinggal di sini, memandangkan keadaannya yang aman dan menenangkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias menjelaskan, senarai menunggu itu bertujuan memudahkan proses seterusnya jika ada pemohon yang dipilih dalam senarai awal tidak memenuhi syarat termasuk gagal memperoleh pembiayaan daripada bank atau institusi kewangan.

INFO
Rumah PR1MA

RM400,000 had maksimum harga rumah

RM6,000 pendapatan bersama pasangan suami isteri

Rumah pertama bagi pasangan suami isteri

1,880 unit akan dibina 2011 di Putrajaya dan Bandar Tun Razak

7,700 unit dibina 2012 di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja

Pengecualian duti setem surat perjanjian

0 ulasan

Isnin, 22 Ogos 2011

Graduan Melayu, bumiputera terima gaji permulaan terkecil

Utusan Online|Graduan Melayu, bumiputera terima gaji permulaan terkecil
20/08/2011

SHAH ALAM 19 Ogos - Para graduan Melayu dan bumiputera merupakan golongan terbesar yang menerima gaji permulaan terkecil sebaik sahaja memasuki pasaran kerja iaitu antara RM501 sehingga RM2,000 ke atas berbanding kumpulan etnik lain.

Timbalan Ketua Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mat Noor Nawi berkata, berdasarkan statistik 2009, sebanyak 24 peratus daripada golongan itu menerima gaji antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001-RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (24 peratus) dan hanya 19 peratus menerima gaji RM2,000 ke atas.

Katanya, ia berbeza dengan 70 peratus graduan berketurunan Cina yang mendapat gaji permulaan antara RM1,501 hingga RM2,000 ke atas; RM1,001-RM1,500 (21 peratus) dan lapan peratus daripada mereka menerima antara RM501 hingga RM1,000.

Bagi graduan berketurunan India pula katanya, sebanyak 14 peratus menerima gaji permulaan antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001 hingga RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (28 peratus) dan sebanyak 27 peratus daripada mereka menerima gaji melebihi RM2,000.

"Sementara penyertaan bumiputera sebagai (ahli) lembaga pengarah di syarikat-syarikat besar adalah tinggi tetapi bukan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

"Satu-satunya Ketua Pegawai Eksekutif bumiputera selain daripada di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah di Shell," katanya semasa membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Dalam pembentangan itu, Mat Noor memetik pelbagai kajian dan laporan bebas antaranya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi Bloomberg, Bursa Malaysia dan penyiasatan pendapatan isi rumah 2009.

Bagi kategori pendapatan purata bulanan isi rumah mengikut aktiviti dan kumpulan etnik pula katanya, masyarakat Melayu dan bumiputera yang bekerja sebagai majikan hanya memperoleh RM7,078 berbanding RM7,271 (India) dan RM8,559 yang diperolehi para majikan berketurunan Cina.

Menurutnya, untuk kategori pekerja sektor awam pula, kumpulan bumiputera memperoleh pendapatan bulanan purata sebanyak RM4,925; RM5,109 (India) dan RM6,288 bagi masyarakat Cina.

"Bagi yang bekerja sendiri, masyarakat bumiputera memperoleh RM2,487 diikuti India menerima RM3,717 dan Cina sebanyak RM4,561," jelasnya.

0 ulasan

PEMANDU kaji langkah bantu golongan pendapatan bawah RM3,000

Utusan Online|Pemandu kaji langkah bantu golongan pendapatan bawah RM3,000
21/08/2011 4:51pm


IPOH 21 Ogos - Kerajaan mengarahkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) untuk mengkaji langkah membantu golongan berpendapatan di bawah paras RM3,000 untuk berdepan masalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, keputusan itu diambil pada perbincangan Kabinet baru-baru ini, yang berpendapat satu mekanisme perlu diwujudkan bagi membantu golongan tersebut.

"Sehingga kini Pemandu sedang memperincikan kajian ini untuk dirumuskan dalam satu pangkalan data menerusi sebuah makmal khusus yang ditubuhkan bagi tujuan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Teman 1Azam, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta penyampaian bantuan sempena Aidil Fitri hari ini.

Beliau berkata makmal itu akan mengemukakan rumusan kajian dalam tempoh dua minggu, dan diserahkan kepada Kementerian Kewangan sebelum diperincikan semula untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2012.

Katanya, apa yang penting, inisiatif itu akan mencapai matlamat membantu golongan sasar mengurangkan beban mereka, dan kerajaan memandang serius perkara tersebut kerana Kabinet mendapati rakyat berpendapatan di bawah RM3,000 menerima kesan besar ekoran kenaikan harga barang. – Bernama

0 ulasan

Khamis, 18 Ogos 2011

UM alami krisis kemerosotan?

Utusan Online|UM alami krisis kemerosotan?

Oleh FAZRINA AYU RADUIAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Universiti Malaya (UM) didakwa sedang mengalami krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar berikutan peletakan jawatan 146 staf akademik sejak 2009 kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Naib Canselornya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon (gambar).

Mereka yang meletak jawatan melibatkan profesor, profesor madya, pensyarah dan ahli akademik dari pelbagai fakulti yang sudah lama menabur bakti dan berkhidmat di universiti itu.

Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM), Prof. Madya Dr. Azmi Sharom semasa mendedahkan perkara itu berkata, antara yang meletakkan jawatan ialah 52 orang dari Fakulti Perubatan, 12 dari Fakulti Perakaunan, 10 Fakulti Sains dan 8 orang dari Fakulti Kejuruteraan.

Pada tahun ini sahaja, katanya, kira-kira 20 staf akademik meletak jawatan atas alasan yang sama.

"Berikutan itu, pihak pengurusan universiti telah melantik 576 pensyarah baru dengan 80 peratus daripada mereka dari negara lain seperti Bangladesh, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, India dan Jordan.

"Pelantikan dibuat bagi tujuan penerbitan jurnal bahasa Inggeris demi mengejar rangking sehingga menganaktirikan pensyarah tempatan yang telah lama berkhidmat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Naib Canselor UM itu pernah mengeluarkan kenyataannya Mac lalu yang mengakui 'kegilaannya' meletakkan universiti tersebut dalam rangking 100 terbaik di dunia.

Usaha tersebut bagaimanapun kurang berkesan kerana rangking universiti tertua di Malaysia itu jatuh ke tangga 207 pada 2010 berbanding kedudukan 180 pada 2009.

Azmi mendakwa Ghauth turut memperketatkan proses dan prosedur kenaikan pangkat dengan memfokuskan penerbitan jurnal yang tersenarai dalam pangkalan data ISI dan Scopus yang kurang memberi tumpuan kepada penerbitan dalam bahasa Melayu.

"Tindakan ini menjejaskan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tunjang pembinaan negara bangsa Malaysia.

"Beliau hanya memberi tumpuan kepada penerbitan jurnal antarabangsa tanpa mengira kualiti penyelidikan dan mutu jurnal semata-mata untuk mengejar rangking sehingga mengabaikan fungsi teras universiti untuk menyebarkan ilmu dan melahirkan graduan berkualiti," katanya.

Ghauth dilantik menjadi Naib Canselor pada 2008 menggantikan Tan Sri Dr. Rafiah Salim.

0 ulasan

Khamis, 28 Julai 2011

Formula 1:3:7 (Enam langkah tindakan dan penyelesaian kes disiplin di sekolah)

Berita Harian Online|Formula 1:3:7
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2011/07/15

Pelajar wajib selesai dalam seminggu di semua peringkat

KUALA LUMPUR: Berikutan kelewatan menangani beberapa kes disiplin di sekolah sejak kebelakangan ini, Kementerian Pelajaran menetapkan supaya kes disiplin murid wajib diselesaikan dalam tempoh tujuh hari pada semua peringkat.

Tempoh itu bagi penyelesaian kes dalam bidang kuasa pentadbiran sekolah, pejabat pelajaran daerah (PPD) dan jabatan pelajaran negeri (JPN), di bawah pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 (hari pertama, ketiga, ketujuh) Pelaporan Dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.

Penyelesaian itu termasuk tindakan perlu diambil mahu pun hukuman atau penyelesaian lain yang sudah dilakukan selain memaksimumkan kepuasan hati pihak terbabit.

Bagaimanapun jika kes itu membabitkan pihak berkuasa lain seperti pendakwaan di mahkamah, maka tempoh proses terbabit tidak dikira dalam pelaksanaan SOP berkenaan.

Berdasarkan SOP itu, insiden yang memerlukan kesegeraan dihantar kepada Kementerian Pelajaran pada hari pertama meliputi kes berunsur jenayah, kelucahan melampau, keracunan makanan, kemalangan serius, bencana, buli, pergaduhan, isu perkauman, pandemik (contohnya H1N1), histeria atau isu lain yang perlu dilaporkan segera pada pandangan pengetua atau guru besar.

Panduan pelaksanaan SOP itu terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2011 bertarikh 28 Jun lalu yang ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, serta dimuat naik dalam laman web Kementerian Pelajaran sejak Selasa lalu.

Abd Ghafar berkata, ada kes disiplin murid yang berlaku di sekolah lambat ditangani sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dan menjejaskan reputasi serta prestasi sesebuah sekolah, malah kementerian.

“Selain itu, ada juga kes atau insiden yang hanya dilaporkan kepada kementerian selepas beberapa hari berlaku atau selepas diminta kementerian.

“Hal ini menggambarkan kelemahan pengurusan semua peringkat dalam menangani isu ini,” katanya dalam surat pekeliling ikhtisas itu.

Sejak kebelakangan ini, ada isu disiplin murid yang disiarkan di media massa terlebih dulu, membuktikan kelewatan JPN/PPD melaporkan kes itu kepada kementerian.

“Sikap sesetengah pentadbir sekolah yang gagal bertindak segera menghubungi Kementerian Pelajaran amat dikesali dan perlu diperbetulkan,” katanya.

Pelaksanaan SOP itu juga untuk menilai prestasi sesebuah sekolah, PPD dan JPN dengan mengambil kira pematuhan tahap kesegeraan tindakan bagi menangani masalah disiplin murid.

Mengikut SOP itu, laporan mengenai insiden disiplin murid hendaklah disampaikan segera oleh JPN kepada kementerian, iaitu pada hari kejadian jika berlaku di sekolah; pada hari kes tersebar melalui media massa jika berlaku di luar sekolah, ketika cuti atau di luar pengetahuan pihak sekolah; dan jika berlaku di luar sekolah atau ketika cuti di mana pihak sekolah mengetahuinya, maka hendaklah segera menyampaikan maklumat atau laporan kepada JPN.

Enam langkah yang mesti diambil sebagai tindakan dan penyelesaian kes disiplin iaitu pertama membabitkan sekolah - siasat kes, ambil tindakan awal, buat laporan awal ke PPD atau terus ke JPN (bagi negeri tiada PPD), manakala bagi kes atau insiden serius, sekolah perlu terus lapor ke JPN.

Langkah kedua (PPD) - menyemak maklumat daripada sekolah dan siasat, menghantar laporan awal ke JPN berserta ulasan dan pandangan awal PPD, membantu sekolah menyelesaikan masalah termasuk tindakan wajar, sementara bagi kes atau insiden serius, PPD boleh lapor terus kepada JPN atau kementerian.

Langkah ketiga (JPN) - menyemak maklumat daripada PPD dan siasat jika perlu, serta menghantar laporan awal ke kementerian berserta ulasan dan pandangan awal JPN.

Langkah keempat (JPN) - menjalankan siasatan selanjutnya dan menghantar laporan penuh kepada kementerian, termasuk tindakan yang sedang, akan atau sudah diambil oleh pihak terbabit.

Langkah kelima (kementerian melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian/BPSH) - membuat ulasan dan pandangan terhadap laporan JPN, membawa laporan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, jika perlu tindakan lanjut maklumkan kepada JPN untuk dibuat, dan JPN melaporkan semula kepada BPSH.

Langkah keenam (BPSH) - mengkaji laporan akhir JPN serta menentukan tindakan dari segi dasar operasi kementerian.

0 ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...