Anak Krakatau pula 'mengamuk'
2010/11/03
PENDUDUK dari perkampungan Sidorejo di Klaten melihat Merapi memuntahkan asap dan abu ke udara, semalam.
JAKARTA: Selepas Gunung Merapi meletus minggu lalu, sebuah lagi gunung berapi di Indonesia, Gunung Anak Krakatau, dilaporkan semakin aktif memuntahkan batu, pasir dan abu panas beracun.
Ketua pusat pemantauan Anak Krakatau di kampung Hargo Pancuran, Andi Suhardi, berkata muntahan abu dan lahar gunung berapi yang terletak berhampiran pulau Krakatau di antara Sumatera dan Jawa kini, tujuh kali ganda lebih banyak berbanding seminggu lalu.“Anak Krakatau biasanya mengalami gegaran antara 90 hingga 100 sehari, tetapi sejak Gunung Merapi meletus, gegarannya boleh mencapai 700 kali sehari. Kami membuat pemantauan rapi terhadap kemungkinan berlakunya letusan besar,” katanya.
Andi berkata pihaknya sudah mengeluarkan amaran kepada penduduk sekitar agar menjauhi Anak Krakatau pada jarak sekurang-kurangnya beberapa kilometer.
“Kami juga menasihatkan nelayan agar tidak menghampiri perairan di sekitar anak Krakatau pada jarak tiga kilometer. Asap tebal yang dikeluarkan Krakatau mengandungi bahan toksik yang berbahaya untuk kesihatan,” katanya.
Walaupun gegaran Gunung Anak Krakatau meningkatkan selepas letusan Merapi, pakar gunung berapi mendakwa kedua-dua gunung tidak mempunyai kaitan.
“Tidak wujud hubungan antara Merapi dan Anak Krakatau kerana kedua-duanya mempunyai poket magma yang berasingan,” kata ketua pasukan pemerhati gunung berapi di Bandung, Agus Budiyanto.
Sementara itu, Gunung Merapi tidak menunjukkan tanda lemah sebaliknya terus mengeluarkan kepulan asap hitam dengan lahar berapi.
Saintis memberi amaran walaupun ia kelihatan perlahan tetapi letusan boleh berterusan hingga berminggu seperti satu ‘maraton’ dan bukannya satu ‘pecutan’.
Aktiviti berkenaan turut diiringi dengan aktifnya 21 gunung berapi lain di Indonesia, dua kali ganda daripada senarai yang biasanya dipantau kerajaan yang menimbulkan persoalan mengenai punca yang menyebabkan berlakunya aktiviti di lingkaran paling aktif dunia itu.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian letupan terbaru Merapi yang dihadapi Indonesia ketika negara itu turut dilanda tsunami berikutan gempa bumi yang memusnahkan kawasan di wilayah terpencil negara itu.
Dua bencana alam yang berlaku di kawasan berasingan negara itu meragut hampir 470 nyawa. – Agensi/AP
0 ulasan:
Catat Ulasan