Sumber makanan suci kukuhkan ketakwaan Muslim
Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir
2010/11/02
Mukmin cari rezeki halal bagi penuhi keperluan keluarga dianggap seperti mujahid, syuhada
ISLAM tidak menyekat umatnya mencari seberapa banyak rezeki di atas muka bumi ini. Cuma Allah memberi peringatan hamba-Nya supaya tidak gelojoh mencari rezeki hingga melanggar batas peraturan ditetapkan agama.
Kita dituntut mencari rezeki halal daripada sumber baik dan bersih, bukan harta hasil menipu orang, mencuri, meragut atau rasuah. Islam sama sekali tidak membenarkan mengambil harta orang lain untuk dijadikan harta sendiri.
Islam sama sekali tidak mengizinkan umatnya memakan atau membeli makan minum untuk diri sendiri dan keluarga daripada sumber rezeki haram kerana rezeki yang tidak diredai Allah, azab menanti mereka di akhirat kelak.
Allah berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188).
Firman Allah bermaksud: “Hai para Rasul, makanlah daripada makanan yang baik dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.” (Surah Al-Mu’minun, ayat 51).
Menyentuh soal makanan dalam agama, Imam Al-Ghazali mengumpamakan seperti kerangka pada bangunan. Jika kerangka itu kukuh dan kuat, bangunan akan berdiri tegak dan kukuh. Sebaliknya, jika kerangka rapuh dan bengkok, bangunan runtuh dan musnah.
Jelas dilihat betapa pentingnya kedudukan makanan dalam Islam. Makan bukan sekadar memenuhi keperluan tubuh badan, tapi berkait rapat dengan keimanan dan ketakwaan seseorang Muslim.
Jika seseorang mengambil makanan daripada sumber halal, adalah diyakini keimanan serta ketakwaannya akan bertambah kukuh, mantap dan kuat. Sebaliknya, jika seseorang itu memakan makanan haram, maka diyakini imannya akan lemah dan akhirnya terhakis daripada hatinya.
Abu Hurairah mengatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Baik, Dia tidak menerima selain yang baik-baik, dan sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kepada orang yang beriman apa yang Dia perintahkan kepada para Rasul.”
Rasulullah SAW menjelaskan orang yang mencari rezeki halal untuk memenuhi keperluan keluarganya sama seperti mujahid dan syuhada.
Baginda bersabda bermaksud: “Barang siapa mencari rezeki halal untuk menafkahi keluarganya, ia laksana mujahid (pejuang) di jalan Allah. Barang siapa mencari harta halal untuk menjaga diri dari keharaman, ia berada pada darjat syuhada (orang yang mati syahid).” (Hadis riwayat Muslim).
Jelaslah mencari rezeki halal adalah tuntutan yang harus dipenuhi setiap Muslim. Memakan rezeki daripada sumber halal memberi kesan positif dalam kehidupan seseorang.
Hal ini diungkapkan Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya bermaksud: “Barang siapa memakan makanan halal selama empat puluh hari, nescaya Allah akan menyinari hatinya dan mengalirkan sumber kebijaksanaan dari hatinya ke lidahnya.” (Hadis riwayat Abu Nu’aim).
Sementara bagi mereka yang makan makanan daripada sumber rezeki haram, Ibnu Abbas berkata, “Allah tidak menerima solat seseorang yang dalam perutnya terdapat makanan haram.”
Islam menekankan perkara ini bersandarkan wahyu dan sunnah, seharusnya ia membuka hati Muslim supaya makan makanan halal daripada sumber rezeki halal.
Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa tidak peduli dari mana ia memperoleh hartanya, nescaya Allah tidak akan peduli dari pintu mana Dia memasukkannya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Abu Manshur Ad-Dailami).
Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, api neraka lebih pantas baginya.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi).
Berita Harian Online | Sumber makanan suci kukuhkan ketakwaan Muslim
Label:
Agama
Rabu, 3 November 2010
Berita Harian Online | Sumber makanan suci kukuhkan ketakwaan Muslim
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Rabu, November 03, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan