Pengetua disyor buat penilaian menyeluruh aktiviti sekolah
2010/11/03
GENTING HIGHLANDS: Kepemimpinan pendidikan sewajarnya melaksanakan pentaksiran kritikal terhadap proses pendidikan yang sedang berjalan supaya sebarang penyesuaian selaras dengan keutamaan serta keperluan masyarakat domestik dan global yang sentiasa berubah, ” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi menghadapi era globalisasi itu, setiap pengetua perlu menjalankan penilaian menyeluruh ke atas setiap aktiviti dan program yang dilaksana pada peringkat sekolah dan seterusnya melaksana penambahbaikan bersesuaian dengan kehendak semasa.
“Pada hemat saya, dalam konteks perubahan yang wujud dalam masyarakat hari ini, kepemimpinan pendidikan perlu menekankan mengenai pentingnya membina semula dan membuat penyesuaian terhadap perubahan yang berlaku dalam masyarakat.
“Justeru, kepemimpinan pendidikan perlu mempunyai kecenderungan untuk membawa perubahan sosial yang membina, mengenal pasti kelemahan kontroversi dan konflik dan seterusnya mengambil pendekatan strategik bagi menangani isu dan permasalahan yang wujud, ” katanya pada majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang kali ke-3 dan majlis Penganugerahan Watikah Pelantikan Pengetua Cemerlang DG52 (khas untuk penyandang) 2010 di Institut Aminuddin Baki di sini, semalam.
Persidangan bertema Kepemimpinan Berimpak Tinggi Merealisasikan Gagasan 1Malaysia itu dihadiri lebih 300 pengetua. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim dan Pengarah Institut Aminuddin Baki, Datuk Abd Ghafar Mahmud.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, menjadi cabaran kepada pengetua sebagai pengurus sekolah memastikan guru dan kakitangan di bawah kawalan mereka sentiasa dapat dipastikan kesiapsiagaan dalam melaksana tugas secara profesional dan komited.
Katanya, perkara itu hanya dapat direalisasikan jika suasana kerja yang kondusif diwujudkan, latihan bersesuaian diberikan, kebajikan mereka dan urusan berkaitan dengan perkembangan kerjaya diberi perhatian supaya kepuasan kerja dapat dicapai.
Beliau berkata, kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada peranan yang dimainkan pengetuanya, yang perlu dilihat dari dua dimensi iaitu pentadbiran dan pengurusan serta kepimpinan pengajaran.
“Kepemimpinan pengetua perlu berubah daripada pengurus rutin kepada pengurus pemimpin supaya keberkesanan tadbir urus sekolah dapat terus dipertingkatkan.
“Budaya kerja yang cemerlang seharusnya menjadi penunjuk penting atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seseorang pengetua supaya sekolah yang dipimpin mencapai sasaran ditetapkan. Oleh itu, budaya kreatif dan inovatif, integriti tinggi, semangat kerja berpasukan dan komitmen tinggi adalah nilai yang perlu dipupuk di setiap peringkat sekolah,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan