Cari sebab mengapa Melayu dipertikai di bumi sendiri: Ahmad Zahid
2010/10/28
KUALA LUMPUR: Bangsa Melayu harus berfikir secara kritis dan mencari sebab mengapa nasib, hak dan perjuangan mereka sering dipertikaikan di bumi sendiri, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata sikap orang Melayu yang terlalu bertolak-ansur akhirnya akan menyebabkan maruah dan prinsip mereka dipermainkan sewenang-wenangnya oleh pihak yang mempunyai kepentingan tertentu.
"Orang Melayu itu terlalu bertoleransi, orang Melayu itu terlalu kumulatif, orang Melayu sering bertolak ansur, sehingga akhirnya ditolak secara beransur-ansur.
"Jangan dengan sikap bertolak ansur ini, kita sanggup menanggalkan harta dan maruah keindukan kita...dengan mempasrahkan sebarang sistem nilai yang sedia ada pada kita untuk kita pasar-malamkan dan boleh dibeli dengan murah oleh sesiapa saja," katanya ketika berucap pada majlis perasmian buku ''Nasib Melayu di Bumi Melayu'' di Perpustakaan Negara Malaysia di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, buku hasil penulisan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah itu mampu mengubah persepsi tentang nasib Melayu yang mana ia akan dilihat dalam perspektif yang lebih luas dan dinilai secara holistik.
Turut menghadiri majlis pelancaran buku itu ialah Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Lt Jen Datuk Wira Allatif Mohd Noor; Pensyarah Fakulti Sains Pertahanan dan Pengurusan UPNM, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan bekas Pengurus Besar BERNAMA, Datuk Seri Azman Ujang.
Terdahulu, Allatif dalam ucapan pembukaannya berkata, buku itu adalah satu karya akademik yang perlu bagi memangkin bicara mengenai bangsa Melayu.
"Buku ini menyentuh maruah dan kelangsungan Melayu, dan ia dilihat berdepan dengan risiko yang amat tinggi, lebih-lebih lagi kerana ia adalah karya seorang ahli akademi yang bukan Melayu.
"Bagaimanapun, saya pasti di kalangan masyarakat umum terutama akademia Melayu pasti akan melihatnya dari pelbagai perspektif dan dimensi yang tersendiri," katanya.
Buku itu adalah sebahagian daripada perhimpunan tulisan Mohd Ridhuan dalam akhbar Mingguan Malaysia dan majalah Al-Islam.
Ia banyak berkisar tentang politik silang budaya, terutama antara Melayu dan bukan Melayu.
Buku ini dijual di pasaran dengan harga RM22.50 senaskhah dan boleh diperoleh di semua kedai buku utama di seluruh negara ataupun melalui laman web http://www.mybooks.com.my. - BERNAMA
Berita Harian Online | Cari sebab mengapa Melayu dipertikai di bumi sendiri: Ahmad Zahid
Label:
Malaysiaku
Selasa, 2 November 2010
Berita Harian Online | Cari sebab mengapa Melayu dipertikai di bumi sendiri: Ahmad Zahid
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Selasa, November 02, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan