Rabu, 3 November 2010

Berita Harian Online | Kepelbagaian sumber alam manfaat bioteknologi


Kepelbagaian sumber alam manfaat bioteknologi
Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Azli Ayob
bhbiz@bharian.com.my
2010/11/02

Pengkomersialan produk perlu patuhi standard, skala global

MALAYSIA mesti memanfaatkan sepenuhnya sumber alam semula jadi negara bagi meningkatkan lagi industri bioteknologi tempatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, usaha mengkomersialkan produk berasaskan bahan alam semula jadi itu juga perlu diberikan perhatian supaya pengeluarannya dibuat mengikut standard dan skala global.
“Kita perlu memanfaatkan kepelbagaian sumber alam tropika untuk meningkatkan pertumbuhan sektor bioteknologi kita.

“Sama ada dalam pertanian, penjagaan kesihatan atau industri bioteknologi, potensi sumber tropika kita perlu dipertingkatkan,” katanya ketika merasmikan persidangan bioteknologi, BioMalaysia 2010, di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, antara usaha yang boleh dilakukan adalah dengan memajukan industri bioteknologi berasaskan getah dan minyak sawit yang mampu menjana pendapatan tinggi.

Selain itu, katanya, strategi lain bagi memajukan industri bioteknologi tempatan adalah dengan menumpukan kepada usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri berkenaan.
“Di samping FDI, penyertaan firma global dalam industri bioteknologi tempatan akan meningkatkan nilai tambah dalam industri itu dari segi pembangunan infrastruktur, pemindahan teknologi dan memajukan sumber insan,” katanya.

Langkah itu, katanya, juga sejajar dengan matlamat negara untuk mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan seperti digariskan dalam Model Baru ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Beliau berkata, pembabitan pelabur terutama daripada sektor swasta menjadi faktor memastikan pertumbuhan industri bioteknologi yang lebih berdaya tahan.

Malaysia katanya, memulakan program pembangunan sektor bioteknologi menerusi pelaksanaan Dasar Bioteknologi kebangsaan pada 2005 dengan menubuhkan BiotechCorp yang menjadi agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan industri bioteknologi Malaysia.

Muhyiddin berkata, program BioNexus BiotechCorp yang menyediakan insentif kepada yang syarikat bioteknologi yang beroperasi di negara ini pula mula dilaksanakan pada 2006.

Setakat ini, katanya, 173 syarikat sudah mendapat status BioNexus yang terdiri daripada 123 syarikat tempatan sepenuhnya, lapan syarikat asing dan 42 syarikat usaha sama tempatan dan asing.

“Status BioNexus juga berjaya menarik FDI dari Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jerman, Itali, Belgium, India, China, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Singapura, Thailand, Australia dan New Zealand,” katanya.

Berita Harian Online | Kepelbagaian sumber alam manfaat bioteknologi

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...