Isnin, 15 November 2010

Cinta bantu ummah capai kemanisan iman

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
salidasuhaila99@yahoo.com
2010/11/11
Perasaan kasih sayang dipengaruhi nafsu tidak bermakna, merosakkan diri manusia

KEBELAKANGAN ini bukan sedikit anak gadis yang hilang kerana cinta, disebabkan kekasih, mereka sanggup kehilangan ibu bapa, keluarga juga tanah air tercinta.
Kisah gadis dilarikan ke Lombok terus berlaku, malah ada yang rela mengharungi perjalanan beribu batu untuk menjalani hidup baru di sana. Malangnya, ramai antara mereka yang tidak betah hidup berbekalkan cinta semata-mata, lalu pulang ke pangkuan keluarga.
Tidak kisahlah dibawa lari atau sengaja ingin pergi, soalnya bagaimana gadis belasan tahun boleh mengikut seorang lelaki? Bukankah sosial ada batasnya, apatah lagi anak gadis yang umpama bunga mekar tentunya perlu dilindungi supaya tidak diusik apa lagi disentuh oleh sesiapa pun.

Namun realitinya hari ini, jika tidak dibenteng diri sendiri, ramai tidak tahu membawa diri. Bukan itu saja, ada wanita memilih untuk berkahwin tanpa mengikut hukum hakam yang betul.

Perkahwinan sindiket, poligami tidak sah, sanggup dilakukan hanya untuk hidup bersama tanpa memikirkan baik buruknya jika tersilap perhitungan.

Cinta wujud demi menepati fitrah manusia. Kesenian cinta didasari runtunan fitrah tanpa dicabul nafsu syahwat, adalah lambang keamanan dan ketenangan. Namun, cinta sering kali diperalatkan untuk melangsaikan keghairahan nafsu.

Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah SWT.

Cinta sebenar adalah perasaan luar biasa yang lahir daripada hati kepada orang lain. Cinta luar biasa didasari kecintaan kepada Allah SWT. Semakin kuat perasaan cinta itu, makin kita cinta Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang ingin mendapatkan kemanisan iman maka hendaklah ia mengasihi seseorang kerana Allah SWT.”

Permasalahan cinta yang dihadapi secara serius golongan remaja kini ialah pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan mereka menghadapi dilema perasaan. Individu Muslim sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta yang menguasai jiwa.

Cinta dikuasai nafsu syahwat adalah cinta palsu yang tidak bermakna dan akan merosakkan diri manusia.

Cinta kerana harta, adalah cintakan harta, cinta kerana pangkat adalah cintakan pangkat, cinta kerana keturunan adalah cintakan keturunan, ia bukannya perasaan cinta yang lahir daripada hati yang ikhlas untuk bersama si dia sepanjang hayat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Allah, bukan kefakiran yang aku takut menimpa kamu, tetapi aku takut kamu dibentangkan dengan kemewahan dunia seperti dibentangkan kepada umat pada zaman dulu, lalu kamu bergelumang dengan dunia dan merebutnya sebagaimana mereka sebelum kamu lalu kamu binasa sebagaimana mereka binasa.”

Memiliki harta tidak dihalang oleh syarak sebaliknya cinta harta itulah yang dipandang keji tetapi harta bermanfaat apabila ia menjadi alat bantu perjuangan menegakkan agama Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Berangkatlah sama ada ringan atau berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu di jalan Allah, sedemikian itu terlebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” (Surah at-Taubah, ayat 41)

Cinta pangkat dan kedudukan, jika melanda individu dalam gerakan Islam akan menyuburkan lagi persengketaan dingin yang melambatkan proses mencapai kemenangan. Kadang-kadang terfikir juga, untuk apa mengejar pangkat dan kedudukan sedang di akhirat kelak kita menjadi manusia hina?

Kita harus tahu perasaan yang lahir dalam hati adakah ia mendorong kepada hidup bersama untuk mencapai reda-Nya atau sebaliknya? Jika perasaan cinta itu ber-tujuan untuk mendapatkan kemanisan iman, teruskanlah dengan perkahwinan. Jika sebaliknya, percayalah cinta itu buta dan akan menggelapkan kehidupan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...