Rabu, 3 November 2010

Berita Harian Online | AS sokong falsafah kesederhanaan


AS sokong falsafah kesederhanaan
Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2010/11/03

  CLINTON berbual dengan Muhyiddin  ketika mengunjungi Timbalan Perdana Menteri       di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam.
CLINTON berbual dengan Muhyiddin ketika mengunjungi Timbalan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam.
Clinton akui saranan Najib mampu banteras golongan pelampau agama

PUTRAJAYA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton semalam menyatakan sokongan kepada falsafah Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diilhamkan Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya berupaya membanteras golongan pelampau terutama terhadap agama.
Beliau berkata, ini kerana sejarah membuktikan semua agama mempunyai golongan pelampau yang boleh mencetuskan konflik walaupun tidak berupaya menggugat kestabilan, keamanan dan demokrasi.
"AS menyokong sepenuhnya seruan Perdana Menteri untuk memupuk kesederhanaan dalam agama (kerana) kita tahu golongan pelampau berada dalam mana-mana agama seperti yang dibuktikan sejarah. Malangnya, ekstremis bukanlah laluan untuk membina kestabilan, keamanan atau demokrasi, ia hanya menyebabkan konflik dan hati yang keras," katanya pada sidang media bersama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, di Wisma Putra, semalam. 

Terdahulu Clinton mengadakan perbincangan dua hala dengan Anifah kira-kira sejam yang mencakupi pelbagai bidang kepentingan bersama seperti nuklear, pendidikan, perdagangan serta isu Afghanistan. 

Beliau berkata, AS amat mengalu-alukan seruan Perdana Menteri dan akan terus memberi sokongan termasuk kepada pemimpin negara lain yang menyambutnya untuk menggalakkan dialog antara kepercayaan. 

Pada majlis berasingan di Pejabat Perdana Menteri, Clinton mengunjungi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dengan AS berkaitan sains dan teknologi serta antara kerajaan dan Pratt and Whitney berkaitan pembekalan enjin pesawat A330 milik Penerbangan Malaysia (MAS). 
Satu lagi ialah memorandum perjanjian kerjasama dan lesen antara Academic Medical Center Sdn Bhd dengan Universiti John Hopkins Medicine International, berkaitan penubuhan universiti dan hospital di negara ini. 

"Jika kita berhasrat meningkatkan hubungan di kalangan penduduk, kita akan melebarkan hubungan dengan bahagian lain di dunia dan secara khasnya kami komited untuk mengukuhkan hubungan antara penduduk Malaysia dan AS," katanya. 

Clinton juga berkata, hubungan AS-Malaysia sudah sekian lama terjalin berdasarkan nilai bersama termasuk menghormati kepelbagaian budaya, majmuk, toleransi beragama selain menjadi rakan kongsi perdagangan dan pelaburan. 

Beliau berkata, AS juga berminat dengan visi Najib untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris di negara ini dan pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk menggandakan usaha membolehkan rakyat Malaysia mendapat pendidikan bahasa itu menerusi program yang berkualiti. 

Anifah pula berkata, kunjungan Clinton ke Malaysia adalah yang pertama oleh Ahli Kongres AS sejak 1995 dan ia memperkukuhkan hubungan antara Najib dan Presiden Barack Obama. 

"AS penting kepada Malaysia, pada 2009 AS adalah rakan dagang ketiga terbesar dan antara 2004 hingga 2009, ia negara kedua terbesar dari segi pelaburan di sini," katanya.

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...