(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/26)
Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
Najib mahu pekerja tempatan diutama bagi kurangkan kebergantungan buruh asing
CYBERJAYA: Datuk Seri Najib Razak meminta majikan menimbangkan tawaran gaji yang lebih menarik untuk pekerja tempatan kerana kerajaan banyak menerima aduan gaji yang ditawarkan tidak memadai untuk menarik minat mereka bekerja.
Perdana Menteri berharap majikan memberikan gaji yang lebih menarik, terutama gaji permulaan sebagai insentif kepada rakyat Malaysia yang tidak mempunyai pekerjaan membuat pilihan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
"Kalau beri gaji terlalu rendah akhirnya tak ada tawaran oleh rakyat Malaysia dan majikan akan desak kerajaan meluluskan pekerja asing"
Najib Razak
Perdana Menteri
“Kalau beri gaji yang terlalu rendah akhirnya tak ada tawaran oleh rakyat Malaysia dan mereka (majikan) akan desak kerajaan untuk meluluskan pekerja asing.
“Apabila keadaan itu berlaku, kadar gaji akan sentiasa berada pada tahap rendah. Saya ingin sarankan supaya kita berlaku adil juga kepada pekerja Malaysia," katanya pada sesi sidang video bersama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, selepas merasmikan serentak 11 Pusat JobsMalaysia (JCM), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia, di sini semalam.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.
Mengenai peluang pekerjaan di Iskandar Malaysia, Johor, yang disentuh oleh Abdul Ghani, Perdana Menteri berharap sebahagian besar pekerja di kawasan pertumbuhan baru itu terdiri daripada rakyat Malaysia.
"Sebagai pusat pertumbuhan yang amat berpotensi dengan projek yang akan (dan) sedang dilaksanakan, saya harap ia menjadi contoh terbaik bukan saja dari segi tempat menarik pelabur, tapi dari segi kepentingan pekerja dari kalangan rakyat Malaysia," katanya.
Beliau juga berkata penubuhan JCM adalah tanda prihatin kerajaan memperjuangkan untung nasib semua golongan termasuk mereka yang tiada pekerjaan, terutama ketika menghadapi kegawatan ekonomi, sekali gus dapat mengurangkan masalah pengangguran.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata sejak penubuhan JMC, 387,210 pencari kerja didaftarkan dan pada masa sama berjaya mendaftar 159,968 kekosongan jawatan pelbagai sektor.
"Daripada jumlah itu, 102,769 berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh 15 bulan pertama, dari 1 Januari 2009 hingga 18 Mac 2010," katanya.
Perdana Menteri berkata, bagi mengurangkan impak kegawatan ekonomi, kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 1 dan 2 berjaya meminimumkan pekerja yang diberhentikan kepada 46,860 berbanding jangkaan 200,000 pekerja.
Najib berkata, kejayaan itu antaranya melalui tiga program utama Kementerian Sumber Manusia iaitu penubuhan Bilik Gerakan Pemantauan di kementerian dan 80 Bilik Gerakan Pemantauan Pemberhentian di pejabat Tenaga Kerja seluruh negara.
Selain itu, melalui Program Penempatan Pekerjaan, 22,443 pekerja tempatan dapat ditempatkan semula di pelbagai sektor pekerjaan seluruh negara.
"Kerajaan turut melaksanakan program latihan dan penempatan bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehkerjaan. Seramai 39,035 peserta mendaftar untuk mengikuti kursus dalam 82 bidang kemahiran membabitkan 17 sektor industri.
"Daripada jumlah itu, sehingga hari ini, 20,610 pekerja berjaya ditempatkan dalam pasaran pekerjaan dan akan terus bertambah apabila program ini selesai," katanya.
Label:
Malaysiaku
Jumaat, 26 Mac 2010
bharian: Majikan diminta tawar gaji menarik
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Jumaat, Mac 26, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan