(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/21)
IBNU Sina adalah doktor Islam yang terulung. Sumbangannya dalam bidang perubatan bukan saja diperakui dunia Islam tetapi juga sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali al-Hussain Ibnu Abdullah. Di Barat, beliau lebih dikenali sebagai Avicenna.
Ibnu Sina dilahirkan pada 370 Hijrah bersamaan 980 Masihi. Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu lain seperti geometri, logik, matematik, sains, fikah dan perubatan.
Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang doktor atau mahaguru ilmu berkenaan. Ibnu Sina mula terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas Al-Samani yang gagal diubati doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran Al-Syeikh Al-Rais (Mahaguru Pertama).
Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al Qanun Fil Tabib diterbitkan di Rom pada 1593 sebelum dialihbahasakan ke bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu dicetak ke dalam 15 bahasa. Pada abad ke-17, buku itu dijadikan sebagai bahan rujukan asas di universiti Itali dan Perancis. Malah, sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh pelajar perubatan.
Ibnu Sina juga menghasilkan buku yang diberi judul Remedies for The Heart yang mengandungi sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan saja dan turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi, filologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.
Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu menjadikannya seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya.
Di samping menjadi unggul dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga menduduki ranking tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.
Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul Al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi aliran falsafah al-Farabi yang menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.
Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang dinamakan humours iaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow bile) dan hempedu hitam (black bile). Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur ini. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.
Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina turut menapis teori kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.
Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk, panas dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang ada dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.
Pemikiran Ibnu Sina turut mencetuskan kontroversi dan disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat Al’Falasifah (Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan Al-Farabi.
Antara percanggahan yang diutarakan oleh Al-Ghazali ialah kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap penafian Ibnu Sina dan Al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia dengan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka.
Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak dapat dinafikan. Bahkan beliau dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam.
Label:
Agama
Ahad, 21 Mac 2010
bharian: Ilmuwan Islam: Ibnu Sina tokoh perubatan Islam diperakui dunia
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Ahad, Mac 21, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan