Rabu, 24 Mac 2010

bharian: Prospek pasaran ekuiti, modal Malaysia cerah: Najib

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/23)

HONG KONG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memberi jaminan Malaysia akan menangani keperluan pengurus dana asing bagi peningkatan jumlah mudah tunai dan syarikat tersenarai yang diurus dengan baik dalam usaha menjadikan pasaran ekuiti dan modal Malaysia lebih menarik bagi pelabur portfolio.

Perdana Menteri juga memberitahu pengurus dana terkemuka pada persidangan pelaburan anjuran Credit Suisse, Selas, bahawa terdapat prospek yang sangat cerah bagi mereka dalam pasaran ekuiti dan modal serta bagi pelabur langsung asing berdasarkan tranformasi yang sedang berlaku dalam ekonomi Malaysia yang belum pernah dilalui sebelum ini.

Beliau berkata, usaha Malaysia untuk berubah menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020, serta inisiatif liberalisasinya, Rancangan Transformasi Kerajaan dan Model Ekonomi Baru menawarkan peluang yang sangat besar, menjadikannya lebih positif bagi mereka melabur. "Kami komited terhadap reformasi (ekonomi) dan mengatasi masalah struktur yang dihadapi ekonomi," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada sesi tengah hari Persidangan Pelaburan Asia Credit Suisse Ke-13 yang dihadiri oleh pengurus dana serantau.

Sesi itu dipengantarakan bekas Perdana Menteri Britain, Sir John Major, yang juga Penasihat Khas Credit Suisse.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau berpuas hati dengan hasil perbincangan dengan pengurus dana serantau sebelumnya dan sesi tengah hari yang dipengantarakan oleh Major kerana beliau dapat menghuraikan keistimewaan melabur di Malaysia.

"Tujuan lawatan saya ke Hong Kong ialah untuk menceritakan apa yang baik untuk diceritakan tentang Malaysia agar ia tampak sebagai satu destinasi menarik bagi pelaburan pasaran ekuiti dan modal, serta FDI," katanya.

Najib yang dalam lawatan pertamanya ke Hong Kong sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri tahun lalu, tiba di sini semalam dengan diiringi isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Perdana Menteri berkata, beliau kesal pasaran sebenarnya tidak menghargai inisiatif seperti liberalisasi 27 subsektor, pelonggaran penguasaan Bumiputera, pelonggaran garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) serta kajian semula pemegang permit import (AP).

Beliau berkata, inisiatif ini agak besar dan bersejarah kerana dinamik dalaman di Malaysia.

"Kita perlu sampaikan mesej kita kerana dunia kini semakin kompetitif. Kita juga perlu mendekati masyarakat global agar mereka faham dan lebih menghargai beberapa inisiatif baharu yang kita laksanakan," katanya.

Menyentuh soal pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata Malaysia akan berusaha gigih untuk meningkatkan kuantitinya tahun ini selepas mengalami penyusutan besar tahun lalu.

"Kami juga berharap dapat meningkatkan kualiti FDI dengan ketara tahun ini dan inisiatif kami akan bergerak ke arah itu. Malaysia juga perlu teliti terhadap jenis pelaburan yang ditarik, agar pelaburan itu meningkatkan impaknya ke atas ekonomi domestik.

"Malaysia tidak mahu industri yang berintensif buruh sebaliknya industri yang mewujudkan rantaian ke belakang dengan ekonomi domestik dan mewujudkan pekerjaan yang memberikan ganjaran lumayan," katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata Malaysia bersedia menawarkan insentif mengikut kehendak pelaburan yang berimpak tinggi serta mengkaji reformasi pentadbiran yang akan menarik FDI ke Malaysia.

Ditanya ramalan rasmi pertumbuhan Malaysia bagi 2010 yang akan diumumkan oleh Bank Negara Rabu ini, beliau berkata: "Saya tidak seharusnya memberitahu perkara ini, tetapi saya pernah berkata kerajaan menyasarkan 5.0 peratus atau lebih, iaitu matlamat umum bagi kerajaan."

Mengenai sama ada Malaysia perlu menaikkan kadar faedah, beliau berkata: "Saya tidak memberi komen tentang kadar faedah kerana pasaran akan memberikan tindak balas terhadap komen itu."

Menjawab satu soalan lain, Najib berkata Malaysia memutuskan untuk melaksanakan program penswastaan kali kedua selepas yang pertama membabitkan penswastaan syarikat milik kerajaan.

"Yang kedua adalah cadangan penswastaan dalam erti kata syarikat itu dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta dan yang memerlukan sokongan inisiatif pembiayaan swasta (PFI)," katanya.

Najib berkata, kerajaan juga boleh melabur untuk menjimatkan kos prasarana dan dan menjadikan pelaburan itu berdaya maju.

"Malaysia juga mengkaji pembangunan tanah yang boleh diswastakan berasaskan sistem bida terbuka," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan boleh mencapai ramalan defisit belanjawan 5.6 peratus tanpa pengurangan subsidi dan cukai baru, beliau berkata kerajaan memang menepati rancangan dari segi mengurangkan perbelanjaan fiskal manakala pendapatan semakin meningkat dan ia suatu petanda baik.

"Mengurangkan subsidi adalah sesuatu yang sedang kami pertimbangkan dengan serius tetapi ini memerlukan pemikiran teliti dan penerimaan orang ramai," katanya.

Mengenai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah MEB bagi 10 tahun akan datang, beliau berkata:

"Kami perlu membuat perkiraan kerana jika kami mahu menjadi negara berpendapatan tinggi, kami perlu menentukan apakah definisi negara berpendapatan tinggi.

"KDNK kami sekarang ialah AS$7,000 seorang. Apakah tahap yang ingin kami capai pada tahun 2020 dan bagaimana kami mencapainya dari segi kadar pertumbuhan...semua ini akan dikira apabila kami melancarkan MEB," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, apabila Malaysia mengumumkan MEB, "kami akan berusaha mengimbangi keperluan domestik dengan penerimaan pasaran (terhadap reformasi) dari segi pelaksanaan pelan tindakan itu."

Mengenai sama ada kerajaan mempunyai sebarang rancangan untuk menjadikan pertaruhan dalam sukan sebagai kegiatan sah, beliau berkata sememangnya ada cadangan, tetapi "kerajaan perlu mengkajinya dahulu."

Najib juga berkata Khazanah Nasional Bhd, cabang pelaburan kerajaan, seharusnya menyertai serta memacu lebih banyak pelaburan strategik di dalam dan juga di luar negara, serta melabur dalam pelaburan strategik jika pulangannya baik dari segi pembayaran dividen dan keuntungan modal yang lebih tinggi, serta teknologi baru. -
Bernama

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...