(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/24)
KUALA LUMPUR: Tiga akta dan peraturan sedia ada membabitkan sektor pembinaan akan dikaji semula bagi melindungi pemain industri tempatan untuk menghadapi liberalisasi sektor itu menjelang 2012.
Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata akta itu ialah Akta Pendaftaran Jurutera 1967, Akta Juru Ukur Bahan 1967 dan Akta Arkitek 1967.
Katanya, semakan semula akta itu akan membolehkan satu garis panduan berbeza digubal untuk pemain industri tempatan dan asing tanpa menjejaskan perubahan struktur ekonomi negara. “Ketiga-tiga akta itu tidak akan meminggirkan rakyat tempatan dan tidak juga meminggirkan rakyat asing. Apa yang dapat saya katakan, apabila semua akta itu selesai dikaji, ia akan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Liberalisasi Perkhidmatan Berkaitan Pembinaan di sini, semalam.
Shaziman berkata, Akta Juru Ukur Bahan dan Akta Arkitek ketika ini di tahap terakhir penilaian oleh Penasihat Undang-undang sebelum ia dibentang di Parlimen, manakala Akta Jurutera masih di peringkat perbincangan.
“Kita perlu ada satu garis panduan untuk orang luar berkhidmat di Malaysia. Kalau orang luar hendak berkhidmat mesti tahu macam mana mekanisme dan sama ada kena daftar atau lain-lain perkara yang difikirkan perlu,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap merasmikan forum berkenaan, beliau berkata, sektor perkhidmatan akan menyumbang sekurang-kurangnya 60 peratus kepada ekonomi negara menjelang 2020 seperti yang disasarkan berikutan pembabitannya yang semakin aktif dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan profesional.
“Hingga Disember 2009, kontraktor tempatan terbabit dalam 614 projek antarabangsa di pelbagai negara dengan 489 projek sudah siap, manakala selebihnya masih dalam pembinaan.
“Pemain industri tempatan perlu melengkapkan diri mereka dengan perkhidmatan dan teknologi yang lebih baik serta bekerjasama dengan semua pihak untuk menjadi kompetitif, selain memastikan terus mampu bersaing di pasaran,” katanya.
Beliau berkata, usaha Malaysia itu selaras dengan matlamat kerajaan untuk melakukan pembaharuan dan perubahan struktur ekonomi negara yang antara lain bertujuan membangunkan sektor perkhidmatan sebagai satu peneraju utama pertumbuhan.
“Malaysia kekal sebagai sebuah ekonomi yang mempunyai kadar upah yang rendah, kekurangan tenaga kerja mahir serta ekonomi yang terlalu bergantung kepada sektor pembuatan dan komoditi yang berorientasikan eksport semata-mata.
“Kini, jurang ekonomi negara kita dengan Korea Selatan, Singapura dan Taiwan semakin ketara. Jadi, kita perlu segera bergerak bagi mengelakkan negara terus ketinggalan,” katanya.
Label:
Malaysiaku
Rabu, 24 Mac 2010
bharian: Tiga akta sektor pembinaan dikaji semula
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Rabu, Mac 24, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan