Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed
(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/11)
Pegawai kerajaan perlu ingat tugas dipikul adalah amanah yang mesti ditunaikan kepada rakyat
ANTARA inti pati ucapan Perdana Menteri pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA XI) Ke-11 kelmarin ialah penekanan kepada dua prinsip yang perlu diberi perhatian oleh penjawat awam. Prinsip pertama ialah memastikan kehidupan rakyat hari ini lebih baik daripada semalam dan yang kedua ialah memastikan kehidupan rakyat pada masa depan lebih baik lagi berbanding hari ini.
Kedua-dua prinsip ini boleh diterjemahkan sebagai kesinambungan slogan keramat ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Ia sekali lagi mencerminkan keikhlasan kerajaan untuk menjaga kebajikan serta memenuhi segala kehendak dan aspirasi rakyat. Ia tidak terhad kepada generasi sekarang, malah melangkaui juga untuk generasi akan datang.
Ini membuktikan kerajaan tidak pernah lupa dalam menunaikan janji mereka kepada rakyat iaitu menjaga, memelihara serta memartabatkan kehendak dan kebajikan rakyat. Kedua-dua prinsip yang ditekankan oleh Datuk Seri Najib Razak itu boleh dianggap sebagai amanat dan arahannya kepada seluruh penjawat awam di negara ini. Amanatnya cukup ringkas dan mudah iaitu terus berkhidmat dengan cemerlang untuk memakmurkan kehidupan serta memelihara kebajikan rakyat. Walaupun ringkas dan mudah, maksud tersirat di sebalik ungkapan itu, cukup meluas dan memberi makna mendalam. Ia perlu diperhalusi dan diberi perhatian serius oleh penjawat awam.
Setiap penjawat awam perlu menyahut amanat dan arahan ini dengan minda dan sikap yang lebih terbuka. Ia harus diterima sebagai satu permintaan dan rayuan secara terbuka oleh Perdana Menteri agar penjawat awam dapat bersama-sama dengan beliau dalam berkhidmat dan berbakti kepada rakyat.
Mengambil kira amanat berkenaan, sudah tiba masanya untuk perkhidmatan awam melakukan suatu anjakan paradigma secara holistik dan menyeluruh merangkumi sikap, budaya dan cara kerja penjawat awam serta perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.
Isu perkhidmatan awam yang membabitkan penjawat awam seperti kurang cekap, lambat, cuai dan tidak mesra pelanggan, rasuah dan salah guna kuasa sewajarnya tidak lagi timbul. Perkara sebegini perlu dibendung dari peringkat akar umbi lagi agar ia tidak terus menular dalam perkhidmatan awam.
--"Kita berharap perkhidmatan awam akan menjadi suatu perkhidmatan lebih eksklusif dan hebat dengan menyediakan peluang lebih terbuka dan menarik minat lebih ramai golongan muda dan profesional menyertainya"
Tidak dinafikan perkhidmatan awam pada hari ini jauh lebih efektif dan berkesan berbanding sekitar 1970-an dan 1980-an. Namun insiden yang berlaku seperti di atas serba sedikit terus menjejaskan imej dan reputasi perkhidmatan awam secara keseluruhannya bak kata pepatah ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’.--
Ketika ini kita boleh lihat kerajaan secara terus menerus mengiktiraf sumbangan diberikan penjawat awam. Penambahbaikan ke atas beberapa skim perkhidmatan seperti skim perkhidmatan pensyarah serta peluang kenaikan pangkat lebih cepat kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi serta peluang kenaikan pangkat anggota perkhidmatan awam kumpulan sokongan yang sudah berkhidmat selama 15 tahun di samping pelbagai insentif lain dari semasa ke semasa, membuktikan kerajaan terus prihatin terhadap nasib dan masalah penjawat awam.
Seperti kata Perdana Menteri, beliau mendengar segala rintihan penjawat awam selama ini. Justeru, penjawat awam tiada lagi alasan untuk berkhidmat sambil lewa mahupun tidak efisien. Insentif itu sepatutnya menjadi suntikan motivasi kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan cemerlang kepada rakyat.
Kita berharap perkhidmatan awam akan menjadi suatu perkhidmatan lebih eksklusif dan hebat dengan menyediakan peluang lebih terbuka dan menarik supaya dapat menarik minat lebih ramai golongan muda dan profesional menyertai perkhidmatan awam.
Perkhidmatan awam perlu keluar segera daripada stigma bahawa ia menjadi pilihan pencari kerja hanya semata-mata kerana menawarkan kemudahan seperti skim pencen serta rawatan perubatan percuma di samping kedudukan kerjaya terjamin berbanding sektor swasta.
Untuk itu, peluang bagi menyertai perkhidmatan awam perlu lebih kompetitif serta terbuka dan pada masa sama, bilangan siswazah yang begitu ramai dewasa ini sepatutnya membuka peluang dan ruang kepada JPA untuk memilih dan mendapatkan pekerja lebih cemerlang, kreatif, inovasi dan mempunyai tahap disiplin diri tinggi. Ini kerana bilangan mereka yang begitu ramai memberikan kita peluang yang lebih baik untuk membuat pilihan tepat.
Pada hari ini, perkhidmatan awam sering kali menjadi bahan perbualan di kalangan rakyat apabila sesuatu jabatan tidak dapat memberikan perkhidmatan dikehendaki rakyat. Ini menunjukkan walaupun kita semakin efisien dan cekap dengan pelbagai penambahbaikan, harapan pelanggan juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Semoga amanat Perdana Menteri itu menjadi titik permulaan ke arah perkhidmatan awam yang lebih dinamik, progresif, profesional serta berinovasi. Penjawat awam pula perlu ingat bahawa apa yang mereka laksanakan itu adalah suatu amanah yang perlu ditunaikan kepada rakyat dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab.
Penulis ialah Penolong Pendaftar Kanan Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Putra Malaysia
Label:
Perkhidmatan Awam
Khamis, 11 Mac 2010
bharian: Amanat PM cetus perkhidmatan awam dinamik
Dicatat oleh Maria Eisya Khadija (e.m.a.s.) di Khamis, Mac 11, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan