Jumaat, 19 Mac 2010

bharian: Ulama, umara perlu kekalkan integriti bagi memperkasakan ummah

(Sumber dari Berita Harian, 2010/03/09)

SALAH satu perkara utama yang sering menjadi perhatian masyarakat dalam sesebuah negara Islam ialah sejauh mana dua golongan berpengaruh iaitu ulama dan umara berperanan memperkasakan ummah.

Diriwayatkan daripada Abu Naim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama dan umara."

Imam al-Ghazali ketika mengulas peranan ulama dan umara pada zamannya pula menyatakan: "Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama untuk melakukan kerja amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengira sangat kekejaman pemerintah. Mereka percaya Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid jika ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka itu ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata untuk menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang, lidah ulama sudah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Jika pun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama. Sementara ulama pula rosak kerana tamak harta dan pangkat." Ternyata ada kebimbangan bahawa kelemahan integriti atau kekurangan sifat amanah, kejujuran, keikhlasan dan jati diri di kalangan ulama dan umara akan menjejaskan kekuatan ummah. Oleh itu, isu integriti menimbulkan ketegangan hubungan antara ulama dengan umara dan ulama sesama ulama.

Kerjasama dan hubungan harmoni ulama dan umara akan membantu memperkasakan ummah dan menentukan negara berada di landasan selari dengan siasah shar'iyah.

Bidang kuasa ulama di negara terbatas berbanding bidang kuasa umara yang luas. Oleh itu, walaupun ulama memiliki integriti tinggi tetapi keputusan terakhir merancang dan melaksanakan pembangunan umat serta negara terletak di bawah bidang kuasa umara.

Bagaimanapun, ulama tidak boleh berdiam diri dalam memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah ummah. Suara ulama sentiasa ditunggu dan diperhatikan masyarakat Islam yang cintakan agama.

Firman Allah yang bermaksud: "Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah ulama (orang yang berilmu)." - (Surah Faathir, ayat 28)

Justeru, dalam memperkasakan ummah, ulama dan umara perlu mewujudkan dan mengekalkan integriti dengan bercakap benar dan mengakui kesilapan, mengamalkan apa yang dicakapkan, menunaikan janji dan komitmen dibuat, bersedia menanggung risiko mempertahankan pendapat dan tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan." (Surah Huud, ayat 15-16)

* Khutbah online Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

0 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...